Saturday, December 31, 2016

Redup Yang Panjang (Part 8)

                
"BAIKLAH, sekarang saya akan memulakan mesyuarat kali ini. Saya tak mahu guna lagi istilah perbicaraan seperti yang kamu minta..." kata Ustaz Ramli memulakan bicara. Mesyuarat kali kedua diadakan setelah hampir seminggu mesyuarat yang pertama diadakan. Kali ini Aiman dan Faizal turut hadir setelah cuti mereka berakhir.
"Sila jawab ‘saya’, jika saya menyebut nama kamu semua dengan betul, Ahmed Rafiqan Rahman?”
"Saya, ustaz..."
"Nurul Hardina Ismail..."
“Saya cikgu..."
"Aiman Rahim Hamzah..."
"Saya cikgu..."
"Faizal Rahim Hamzah..."
"Saya cikgu…”
Keempat-empat mereka bersuara. Mesyuarat kali ini agak tegang memandangkan keempat-empat pelajar ada bersama. Hardina berpaling ke arah Rafiqan. Hairan memikirkan wajahnya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi, hanya ketenangan yang terpancar. Kemudian dia beralih ke arah Aiman dan Faizal. Kedua-duanya sedikit gugup kerana ini kali pertama mereka terpaksa menghadiri mesyuarat yang seumpama ini.
"Saya serahkan kepada cikgu Razak selaku guru disiplin sekolah..." kata Ustaz Ramli scmula.
Cikgu Razak bangun dari tempatnya. Kemudian dia berjalan ke hadapan keempat-empat pelajar yang berada di tengah-tengah bilik mesyuarat.
"Saya akan menyebut kes kamu Rafiqan, betulkah kamu yang memukul kedua-dua pelajar Aiman dan Faizal?" soal cikgu Razak. Rafiqan mengangkat muka.
"Saya ada bangkangan, kenapa kes yang pertama tidak disebut sedangkan ia berlaku dahulu kemudian barulah kes kedua... " soal Rafiqan semula. Cikgu Razak agak terkejut dengan kata-kata Rafiqan.
"Kamu tidak ada hak untuk menyoal saya..." tambah cikgu Razak semula. Tetapi segera dipotong oleh Ustaz Ramli.
"Cikgu, saya juga tertanya dengan soalan yang sama..." kata Ustaz Ramli. Rafiqan tersenyum. Nyatalah hanya cikgu Razak yang mengikut telunjuk ayah kedua-dua pelajar Faizal dan Aiman itu.
"Tapi ustaz, mesyuarat kali ini hanya mengenai kes yang kedua, kes yang pertama sudah ditutup..." kata cikgu Razak membuatkan Aiman dan Faizal menarik nafas lega.
"Kalau macam tu, cikgu buka balik kes yang pertama. Kita akan bincang kedua-duanya sekali pada hari ini..." kata-kata Ustaz Ramli membuatkan Rafiqan tersenyum. Berlainan pula dengan Aiman dan Faizal.
"Baik... ustaz..." cikgu Razak teragak-agak.
"Silakan cikgu..."
"Kes yang pertama, pihak pertama iaitu mangsa Ahmed Rafiqan, membuat aduan mengenai kes pukul dari pihak kedua dan ketiga Faizal dan Aiman pada hari Khamis 5 Februari jam 3 petang..." kata cikgu Razak terhenti.
“Baik Rafiqan, saya mahu dengar kenyataan dari kamu..” Ustaz Ramli menyampuk.
"Baik, pada hari itu seperti biasa saya berjalan kaki pulang ke rumah. Sampai satu lorong yang agak sunyi, mereka berdua dan beberapa lagi pelajar lain menahan saya. Mereka menyuruh saya berhenti mengusik Hardina. sedangkan saya tidak kenal siapa Hardina. Saya cuba berlalu, tetapi mereka menyerang saya dan Faizal memukul saya berkali-kali..."
“Pelajar lain ada tak?” soal Ustaz Ramli.
“Ada, ustaz. Dalam 5-6 orang,”
“Kamu tahu siapa lagi pelajar yang lain?” soal cikgu Razak tiba-tiba.
“Tidak cikgu, saya tidak kenal kerana saya masih baru di sini ..”
“Habis tu, bagaimana kamu boleh mebuktikan Aiman dan Faizal yang menyerang kamu? Sedangkan kamu tidak kenal langsung pelajar-pelajar sekolah ini?" bentak cikgu Razak semula. Rafiqan tahu yang cikgu Razak cuba memerangkapnya.
“Saya boleh buktikan!" kata Hardina tiba-tiba membuatkan semua mata memandang ke arahnya yang sedari tadi hanya terdiam.
“Baik, teruskan Hardina..." kata Ustaz Ramli. Hardina menarik nafasnya panjang-panjang Kemudian dia bersuara.
“Ustaz, pada hari tersebut, sepatutnya badan pengawas sekolah ada mesyuarat, tetapi pada waktu tersebut Aiman dan Faizal tiada dalam mesyuarat. Saya berani bersumpah bahawa mereka tiada dalam mesyuarat..” kata Hardina. Rafiqan kelihatan agak lega.
“Tapi itu tidak boleh membuktikan bahawa mereka terlibat hanya kerana tiada dalam mesyuarat,” tambah cikgu Razak.
“Tapi mereka juga tiada bukti mereka tiada di tempat kejadian. Kemungkinan mereka terlibat tetap ada,” balas Hardina. Kali ini cikgu Razak pula yang terdiam. Dia kematian kata.
“Baik, saya nak soal kamu berdua, Aiman dan Faizal. Boleh kamu buktikan dimana kamu berada pada 5 Februari jam 3 petang?" soal Ustaz Ramli tiba-tiba.
