Monday, May 15, 2017

Redup Yang Panjang 2 (Episod 1)

Nota kepala : Cite yang ni bukan sequel untuk Redup Yang Panjang.. Tajuknya akan difikirkan semula...

 Redup Yang Pergi (Tajuk Sementara)

Hari itu langit cerah. Bahang panas mentari menyemarakkan lagi peluh yang mengalir laju membasahi tubuhnya. Matanya liar memandang ke arah ombak yang tidak pernah jemu memukul pantai. Sesekali angin panas bertiup ke arah beranda rumahnya yang sememangnya hanya beberapa puluh meter sahaja dari pantai. Dia masih merenung ke arah jalan besar kalau-kalau ada posmen yang datang membawa secebis berita gembira padanya.
Dia melihat jam di tangan. Hampir masuk waktu Zohor. Baru sahaja dia melangkah kaki menaiki rumahnya, deruan enjin motosikal menarik perhatiannya untuk berhenti seketika. Matanva bersinar melihat posmen yang selama ini ditunggunya akhirnya muncul di tengah halaman rumahnya.
Surat bertukar tangan. Hatinva berbunga riang apabila terpampang nama Universiti Teknologi MARA di penjuru surat tersebut. Tanpa berlengah lagi dia terus membuka surat tersebut.
"Alhamdulillah.." ucapnya syukur apabila pernantiannya selama ini berbaloi. "Dapat juga akhirnya " bisiknya sendirian.
"Shairi...” sayup terdengar suara ayahnya dari belakang. Dia tidak menyahut namun terus berlari ke arah ayahnya.
"Dapat?” soal ayahnya
"Dapat.. " balasnya semula.
Dia melipat semula surat tersebut lalu melangkah lemah menuju ke biliknya. Sungguh tidak disangka, berjaya juga dia menyambung semula pengajiannya dalam bidang ijazah pula.
Fikirannya menerawang jauh memikirkan satu nama yang seringkali bermain di fikirannya sejak akhir-akhir ini.

"Macam mana?"
"Macam mana apanva?" soal Shairi semula. Dia mendongak sedikit menantikan jawapan dari mulut Shahrul.
"Pilihan universiti yang aku pilih ni la, macam mana? Okey ke tak okey?" tambah Shahrul semula.
"Oh, pasal tu ke? Okey je, aku tak kisah sangat. Yang penting kita kena cuba mohon dulu," balas Shairi semula.
Shahrul tunduk sambil tangannya berterusan mengisi borang UPU untuk permohonan memasuki university. Semua universiti yang menjadi pilihannya menjadi universiti pilihan juga pada Shahrul.
 "Shairi…" Shahrul bersuara.
Shairi mengalihkan pandangannya pada wajah Shahrul. Shahrul masih lagi terdiam.
"Apa?" soal Shairi semula. Dia kembali menatap borang yang berada di depannya itu.
"Kenapa kau ikut sahaja universiti pilihan aku?" soal Shahrul kemudiannya.
“Kenapa? Tak boleh ke?"
"Bukan macam tu maksud aku. Aku cuma tertanya-tanya kau ni takde universiti sendiri ke yang menjadi pilihan utama kau?"
Shairi menggelengkan kepala. Shahrul hanya menganggukkan kepala
"Aku tak pandai dalam memilih. Sebab itu aku serahkan semua pada kau untuk buat keputusan," tambah Shairi lagi.
"Tapi ini untuk masa depan kau."
"Masa depan boleh dibina dan dirancang. Bukan melalui keutamaan semata-mata.
"Tapi……”
"Takde tapi-tapi lagi. Yang penting aku ada member seperti kau sudah cukup untuk aku…"
"Apa-apa sahaja lah!"