Aiman dan Faizal hanya terdiam. Mereka saling berpandangan.
“Nampaknya kamu tak akan terlepas dari senarai suspek!" tambah Ustaz Ramli semula.
“Ustaz, biar saya yang uruskan...." Kata Cikgu Razak tiba-tiba.
"Cikgu, cikgu hanya melengahkan masa kami sahaja, biar saya terus tanya pada Faizal dan Aiman. Kamu berdua, adakah kamu mengaku bersalah memukul serta mencederakan Ahmed Rafiqan pada hari dan tarikh yang disebutkan tadi?" soal Ustaz Ramli ingin memendekkan masa.
Aiman dan Faizal berpandangan. Tiada suara yang terkeluar dari mulut mereka.
“Atau, kamu mahu saya memanggil 5 orang lagi kawan kamu yang ada kat sana masa hari kejadian baru kamu nak mengaku?” tambah Ustaz Ramli lagi apabila mereka hanya mendiamkan diri. Akhirnya mereka menganggukkan kepala. Cikgu Razak terkejut dengan tindakan Aiman dan Faizal menganggukkan kepala. Nampaknya dia tak akan disalahkan lagi kerana mereka berdua sendiri yang mengaku.
“Atas sebab apa?” soal Ustaz Ramli semula.
Tiada jawapan.
“Saya ulang semula soalan saya ye, atas sebab apa kamu berdua memukul Rafiqan?”
Sunyi.
“Tak mau cakap? Okeylah, kita terus beralih kepada kes yang kedua, saya akan tetapkan keputusan selepas mendengar kedua-dua kes. Silakan cikgu Razak..” tambah Ustaz Ramli.
“Baik, kes kedua, aduan dari pihak kedua dan ketiga dari kes pertama tadi. Aiman dan Faizal, mengadu bahawa mereka dipukul dari pihak pertama Ahmed Rafiqan. Ahmed Rafiqan, kamu mengaku bersalah?'' soal cikgu Razak.
"Jawapan saya tetap tidak..."
"Bagaimana kamu mahu membuktikan yang kamu tiada di tempat kejadian?"
"Bagaimana pula cikgu nak buktikan saya berada di tempat kejadian?" soal Rafiqan membuatkan cikgu Razak tergamam.
“Menurut kata-kata mangsa ... Mereka sendiri yang mengaku yang kamu berada di sana..."
"Bagaimana kalau mereka berbohong? Mereka berdua kan adik-beradik dan mereka berdua berpeluang untuk berpakat. Cikgu sedia maklum bahawa mereka pernah memukul saya, dan saya sememangnya seolah-olah ada motif untuk membalas dendam. Tapi cuba cikgu fikirkan secara logik, mereka berdua sedangkan saya seorang.”
“Mungkinkah saya mampu membuat semua ini sendirian? Mungkin mereka berselisih faham dengan orang lain yang kita tak tahu.  Saya tak pernah terlibat. Itu kata putus saya yang terakhir ..." tambah Rafiqan.
"Aiman, Faizal, betul ke Rafiqan yang memukul kamu?" soal Ustaz Ramli. Aiman dan Faizal berpandangan.
"Tidak ustaz, tapi dia ada di sana,” kata Aiman.
"Rafiqan, Aiman kata kamu ada di sana. Seolah-olah kamu terlibat. Apa penjelasan kamu?"
"Cikgu, cikgu sendiri yang menggunakan perkataan ‘seolah-olah' yang membawa makna mungkin ya atau mungkin tidak, sekarang saya mungkin terlibat, tetapi saya tetap dengan kata-kata saya tadi..." balas Rafiqan. Cikgu Razak hanya mengerutkan dahi. Dia seolah-olah buntu untuk melawan balik kata-kata Rafiqan.
"Baik, jawab soalan saya, adakah kamu berada di tempat kejadian? Ya atau tidak..." soal Ustaz Ramli semula.
"Ya. saya ada di sana ..." balas Rafiqan.
"Kenapa kamu ada di sana?"
"Cikgu tahu ke kat mana tempat kejadian?"
Cikgu Razak menggelengkan kepala “Kat pekan, salah ke saya keluar ke pecan?"
"Tapi kebetulan itu seolah-olah telah dirancang oleh kamu..." tambah cikgu Razak lagi.
"Cikgu membuat tuduhan di satu kebetulan akan menguatkan motif saya membalas dendam. Bukankah cikgu sendiri kata saya ni pelajar baru yang mana mungkin dapat membuat kawan dalam secepat ini, apatah lagi untuk membuat rancangan, kan?" kata Rafiqan semula.
“Aiman, Faizal, kamu kenal siapa mereka yang membelasah kamu?” soal Ustaz Ramli semula.
"Tidak ustaz,” kata Aiman dan Faizal serentak.
“Jadi, kenapa kamu menuduh Rafiqan? Dia ada sentuh kamu ke?” soal Ustaz Ramli lagi.
Geleng kepala, serentak.
“Ada nampak tanda-tanda Rafiqan bersama diorang ke?”
“Takde ustaz, kami tak kenal lelaki itu, tapi dia kata jangan ganggu Rafiqan…”
Masing-masing memandang ke arah Rafiqan. Rafiqan hanya mendiamkan diri.
“Apa alasan kamu Rafiqan?” tiba-tiba Cikgu Razak menyampuk.
Lama juga diamnya. Dengan helaan panjang Rafiqan menuturkan bicara.
“Cikgu Razak, Ustaz Ramli. Saya tak terlibat dalam hal ni. Diorang sendiri cakap saya tak sentuh diorang, kebetulan saya berada di sana tapi saya pun tak kenal diorang,” balas Rafiqan.
“Kenapa diorang cakap jangan sentuh kamu? Kenapa nama kamu dipetik?” cikgu Razak masih belum berpuas hati lagi. Namun Rafiqan tetap tenang, kerana dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Pada pendapat saya, Aiman dan Faizal sengaja kata macam tu sebab dia mahu alihkan kesalahan kepada saya. Lagipun mereka adik beradik. Mereka mungkin berpakat. Ada saksi ke saya terlibat?”
Aiman dan Faizal segera menafikan kata-kata Rafiqan.
“Kamu ada saksi ke diorang memberi amaran kepada kamu?” kali ini Ustaz Ramli menambah.
“Adik saya la saksi “ balas Faizal.
“Terpulang la pada Ustaz, tapi saya tetap dengan pendirian saya yang saya tidak terlibat dalam hal ini. Mereka mungkin berpakat…” Rafiqan masih yakin dengan pendiriannya.
“Ada saksi lain tak, Faizal?”
“Tiada, ustaz.”
“Soalan saya yang terakhir, Rafiqan ada pukul kamu atau tidak?”
Geleng.
“Jadi, atas alasan apa kamu nak tuduh Rafiqan sekarang ni?”
Tiada jawapan.
 "Perkara ini sangat kompleks kerana melibatkan orang luar. Rafiqan, kalau benar kamu berada di sana, kenapa kamu tidak membantu meleraikan pergaduhan itu..." soal Cikgu Razak semula.
"Cikgu, bukankah cikgu sedar yang saya ni masih baru di sini, kalau ikut secara logik takkan saya mahu masuk campur dalam urusan orang yang pernah mencederakan saya. Mungkin saya akan turut terlibat nanti..."
“Atau kamu rasa dendam kamu berbalas?" cikgu Razak bersuara lagi.
“Mungkin ini balasan mereka... kan?" Rafiqan tersenyum sinis. Aiman dan Faizal merasa meluat melihat senyuman yang sengaja dilemparkan ke arah mereka.
“Bagaimara kamu hendak buktikan yang semua ini bukan bermula dari kamu?” cikgu Razak terus bersuara.
"Macam mana hendak buktikan kalau semuanya memang bukan bermula dari saya?"
"Maksud kamu?"
"Kenapa saya tiba-tiba dipukul? Kenapa saya hendak mengusik Hardina? Kenapa cikgu tak tanya sendiri apa makhluk dua ekor ni selalu buat pada Hardina?” soal Rafiqan tiba-tiba. Hardina tersentak apabila namanya disebut.
"Betul juga. Hardina masih belum banyak bercakap. Hardina, boleh kamu ceritakan apa yang berlaku?" soal Ustaz Ramli
Hardina menceritakan semula dari dia mula berjumpa dengan Rafiqan sehinggalah perkara-perkara yang selalu diusik oleh Faizal kepada Ustaz Ramli. Ustaz Ramli hanya mengangguk-anggukkan kepala.
"Faizal juga ada bertanyakan kepada saya, adakah saya mahu dia tolong kenakan Rafiqan sehari sebelum kejadian pertama, tetapi saya hanya buat tidak tahu kerana saya malas mahu melayan mereka…”
Lama Ustaz Ramli terdiam. Kemudian dia mengalihkan pandangan kepada cikgu Razak dan beberapa cikgu lain yang hanya menjadi pemerhati.
"Baiklah, untuk kes yang pertama, pihak sekolah akan menjatuhkan hukuman gantung sekolah selama seminggu kepada Aiman dan Faizal, dan mereka akan dipecat dari jawatan sebagai pengawas sekolah kerana mereka sendiri telah mengaku bersalah. Untuk kes kedua pula, Rafiqan tidak akan dikenakan hukuman kerana tiada bukti yang menunjukkan kes itu dirancang. Tidak mungkin seorang pelajar baru sempat mencari kenalan untuk menubuhkan kumpulannya sendiri untuk membalas dendam. lanya dianggap pertikaian diluar pihak sekolah kerana melibatkan orang luar. Kamu kena selesaikan sendiri….”
Rafiqan tersenyum puas. Tidak disangkanya yang dia akan menang kali ini walaupun dia tahu dia sememangnya terlibat. Aiman dan Faizal tidak dapat berkata apa-apa setelah Ustaz Ramli membuat pengumuman itu.
"Kamu boleh pergi, hukuman berkuat kuasa dari hari ini, " tambah Ustaz Ramli lagi.
“Terima kasih ustaz, sebelum tu izinkan saya katakan sesuatu?" soal Rafiqan pula.
"Apa dia?”
"Sebelum saya pergi, saya harap ustaz fikirkan, adakah guru-gum di sini bekerja dengan sekolah, atau bekerja dengan Datuk Hamzah, tu saja..." Rafiqan sengaja menjeling ke arah cikgu Razak yang memandangnya. Cikgu Razak tertunduk apabila mendengar kata-kata Rafiqan itu Dia tahu siapa yang Rafiqan maksudkan.
"Baiklah Rafiqan, saya akan fikirkan. Kamu boleh pergi juga Hardina, Aiman, Faizal..."

"Rafiqan, awak sungguh hebat!" kata Hardina sewaktu mereka berjalan pulang. Rafiqan hanya memandangnya sekilas. Dia seolah-olah malas hendak melayan karenah Hardina lagi.
"Kenapa awak diam? Bukankah awak ni petah bercakap?" tambah Hardina lagi.
"Kau nak aku cakap apa? Hah? Cukup, tak payah kau nak buat baik dengan aku, entah masalah apa lagi yang aku terpaksa terima. Kau ni memang nak menyusahkan aku la .." Rafiqan melajukan langkahnya.