"Alamak, macam mana ni?" Shairi mengeluh sendirian melihat keadaan motornya yang pancit. Shahrul menghampirinya.
"Shairi, kau jangan risau. Aku kan ada. Aku boleh buat semua ni," balas Shahrul. Tanpa membuang masa dengan segala kepakaran yanga ada padanya, Shahrul menanggalkan satu persatu tayar motosikal Shairi. Shairi hanya memandang. Dalam hatinya, mujurlah si Shahrul ni ada.
Entah bagaimana hendak dijadikan cerita hari itu sungguh malang bagi dirinya. Sebaik sahaja kelas diumumkan berakhir, Shairi terus melangkah laju menuju ke tempat letak motosikal. Kehampaan jelas terpapar di wajahnya apabila melihat tayarnya pancit. Dalam keadaan terpinga-pinga, muncullah satu wajah yang memberi sinar harapan pada Shairi. Kebetulan Shahrul juga meletakkan motosikalnya berhampiran dengan motornya.
Shairi mengesat peluh yang mengalir di dahinya. Apatah lagi pada tubuh Shahrul yang bertungkus lumus membetulkan tayar motor tersebut.
Sebaik tayar tersebut dicabut, Shahrul membawanva ke bengkel untuk menukar tiub. Hampir setengah jam barulah Shairi dapat menarik nafas kelegaan apabila Shahrul kembali dengan tayar yang bertiub baru. Kalaulah Shahrul tiada, tidak tahu bagaimana dia mampu menghadapi semua ini keseorangan.