Hardina mengeluh sendirian. Entah angin apa yang melanda satu badan mamat ni. Yang aku pun satu, dah tahu perangai dia macam tu masih lagi nak bertegur sapa lagi.


"RAFIQAN! Makcik Azimah datang nak jumpa .." sayup kedengaran suara Tuk Chik memanggil namanya. Rafiqan berhenti menulis seketika. Dia bingkas bangun menuju ke arah muka pintu.
Sejak akhir-akhir ini, Rafiqan semakin senang dengan sikap Tokki Mat dan Tuk Chik. Banyak ilmu-ilmu agama yang dapat dipelajari dari Tuk Chik dan Tokki Mat. Perasaan hormatnya terhadap orang tua juga mula bertambah.
Rafiqan tersenyum sekilas memandang ke arah Azimah vang sedang menantinya di muka pintu.
"Rafiqan tengah buat apa?” soal Azimah.
“Tengah buat kerja sekolah mak cik, Shahran mana?" soal Rafiqan pula apabila dilihatnya Azimah sendirian.
“Dia ikut kakak dia ke kedai tadi. Rafiqan, makcik betul-betul nak minta maaf atas segala kejadian yang telah terjadi, makcik tak berniat nak susahkan hidup Rafiqan di sini,” kata Azimah tiba-tiba membuatkan Rafiqan serba salah.
"Eh, makcik jangan cakap macam tu, saya tak kisah makcik, semua perkara dah selesai..." pandai pula aku berkata-kata hari ini, walhal amarah aku dengan Hardina tak pernah padam. Semua ini kerana Tuk Chik dan Tokki Mat yang menyuruh aku cakap macam ni.
“Betul ke Rafiqan dah tak kisah ni?" soal Azimah semula.
“Betul makcik, saya diajar supaya mengamalkan sikap bertimbang rasa .." balas Rafiqan.
"Kalau macam tu, terima kasih. Kadang-kadang makcik sendiri tidak percaya dengan sikap kamu ni yang dikatakan samseng sekolah dulu,”  Rafiqan terhenti seketika.
"Mana kamu tahu ni Mah?" soal Tuk Chik tiba-tiba dengan membawa sedulang minuman.
"Sebab tu la saya kata tak percaya..." balas Azimah semula. Rafiqan hanya tersenyum melihat Tuk Chik dan Azimah.
"Minumlah dulu Mah. Oh ya, mulai esok kau tak payah suruh Dina hantar nasi lemak lagi ya ..." kata-kata Tuk Chik membuatkan Azimah terdiam.
"Kenapa? Tuk Chik dah tak mahu upah saya lagi ke?" balas Azimah pula. Kegusaran jelas terpancar di wajahnya.
"Bukan macam tu, mulai esok, Rafiqan yang akan pergi ambil dari rumah kamu dan hantar ke kedai. Tak payahlah suruh Hardina lagi. Lagipun Rafiqan ni lelaki. Kesian kat Dina tu.."
"Oh, macam tu. Boleh ke Rafiqan?" soal Azimah pula.
"Dah Tuk Chik yang suruh, memang kena buat la, kalau tak, tak makan nasi la saya..." kata Rafiqan seraya berseloroh. Mereka ketawa sejenak.
"Eloklah tu, lagipun dalam perjalanan ke sekolah tu, bukan ke lalu kedai aku dulu, boleh la budak-budak ni singgah minum sarapan dulu ke sebelum ke sekolah .." tambah Tuk Chik lagi.
"Budak-budak ni?" soal Azimah. Rafiqan turut mengerutkan keningnya.
"A ah, Dina dan Piqan la...” mereka tergelak lagi. Rafiqan hanya mengetapkan bibir apabila merasa terkena.


"BANYAK ni sahaja ke?" soal Rafiqan sekali lagi mengingatkan Azimah.
"Ya. semua sekali 100 bungkus. Selalunya disebabkan Dina seorang, makcik buat dalam 50 hingga 60 je. Tapi kali ini sementara Rafiqan ada, makcik buat lebih sikit. Boleh Dina tolong bawa separuh..." balas Azimah pula.
"Kalau macam tu, saya pergi dulu yea.."
"Eh, tak tunggu dulu ke?"
"Tunggu siapa?"
"Dina.."
Rafiqan terdiam. lnilah hari pertama dia mengambil nasi lemak di rumah jirannya itu. Kemudian diminta pula supaya menyaingi dengan perempuan yang sering menjadi teman bergaduh.
"Mana Dina?" soal Rafiqan.
"Sekejap, Dina ... Ooo Dina! Dah siap belum?" sayup suara Azimah memanggil.
"Kejap bu,” Hardina muncul di muka pintu.
"Nah, kamu bawa lagi separuh. Jalan elok-elok. Jangan asyik nak berkelahi je. Rafiqan kan lelaki, tolong tengok-tengokkan Hardina ni, ramai sangat yang suka gangu dia..." kata Azimah membuatkan Hardina dan Rafiqan saling berpandangan.
"Pergi dulu bu,” Hardina memulakan langkah meninggalkan halaman rumahnya. Rafiqan berjalan mendahuluinya.
Sepanjang perjalanan, tiada sepatah perkataan pun yang keluar. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
"Awak dah siap kerja semalam?" soal Hardina memulakan bicara. Niatnya untuk mengurangkan rasa tegang yang masih jelas kelihatan di antara mereka.
"Dah,” balas Rafiqan pendek.
"Awak marah saya lagi ke?" soal Hardina semula. Rafiqan berpaling ke arah Hardina dengan pantas membuatkan Hardina sedikit terkejut.
"Kau boleh diam tak?” soal Rafiqan tiba-tiba.
"Kenapa dengan awak ni? Saya cakap elok-elok, awak jawab dengan kasar.”
"Kalau tak nak aku jawab dengan kasar, jangan bercakap dengan aku! Faham?!" balas Rafiqan semula.
"Apa salah saya? Kenapa awak masih nak menghukum saya?" soal Hardina semula.
Rafiqan hanya mendiamkan diri. Dari kedai Tokki Mat sehinggalah ke sekolah, masing-masing tidak bersuara.
Hardina tidak terus ke kelas, namun terus ke pintu masuk utama kerana setiap pagi dia akan bertugas menjaga pintu masuk. Rafiqan terus menuju ke kelas.

*****bersambung



Friday, December 30, 2016

REDUP YANG PANJANG (PART 7)

DINA, sampai bila kau nak menjauhkan diri dari Yati ni? Dia kan kawan baik kau..." soal Liza sewaktu dia dan Hardina sedang menghadap makanan. Sudah hampir seminggu hubungannya dengan Yati retak. Semuanya gara-gara Yati yang menjadi perantara antara dirinya dan Faizal.
“Aku bukannya menjauhkan diri, tapi aku tak boleh terima kawan baik aku buat aku macam ni ..” balas Hardina pula. Liza hanya menganggukkan kepala.
“Dah memang Yati macam tu, nak buat macam mana?”
“Sebab tu kita kena ajar sikit, biar dia sedar dan tak buat lagi…”     
"Yelah tu Dina, ikut suka kau lah..." Liza mencebik Hardina hanya tersengih melihat Liza seperti memperlinya. Memang hatinya sakit apabila tindakan Yati hampir memusnahkan segala-galanya. Kalau semua itu hanya melibatkan di dalam kawasan sekolah sahaja dia tak kisah, ini sudah sampai ke pengetahuan keluarganya yang membuatkan Hardina panas semacam.

KEDATANGAN Ilham bersama Husain amat menggembirakan Rafiqan. Tidak disangkanya Ilham sanggup turun ke negeri Terengganu semata-mata untuk membalas balik apa yang telah Rafiqan terima. Kedatangan Ilham dan Husain tidak diketahui oleh Tuk Chik dan Tokki Mat kerana mereka datang dengan kenderaan sendiri. Rafiqan pula menunjukkan mereka rumah tumpangan yang boleh mereka sewa sepanjang mereka berada di Terengganu.
Sampai satu saat, kebetulan Aiman bersama-sama dengan Faizal turun ke pekan, terserempak pula dengan Ilham, Rafiqan dan Husain. Satu pergelutan berlaku dan ternyata Ilham lebih berpengalaman dalam bidang pergelutan.
“Ingat! Kau jangan cuba nak sentuh lagi budak ni, kalau tidak, lagi teruk aku kerjakan...!" kata-kata terakhir Ilham kepada Aiman dan Faizal sebelum dia berlalu. Aiman dan Faizal masing-masing terlantar kesakitan.
“Baru padan muka!" tambah Rafiqan pula. Kali ini dia betul-betul puas sebab dendamnya berbalas. Dia kembali ke arah Husain dan Ilham.
"Abang memang hebat. Tak sangka abang sanggup datang sebab saya..." kata Rafiqan pula sambil memuji-muji kehebatan Ilham.
“Jangan ingat dia anak datuk, dia boleh usik kau. Aku pun anak datuk juga..." balas Ilham.
"Hah, budak perempuan tu macam mana?" kali ini Husain pula bersuara.
"Tak payahlah, dia takde kena mengena dalam kes ni," tambah Rafiqan
"Habis tu, hari tu kata ..." belum sempat Husain menghabiskan kata-kata, Rafiqan segera memotong kata-katanya.
"Tak, semua tu silap faham. Mereka ni je yang saya tak puas hati..."
"Oh, kalau macam tu takpelah. Oh ya, abang balik malam ni, esok ada kelas. Mujur datang dengan driver..." kata Ilham lagi.
Rafiqan hanya menganggukkan kepala. Tidak disangkanya Ilham benar-benar datang sebaik sahaja mendengar cerita keluhan dari Rafiqan yang selama ini menjadi salah seorang pengikutnya. Sebaik sahaja dia mendapat tahu Rafiqan kena belasah, terus dia mengambil keputusan untuk bertemu muka dengan mereka. Ternyata Ilham menunaikan janjinya.
Malam itu buat kali pertama Rafiqan dapat tidur dengan lena sambil tersenyum keseorangan.

KELAS pada pagi itu bingit dengan kekecohan yang berlaku. Semuanya memperkatakan tentang Aiman dan Faizal yang dibelasah teruk oleh sekumpulan samseng. Berita itu turut sampai ke telinga Hardina, namun tidak pula terlintas di mindanya yang semua itu adalah berpunca dari Rafiqan.
Begitu juga dengan Rafiqan. Entah bagaimana kedua-dua nama itu begitu cepat menjadi popular. Tidak pula sepertinya dahulu. Kesnya seolah-olah rahsia dan terkubur sepi tanpa berita.
Pintu bilik darjah yang diketuk membuatkan pengajaran cikgu Idris terhenti seketika. Semua mata memandang ke arah muka pintu. Kelihatan seorang pelajar berjalan masuk ke arah cikgu Idris dan menyerahkan sesuatu.
Cikgu Idris meneliti kertas kecil yang dihulurkan oleh pelajar tadi. Sebaik sehaja dia mengucapkan terima kasih, pelajar tersebut meminta izin untuk berlalu.
Semua mata memandang ke arah cikgu Idris, menantikan cikgu Idris bersuara. Mereka saling berpandangan mengharapkan cikgu Idris segera meleraikan kekusutan yang melanda ke atas mereka.