Deringan telefon bimbitnya mengejutkannya dari terjaga. Shairi mencapai lalu menjawabnya
"Hello..."
"Woi! Kau buat apa lagi?? Ujian nak mula 5 minit lagi!" sayup terdengar suara Shahrul dari corong telefon.
Mata Shairi terbeliak. Barulah dia sedar yang dia sudah terlajak dari tidur. Jam menunjukkan ke angka 10 pagi. Bermakna ujian bermula bila-bila masa sahaja lagi.
Bergegas Shairi bersiap dengan seberapa pantas yang boleh. Dia tidak menduga perkara sebegini boleh terjadi. Kalau tiada Shahrul, tidak tahu apa yang akan berlaku. Mendapat markah kosong lah jawabnya.
Sesampainya di dewan ujian, dia mendapati Shahrul sudah menyediakan tempat di sebelahnya. Mujurlah ujian masih belum bermula, menantikan kesemua pelajar datang. Maklumlah, hari itu hari Sabtu.
 "Shahrul, mujur kau ada…" kata Shairi separuh berbisik.
"Kenapa ni? Kau tidur pukul berapa semalam?" soal Shahrul semula. "Letih la semalam, aku berjaga malam…" balas Shairi.
"Kau mentelaah untuk ujian hari ini ke?"
"Tak tahulah, aku rasa semalam banyak borak dari membaca. Eh, nanti kalau aku tak dapat buat, kau tolong ek?" kata Shairi semula.
"Kau pun tolonglah aku sekali…” perbualan mereka terhenti apabila pensyarah mengumumkan ujian bermula.
Sepanjang ujian berlangsung, tak henti-henti Shairi berterima kasih pada Shahrul. Baginya Shahrul telah banyak berjasa. Tak tahulah macam mana kalau dia terus terlajak dengan tidurnya tadi.
Shahrul Azuar, nama itu bermain lagi di fikiran Shairi. Sudah tiga minggu arwah meninggal. Mungkin Allah lebih menyayanginya, lantas dijemputnya pergi dahulu. Shairi masih lagi terkenangkan saat-saat yang boleh dikatakan paling manis pernah dia alami, bersama-sama seorang sahabat yang banyak membantunya dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Perkenalan dengan Shahrul bukanlah perkara yang dirancang. Semuanva berlaku begitu pantas. Daripada pertelingkahan kecil membawa mereka mengenali antara satu sama lain. Sehinggalah maut yang memisahkan mereka. Shahrul Azuar, seorang yang bersifat sederhana dan tidak sombong dengan kelebihan yang dimilikinya. Boleh dikatakan Shahrul merupakan salah seorang pelajar yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Berasal dari sebelah utara, memiliki kepetahan dalam debat. Shairi pernah sekali bertegang leher dengannya, namun nyata Shahrul lebih handal dalam membidas kata-kata Shairi. Namun perkara tersebut tidak menjadi jurang pemisah antara mereka.
Surat tawaran universiti masih direnungnya. Fikirannya tertanya-tanya bagaimana kalau Shahrul masih hidup. Mungkin dia tidak sesunyi ini. Airmata jernih mengalir perlahan-lahan menuruni pipinya. Ah, aku tidak boleh menangis. Hidup mesti diteruskan, biarpun sentiasa diselangi dengan dugaan dan rintangan. Shairi sedar apa yang dilaluinya bukanlah semudah yang disangka. Bukan mudah untuk mencari seseorang seperti Shahrul. Bukan senang untuk berjumpa seseorang seperti Shahrul. Namun takdir mengatakan dia akan meneruskan pengajiannya tanpa Shahrul
Cuaca hari itu mendung. Shairi bersama-sama rakan serumahnya, Hakim dun Sazali berjalan pantas menuju ke dewan untuk sesi pendaftaran. Sazali turut hairan dengan perubahan mendadak ke atas Shairi yang menjadi pendiam tiba-tiba. Dia turut mengenali arwah Shahrul yang dikenali melalui Shairi. Pemergiannya itu juga agak mengejutkannya. Mungkin dia tidak menyangka yang arwah akan pergi dalam usia yang masih muda ini, menjadikannya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan hari ini.
"Shairi, takkan kau nak berterusan macam ni?" kata Sazali tiba-tiba. Dia amat mengerti perasaan menghadapi kehilangan orang yang paling hampir dan rapat.
"Berterusan yang macam mana?" soal Shairi semula. Hakim yang hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak berminat untuk masuk campur dalam perbualan mereka.
"Berterusan dengan keadaan seperti ini. Mendung seperti yang kita alami sekarang. Kau kena terima kenyataan," balas Sazali
"Kenyataan yang macam mana ni Sazali? Dulu aku rasa aku macam ni juga," kata Shairi semula.
"Kau bukan macam dulu lagi sekarang ni, hampir aku tidak kenal dengan kau sekarang. Dulu kau seorang yang periang, ceria," balas Sazali. Hakim hanya mengangguk.
"Sazali, hakikat dan kenyataan memang tidak dapat diubah. Tetapi kau harus faham, lagipun hari ini kan hari pertama kita di sini. Suasana agak berbeza tanpa arwah...”
Sazali terdiam. Mungkin benar kata-kata Shairi itu. Kalau dulu, di mana ada Shahrul, di situlah ada Shairi. Begitu jugalah sebaliknya. Sazali hanya mendiamkan diri. Mereka kemudiannya terus menuju ke arah kawasan pendaftaran pelajar-pelajar baru.
Selesai mendaftar Shairi mengajak Sazali dan Hakim makan. Mereka menuju ke arah cafeteria yang terletak tidak jauh dari tempat mereka mendaftar.
"Shairi!" terdengar sayup suara memanggil namanya. Kelihatan beberapa orang kawan sekelasnya dahulu melambai-lambaikan tangan. "Nak makan ke?" soal Daud. Shairi hanya mengangguk.
"Jomlah join kitorang," kata Hashim pula. Shairi duduk diikuti dengan Hakim dan Sazali.
"Aku ada dengar cerita pasal Shahrul, mungkin sudah takdir," kata Khairul, merupakan salah seorang dari kawan sekelas mereka dahulu. Shairi hanya terdiam. Osman, Daud, Hashim, kebanyakannya adalah sekelas dengan Shairi dan arwah. Dan kebanyakannya tahu keakraban dia dengan arwah.
"Kau jangan sedih sangat kata,” Daud memberi semangat. Shairi hanya tersenyum. Dia tidak banyak bercakap.
"Shairi, kau kenal dia pun takdelah macam aku kenal dia. Aku lagilah terasa, macam aku dengan Haidir ni kenal sejak sekolah dengan arwah," tiba-tiba Hariz yang turut bersama mereka mencelah. Haidir hanya mendiamkan diri. Sebenarnya Shairi tidak kenal sangat dengan Hariz dan Haidir. Mereka kenal pun atas dasar member serumah kepada arwah Shahrul.
"Ala, jangan risaulah, aku ok je.." akhirnva Shairi bersuara jua. Hakim dan Sazali sedari tadi hanya mendiamkan diri sahaja.
Hari itu merupakan hari pertama Shairi menjejakkan kaki ke kelas. Dia merasa agak janggal dengan keadaan kelas yang rata-ratanya belum dikenali lagi sebelum ini. Shairi menarik nafas kelegaan apabila Haidir muncul. Sekurang-kurangnya sudah ada orang yang dia kenal sebelum ini.
"Shairi, kelas ni ker?” tegur Haidir.
“A'ah, kau pun?" soal Shairi semula. Haidir hanya mengangguk. Shairi mendiamkan diri. Dia dan Haidir tidak banyak barcakap. Mungkin sebab ini kali pertama mereka dipertemukan dalam satu kelas.
"Shairi, aku turut bersimpati atas pemergian Shahrul," kata Haidir tiba-tiba. Shairi tersentak apabila nama Shahrul disebut. Dia memalingkan muka ke arah Haidir. Kemudian dia tunduk semula.
"Maaf, kalau aku buat kau teringat," tambah Haidir.
"Takde la. Yang pergi tetap pergi kan?" balas Shairi semula. Haidir hanya terdiam. Shairi mendiamkan diri. Diperhatikan gerak geri Haidir, boleh dikatakan agak bergaya, anak seorang yang berada dan mungkin memiliki taraf hidup yang mewah.
Kelas hari itu berjalan seperti biasa. Shairi masih lagi dengan sikap barunya – pendiam. Sebaik sahaja kelas diumumkan berakhir, dia terus melangkah laju untuk pulang. Tiba-tiba dirasakan namanya dipanggil.
 "Shairi!"
Shairi berpaling Haidir rupanya.
"Apahal?" soal Shairi.
"Pembahagian kumpulan pembentangan tadi tu, aku satu kumpulan dengan kau boleh?" soal Haidir.
"Boleh, apa salahnya?" balas Shairi.
"Okey, itu sahaja," balas Haidir sambil berlalu. Shairi hanya memerhatikannya dari jauh melihat Haidir menuju ke arah Honda CRV kepunyaannya itu. Mewah, getusnya sendirian.
Shairi terpandang pada satu iklan yang tertampal di dinding. Iklan itu begitu menarik perhatiannya. Satu pertandingan menulis karya berkonsepkan bebas begitu menarik perhatiannya. Tiba-tiba datang idea untuk dia menyertai pertandingan itu.
"Apa? Kau nak menulis karya?" soal Sazali apabila Shairi menyuarakan hasratnya. Shairi hanya mengangguk.
"Apa bakat kau? Apa yang kau nak tulis?" soal Sazali semula.
"Entah, aku belum fikirkannya lagi..."
Shairi memikirkan sejenak apa yang patut dia hasilkan sebagai karya. Mungkin inilah satu-satunya cara untuk dia meluahkan segala perasaan yang terpendam di dalam hatinya. Mungkin inilah juga peluang untuk dia mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.