"Baiklah, nama-nama yang saya panggil ni sila ke bilik cikgu Razak sekarang…” cikgu Idris terhenti seketika. Semua pelajar mula berbisik sesama sendiri apabila terdengar nama cikgu Razak disebut.
"Siapa cikgu Razak?" soal Rafiqan kepada Habil disebelahnya separuh berbisik.
“Guru disiplin sekolah,”  balas Habil perlahan.
Rafiqan hanya menganggukkan kepala. Kemudian cikgu Idris meneruskan kata-katanya.
“Okey, nama-nama pelajar itu ialah, Ahmed Rafiqan Rahman dan Nurul Hardina Ismail. Tu saja..." kata cikgu Idris. Semua mata memandang ke arah Hardina dan Rafiqan.
Kenapa pula ni, Hardina merungut sendirian. Pasal kejadian itukah? Serta-merta kebimbangan mula menguasai dirinya. Berlainan pula dengan Rafiqan. Dia hanya bersahaja dan tenang. Maklumlah sudah biasa dengan situasi seperti ini. Sudah puas dia asyik kena berjumpa dengan cikgu disiplin semasa di sekolah lama pun.
Rafiqan dan Hardina bangun lalu berjalan meninggalkan kelas. Rafiqan hanya berjalan menuruti Hardina kerana dia sendiri tidak tahu lokasi bilik cikgu Razak.
"Awak jalan depan la…" kata Hardina kepada Rafiqan apabila terlihat Rafiqan berjalan di belakangnya.
"Hello, aku mana tahu bilik cikgu Razak, kau patut tunjukkan...!" balas Rafiqan agak keras.
Hardina mendengus dengan kata-kata Rafiqan. Akhirnya dia membiarkan Rafiqan membontotinya.
"Assalamualaikum..." Hardina memberi salam sebaik sahaja sampai di muka pintu bilik cikgu Razak. Rafiqan hanya memandang ke arah sekeliling.
"Masuk!'" kata satu suara yang agak garau.
Hardina dan Rafiqan berjalan masuk beriringan. Cikgu Razak mempersilakan mereka duduk. Kemudian dia bangun berjalan ke arah mereka.
"Hardina, kamu kenal Aiman Rahim dan Faizal Rahim," soal cikgu Razak.
"Kenal cikgu, kenapa?" soal Hardina semula. Rafiqan masih terdiam.
"Kamu Rafiqan, Kenal?" soal cikgu Razak pula.
"Kenal rasanya…” balas Rafiqan.
"Macam mana kamu boleh kenal?" soal cikgu Razak lagi. Rafiqan tersentak. Takkan nak cakap sebab kena belasah. Cikgu Razak ni sengaja nak perangkap aku kot.
"Dah satu sekolah, mestilah kenal..." balas Rafiqan \
“Tapi, bukankah kamu masih baru di sini?"
“Jadi?”
"Jadi, macam mana kamu boleh kenal secepat itu?” tanya cikgu Razak lagi. Cikgu ni kenapalah susah sangat nak cakap. Nak dengar dari mulut aku sendirilah tu.
“Cikgu, boleh tak cikgu berterus-terang kenapa saya diminta berjumpa dengan cikgu dari cikgu berputar belit bertanvakan soalan-soalan seperti ini...?" kata Rafiqan membuatkan cikgu Razak tersentak. Tidak disangkanya Rafiqan menuturkan kata-kata sebegitu lancer. Tidak seperti pelajar yang lain apabila berhadapan dengannya.
“Kamu tahu yang mereka kena pukul kan?" soal cikgu Razak pula.
"Dah satu sekolah bercakap pasal dia, mestilah tahu. Jadi apa kaitannya dengan saya?" soal Rafiqan semula. Dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Minggu lepas kamu yang kena pukul kan?” soal cikgu Razak pula.
Rafiqan tersengih. Memang soalan yang sangat-sangat dinantikan.
"Cikgu tahu rupanya. Tapi cikgu tahu ke siapa yang pukul saya?" tambah Rafiqan. Hardina masih lagi terdiam sambil melihat ke arah mereka berdua.
Cikgu Razak tidak menjawab. Inilah kali pertama dia sebagai cikgu terpaksa menjawab soalan. Sebelum ini dia yang akan menyoal mana-mana pelajar. Kali ini terbalik pula.
"Cikgu tahu ke tak?" tambah Rafiqan, kali ini suaranya diangkat sedikit.
"Tahu, Rafiqan..” balas cikgu Razak.
"Jadi, di mana cikgu semasa saya dibelasah teruk hari tu? Saya pun pelajar sekolah ni. Cikgu tahu saya kena belasah. Ya, memang bukan dalam kawasan sekolah tapi masih berkait dengan pelajar sekolah ni. Ada cikgu memanggil orang yang ternyata sememangnya telah membelasah saya? Cikgu anggap kali ini saya yang membelasah mereka? Macam tu?" kata Rafiqan lagi. Kali ini Hardina turut terkejut dengan kata-kata yang dilemparkan tanpa disangka-sangkakan. Terpegun dibuatnya.
"Jadi betullah kamu yang membelasah mereka?" soal cikgu Razak. Rafiqan tersenyum sinis.
"Cikgu ada bukti ke?" soal Rafiqan. Kali ini cikgu Razak pula yang termati akal.
"Tapi kamu ada motif…” akhirnya cikgu Razak bersuara.
"Apa? Balas dendam? Motif tidak boleh dijadikan bukti, cikgu. Mana-mana mahkamah pun akan membebaskan saya tanpa bukti dan kalau hanya berdasarkan motif. Sekarang cikgu telah menjatuhkan maruah saya dengan membuat tuduhan yang hanya berdasarkan motif, bukan bukti…”
“Tapi kamu berada di sana…” cikgu Razak sedikit keras suaranya.
“Saya mahu dibicarakan.." kata Rafiqan semula Cikgu Razak ternganga dengan kata-kata Rafiqan. Dibicarakan?
"Awak bersungguh-sungguh ke ni?" soal Hardina yang sedari tadi hanya terdiam.
“Yalah, takkan aku nak mengaku bersalah sedangkan aku tak bersalah,” balas Rafiqan.
"Sudah! Baik, kalau itu yang awak mahu, awak berdua boleh pergi..." kata cikgu Razak lagi. "Tunggu surat perbicaraan dari sekolah..." tambahnya lagi.
"Terima kasih, cikgu,” kata Hardina.
"Terima kasih, sebelum saya pergi saya nak tanya cikgu, cikgu ni bekerja dengan sekolah atau bekerja dengan datuk?” kata Rafiqan sambil tersenyum sinis. Muka cikgu Razak merah padam mendengar kata-kata Rafiqan itu. Dia segera meninggalkan bilik disiplin sekolah.
"Berani betul awak cakap macam tu dengan cikgu..." kata Hardina kepada Rafiqan dalam perjalanan pulang ke kelas. Rafiqan segera berpaling ke arah Hardina.
"Kenapa pula tak boleh? Aku bukannya meninggikan suara pun. Aku cuma mahu hak aku. Kau tak faham ke tujuan kita ke biliknya tadi?"
"Kenapa?"
Dia tu nak tuduh aku belasah 'abang-abang' kau tu. Main sedap je nak tuduh aku..." kata-kata Rafiqan membuatkan Hardina sedikit terguris. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia turut terpanggil sedangkan dia hanya mendiamkan diri sahaja tadi.
"Kenapa saya dipanggil juga tadi?"
"Semua ni adalah berpunca dari kau!!" Hardina tersentak dengan kata-kata Rafiqan. Tangannya diacung tinggi ke arah Hardina.
"Habis tu, betul ke awak yang belasah diorang?" soal Hardina pula.
"Itu bukan urusan kau!" Rafiqan melajukan langkah meninggalkan Hardina di belakang.
"Awak! Saya boleh tolong awak!" kata Hardina separuh menjerit Rafiqan terhenti melangkah. Kemudian dia berpaling.
"Tak payah! Sejak dari aku berjumpa dengan kau, macam-macam masalah datang menimpa aku. Entah malang apa yang kau bawa, tak tahulah. Aku tak nak lagi! Faham?!” kata Rafiqan membuatkan Hardina tersentak. Dia betul-betul terasa dengan kata-kata dari Rafiqan. Matanya menjeling tajam ke arah Rafiqan yang semakin jauh darinya. Entah kenapa hati lelaki itu begitu keras untuk menerima usul darinya. Sungguhpun berkali-kali Rafiqan meninggikan suara terhadapnya, tidak pernah walau sekali terlintas di mindanya memikirkan rasa benci. Dia tahu Rafiqan tidak seperti itu. Kalau dilihat dari wajahnya, dia percaya ada satu lagi karekter yang dimiliki oleh Rafiqan yang tidak pernah ditunjukkannya. Setinggi mana pun suara Rafiqan lontarkan, ternyata ada redup di matanya. Redup yang sukar ditafsirkan, redup yang menanggung pelbagai penderitaan.  Hardina berjalan sendirian menuju ke kelas.

Pada hari yang sama Rafiqan dan Hardina menerima notis untuk menghadiri perbicaraan yang diadakan selepas sekolah. Perasaan Hardina betul-betul tidak keruan. Apa yang difikirkannya hanyalah perasaan ibunya. Dia sendiri tidak sanggup untuk menyampaikan berita ini kepada ibunya.
Rafiqan hanya berdiri tegak tanpa mengeluarkan sepatah perkataan. Kelihatan seorang lelaki yang separuh abad sedang berbincang dengan cikgu Razak. Wajahnya tenang, berkopiah putih dan janggutnya yang beruban meyakinkan Rafiqan bahawa lelaki itu adalah seseorang yang berjawatan tinggi di sekolah itu.
“Ahmed Rafiqan Rahman, sila jawab ‘saya cikgu’ kalau betul saya sebut nama kamu..." kata Ustaz Ramli, pengetua sekolah memulakan bicara. Disebelahnya cikgu Razak sedang memerhatikan dia dan Hardina yang masih berdiri tegak. Beberapa orang cikgu lain turut berada di situ sedang memerhatikan mereka berdua.
"Saya, cikgu..."
"Nurul Hardina Ismail, sila jawab ‘saya cikgu’ kalau betul saya sebut nama kamu..." Ustaz Ramli mengulangi kata-katanya.
"Saya cikgu..." Hardina menjawab perlahan.
"Baik, seperti mana diminta oleh kamu Rafiqan, majlis perbicaraan akan dilakukan pada hari ini..."
"Rafiqan, siapa yang beiasah kamu?” soal cikgu Razak pula tiba-tiba menyampuk. Rafiqan tersenyum
"Wakil sekolah inilah..."
"Saya mahu, kamu jangan main-main! Jawab soalan saya tadi. Siapa yang belasah kamu!" kali ini suara cikgu Razak agak tinggi membuatkan Rafiqan agak tersentak.
"Aiman dan Faizal ..." balas Rafiqan perlahan.
"Baik, sekarang saya tanya kamu, disebabkan Aiman dan Faizal pernah membelasah kamu, sekarang kamu membalas dendam kan?" soal cikgu Razak lagi. Ustaz Ramli masih terdiam.