“Haidir Iskandar bin Syukri," kata Haidir apabila namanya ditanya suatu hari.
“Bukan bin Dato' Syukri?" soal Shairi semula.
"Ish, mengarut betullah kau ni, aku bukan anak dato' la," kata Haidir semula. Shairi hanya tergelak.
"Manalah tahu, aku tengok gaya kau macam anak dato' je..”
"Mengarut! Yang kau tanya nama aku ni apasal?" soal Haidir semula. "Aku nak letak nama kau kat muka depan assignment kita," kata Shairi.
"Amboi, dah siap ke?"
"Eh, mestilah. Kalau kerja dengan aku, mesti cepat siap punya,”
"Bertuah betul aku, dapat partner maacam kau!"
"Oh, kau tak tahu ke? Selalunya aku buat semua ni dengan Shahrul," kata-kata Shairi terhenti seketika. Wajah Haidir berubah apabila nama Shahrul disebut. Shairi hanya membisu tanpa berkata apa-apa apabila. Haidir hanya terdiam.
Sejak berkawan dengan Haidir, Shairi semakin ceria. Boleh dikatakan dia sudah kembali seperti dahulu. Mereka juga agak rapat berbanding sebelum ini. Shairi semakin mampu untuk menerima hakikat yang Shahrul sudah tiada lagi.