"Chup, sekarang Aiman dan Faizal yang kena beiasah? Cikgu tuduh saya? Sebab saya ada motif, macam tu? Cikgu, bila mereka kena belasah?"
“Semalam..."
"Semalam kena belasah, hari ini cikgu dah panggil saya ke sini untuk bertanya adakah saya yang melakukannya kan? Maknanya pihak cikgu masih tidak tahu siapa yang belasah mereka kan? Tapi, semasa saya yang kena belasah, terang-terang pihak cikgu tahu siapa punya angkara, sampai ke hari ini pihak cikgu tak pernah nak membela saya. Patutkah cikgu, ustaz? Mungkin disebabkan saya pelajar baru dan baru berpindah ke sini, dan mempunyai rekod buruk di sekolah lama, maka saya dianaktirikan oleh pihak sekolah. Sebab itulah kan?" kata Rafiqan panjang lebar. Wajah kedua-dua cikgu Razak dan Ustaz Ramli merah padam mendengar kata-kata Rafiqan.
“Jadi kamu mengaku lah ya?" tambah cikgu Razak.
“Saya tak nak komen apa-apa sehinggalah saya mendapat hak saya dahulu.."
“Maksud kamu?"
"Mengenai kes saya terdahulu .. Tu aje..."
"Macam nilah Rafiqan, saya tak sangka awak sebegini bijak. Jawab ya atau tidak, awak mengaku bersalah?" soal cikgu Razak.
“Dalam kes Aiman dan Faizal kena pukul?"
"Ya,"
"Jawapan saya, tidak. Saya tidak mengaku bersalah..." balas Rafiqan. Hardina hanya terkedu dengan kata-kata Rafiqan. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku di hadapan matanya. Begitu lancar Rafiqan berkata-kata, sedikitpun tidak tergambar rasa gementar di wajahnya. Wajahnya tenang menjawab setiap pertanyaan seolah-olah telah dirangka terlebih dahulu.
“Tapi Aiman dan Faizal menuduh kamu, bagaimana kamu mahu menjelaskannya,” tambah cikgu Razak lagi. Nampak sangat dia membela kedua-dua anak Datuk Hamzah itu.
"Ustaz Ramli dan cikgu Razak, saya tak nak mempertikaikan kekredibilitian cikgu dan ustaz, tapi saya rasa ustaz perlu dengar sendiri dari telinga ustaz akan kata-kata dari kedua-dua belah pihak. Tak guna jika hanya menghakimi saya seorang kerana 'pihak pendakwa' sepatutnya kena berada dalam majlis ini,” kata Rafiqan membuatkan cikgu Razak terkejut. Dia memandang ke arah Ustaz Ramli. Kelihatan Ustaz Ramli menganggukkan-anggukan kepala.
“Betul juga kata dia tu. Kenapa tak bawa kedua-dua pelajar itu sekali?” soal Ustaz Ramli. Kali ini cikgu Razak menjadi gelisah. Dia telah berjanji dengan Datuk Hamzah akan selesaikan perkara ini.
"Mereka cuti ustaz..." jawab cikgu Razak teragak-agak.
"Fine, kalau macam tu, perbicaraan ini tidak boleh diteruskan sehingga kedua-dua pelajar dapat menghadiri ‘perbicaraan' ini ataupun mesyuarat ini. Awak berdua dibenarkan pulang..." kata Ustaz Ramli membuatkan Hardina merasa lega. Walaupun dia tidak banyak disoalsiasat, namun jantungnya tetap berdegup kencang.
“Terima kasih..." hampir serentak kata-kata dari Rafiqan dan Hardina.
"Tapi Rafiqan, saya harap kamu berhati-hati dengan istilah yang kamu gunakan. Jangan sesedap mulut sahaja kamu melontarkan kata-kata terhadap kami. Kami masih guru kamu,” tambah Ustaz Ramli lagi.
"Baik ustaz, maafkan saya jika saya tersilap kata. Saya cuma berkata jika saya rasa ianya relevan. Itu sahaja. Maafkan saya ustaz, cikgu..." kata Rafiqan lalu berlalu.
"Dia memang seorang yang tenang,” bisik Ustaz Ramli sendirian. Cikgu Razak hanya mendengarnya tanpa berkata apa-apa.
Rafiqan berjalan dahulu hampir 5 meter dari Hardina. Saat-saat ini semua pelajar sudah pulang. Hanya mereka berdua sahaja yang masih menyusuri jalan untuk pulang.
"Awak seorang yang berani..." Hardina cuba untuk berbual dengan Rafiqan Rafiqan yang dapat mendengar kata-kata Hardina dengan jelas hanya mendiamkan diri.
"Awak dengar tak kata-kata saya ni?" tambah Hardina apabila Rafiqan hanya mendiamkan diri.
Rafiqan memalingkan muka ke belakang.
"Aku berani atau tidak itu bukan urusan kau. Jangan ingat aku membela diri aku, aku tidak salahkan kau! Sebab kau lah semua ini terjadi, tahu tak!" bentak Rafiqan semula. Hardina tersentak. Entah kenapa dia masih boleh terfikir untuk mengajak orang seperti itu berbual dengannya.
“Awak ni kan, kalau awak berterusan macam ni, sampai bila-bila pun awak tak akan ada kawan tau!" tambah Hardina.
"Ah, aku datang sini bukan nak cari kawan. Aku datang sini sebab terpaksa! Kau tau tak? Aku terpaksa!!!!!" Rafiqan melepaskan geramnya pada Hardina. Apa nak jadi, jadilah.
Hardina hampir menangis apabila dia disergah sebegitu rupa. Hendak sahaja dia melempang lelaki itu, namun apakan daya, dia hanya seorang perempuan yang masih dapat memikirkan baik buruk sebelum melakukan sesuatu.