"Banyak juga penyertaan kali ini kan?" kata Azura. Suhaima tidak menjawab. Dia cuma memandang sekilas ke arah meja yang menempatkan beratus penyertaan menulis karya.
"Su dah pilih ke karya terbaik?" soal Azura semula.
"Nantilah, Su bukannya juri. Su cuma penganjur je. Lagipun tarikh tutup lagi 2 hari. Manalah tahu, ada lagi penyertaan dalam 2 hari ni," balas Suhaima
"Ye lah!"
Suhaima terdiam. Tangannya menarik salah satu karya yang terletak di atas meja di situ. Entah kenapa hatinya tergerak untuk membaca karya tersebut walaupun sebelum ini dia menolak untuk membaca mana-mana karya. Katanya dia tidak mudah tersentuh. Malah karya-karya itu cumalah sebagai cara dia mempromosikan Kelab Seni.
'Tragis Berbaur Rindu', begitulah tajuk yang tertera pada karya tersebut. Dengan tidak sengaja dia menarik karya itu. Satu persatu ayat dalam karya tersebut ditelitinya. Suhaima begitu tertarik dengan gaya persembahan jalan cerita yang disampaikan. Tiba-tiba matanya berkaca. Begitu menyentuh perasaan ketika dia membacanya.
"Suhaima??" sergah Azura. Suhaima tergamam apabila disergah begitu. Dia berpaling tanpa sempat mengesat air matanya.
"Ya Allah, Su. Kenapa menangis ni?" soal Azura semula.
"Isk, Su bukan menangis lah!"
"Habis?" mata Azura terpandang pada karya di tangan Suhaima. "Ya Allah, Su menangis pasal apa ni?" tambah Azura lagi. Dia tergelak besar melihat gelagat Suhaima. Suhaima hanya tersengih.
"Hai, nampaknya kita dah ada pemenang untuk pertandingan karya kali ini. Dah, buruk benar Ira tengok rupa Su lepas menangis ni."
Suhaima tersenyum. Dia meletakkan semula karya itu di atas meja. Kemudian kembali kepada Azura.
"Ada apa?" soal Suhaima semula
"Jom kita balik. Lagipun Ira lapar ni. Kita pergi makan dulu nak?" tambah Azura. Suhaima hanya mengangguk.
"Makan kat cafe fakulti ajelah," Suhaima memberi cadangan.
"Jom!"
Azura mengikut dari belakang Suhaima. Di fikirannya masih lagi tertawa melihat gelagat Suhaima yang terlalu emosi sebentar tadi. Suhaima bukanlah seorang yang gemar dengan karya-karya ni. Entah kenapa karya yang dibacanya tadi terlalu mengganggu emosinya. Sebelum keluar dari bilik persatuan, dia masih sempat menjeling ke arah karya yang dibaca oleh Suhaima sebentar tadi. 'Tragis Berbaur Rindu’ getusnya sendirian.
Keadaan di cafeteria agak sibuk memandang waktu itu hampir masuk waktu Zohor. Kebanyakan waktu sebegini, ramai pensyarah dan pelajar tertumpu pada cafeteria untuk makan tengah hari. Azura memilih sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan oleh pelanggan lain. Suhaima hanya mengangguk. Dia menuju ke kaunter dahulu sementara Azura menantinya di meja.

Mata Haidir terpandang pada satu susuk tubuh yang selama ini selalu diperhatikannya. Kebetulan dia dan Shairi turut menikmati hidangan tengah hari di cafeteria fakulti.
"Shairi, kau kenal tak perempuan tu?" soal Haidir. Shairi mengangkat muka sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Haidir.
"Kau ni kan. masa makan pun ada peluang nak tengok perempuan?” balas Shairi.
"Ah, itu kata kau. Perempuan ni dah lama aku minat. Dari dulu lagi, tapi aku tak tahu macam mana nak ayat," kata Haidir semula.
"Ah. kau! Macam aku tak kenal kau, perempuan ni kau suka, perempuan tu pun kau minat. Mana ada perempuan yang kau benci?"
"Shairi, please! Jangan kata yang bukan-bukan sebelum kau tengok sendiri perempuan yang aku maksudkan," balas Haidir agak keras. Geram dibuatnya bila Shairi seolah-olah memerlinya.
"Okeylah, mana perempuannya?"
"Tu…..” muncung Haidir menunjukkan ke arah seseorang di belakang Shairi. Shairi terpaksa berpusing ke belakang. Kemudian dia mengerutkan dahi. Shairi tergamam melihat keayuan wajah Suhaima yang terserlah.
"Tengok, kau pun tak terkata lepas tengok dia, apatah lagi aku," kata-kata Haidir mematikan lamunannya.
"Oh, dia ni ke?" soal Shairi.
"Kenapa? Kau kenal ke?" soal Haidir semula.
 "Macam pernah tengok. Budak fakulti kita ke?"
"Ye kot…"
"Abis tu? Takkan tengok saja kot?" soal Shairi.
"Manalah aku tahu!"

“Su, kenapa Su menangis tadi?" soal Azura sebaik sahaja Suhaima menyuapkan makanan. Suhaima masih terdiam.
"Kenapa? Ira nak tahu ke?"
"Tersentuh sangat ke?" tambah Azura semula.
"Entahlah Ira, Su pun tak tahu. Tapi karya yang Su baca tu macam real  ceritanya. Sedih pun ada juga, Su dapat rasakan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis," balas Suhaima.
"Su nak dia menang ke?"
"Apa maksud Ira?"
"Maksud Ira, Su nak karya tu menang ke? Kan ke Ira ni salah seorang juri.."
"Entah, Su takdelah terfikir macam tu, kalau Ira rasa dia patut menang, apa boleh Su buat kan'? Baik Ira baca sendiri. Jangan ingat bila Su kata ok, Ira fikir karya tu karya terbaik.. "
"Masalahnya Su ni bukan suka baca karya. Sekali baca terus tersentuh, mesti terbaik punya karya tu…" mereka berdua tergelak.

"Tengok cara dia gelak, tak macam perempuan lain. Sopan je.." kata Haidir pada Shairi. Shairi tersengih.
"Alah, tu kata kau, sebab kau dah angau dengan dia.." balas Shairi.
"Tak, aku rasa pilihan aku kali ini sempurna sangat.."
"Kau mimpi laa…”
"Eh, yang aku cerita ni, aku tak tahu pun perasaan kau, manalah tahu kau simpan perasaan juga kat minah tu.."
“Kenapa? Tak boleh ke?" soal Shairi semula.
"Mana boleh, aku dah chop dulu!" mereka turut tergelak.
Shairi terdiam, kalau nak dikira, dalam hatinya turut tertarik pada perempuan yang masih belum diketahui namanya itu, kerana apa yang diketahuinya, perempuan itu memang cukup terkenal sebelum ini, cuma tidak berpeluang untuk menjadi kenalannya lagi. Dari diploma lagi dia sudah melihat perempuan itu.

"Su, Ira ada lagi nak tanya ni," kata Ira semula.
"Apa dia?"
"Pengarang karya tu, laki ke perempuan?"
"Lelaki agaknya," balas Suhaima.
"Macam mana Su boleh tahu lelaki?"
"Dari nama penanya..."
"Apa nama penanya?"
"Shairi….”
"Wah, lelaki pun hebat dalam mengarang ni kan?"
"Tulah Ira tak tahu. Su pun terperanjat juga bila tahu nama pengarangnya…"
"Ni yang buat Ira tak sabar-sabar nak baca ni,"
"Su pun tak sabar-sabar nak kenal orangnya..."
"Hah?!!"
"Entahlah Ira, Su rasa macam nak berkenalan dengan orangnya. Nak kenal sangat orang yang mampu buat Su menangis tadi..”
"Siapa?”
"Shairi lah..!”


"Uhuk!"
"La, apasal pulak tersedak ni? Dah, minum air ni," kata Haidir sambil mengurut-ngurut belakang Shairi. Shairi meneguk air, entah kenapa tiba-tiba je tersedak.
"Ada orang sebut nama kau kot?” kata Haidir berseloroh.
“Kelakarlah tu!"


"Tengok mamat tu, makan tak reti sampai tersedak pula," kata Azura sambil menunjukkan ke arah Shairi yang tidak berapa jauh dan meja mereka. Suhaima hanya tersengih.
“Ada orang sebut nama dia kot?” kata Suhaima bersahaja.
“ Tak pun, tulah Shairi yang Su sebut tadi!?" mereka berdua tergelak lagi.


0 comments:

Post a Comment