Wednesday, February 8, 2017

Redup Yang Panjang (Part 15)

HAI Dina, awak apa khabar?" sapa Rafiqan suatu pagi yang hening. Walaupun kelas dijadualkan bermula jam 8.30 pagi, seawal 8.00 pagi lagi Hardina sudah terpacak di kelas.
“Oh Pi, sihat je..." Hardina cuba mengukir senyum. Namun nyata hambar.
"Haidir mana?” soal Rafiqan pula.
Tiba-tiba wajah Hardina berubah. Dia tidak jadi untuk meneruskan bicara dengan Rafiqan. Rafiqan sedikit perasan akan perubahan Hardina, segera timbul perasaan kesal di sanubarinya.
“Pi, dia kan kawan baik awak, rasanya awak yang lebih tahu dari saya!!" bentak Hardina tiba-tiba. Rafiqan agak tersentak dengan tengkingan itu.
“Dina, kenapa ni?" soal Rafiqan dengan terpinga-pinga. Hardina tidak menjawab. Sebaliknya matanya tiba-tiba berkaca. Rafiqan serba salah. Mujurlah waktu-waktu begini masih kurang pelajar yang sudah tiba.
Dina, saya tahu segala-galanya..." kata-kata Rafiqan membuatkan Hardina pula yang terperanjat.
“Awak tahu?" soal Hardina antara percaya dengan tidak. Rafiqan hanya menganggukkan kepala.
"Macam mana awak tahu?" tambah Hardina lagi.
“Haidir yang ceritakan segala-galanya..." Hardina terkesima mendengar kata-kata Rafiqan. "Apa yang terjadi Dina?" soal Rafiqan lagi. Hardina tidak terus menjawab. Dia menyeka air mata yang mengalir deras di pipinya. Hatinya bagai direntap-rentap dengan belati yang tajam apabila mendapat tahu Haidir sendiri yang bercerita mengenainya pada Rafiqan.
"Entahlah Pi, Dina sendiri tidak tahu..."
"Dina, orang dah ramai yang datang ni, tak elok awak menangis depan mereka, sabarlah,” kata Rafiqan apabila mendapati kelas mula dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang lain. Hardina hanya mengganggukkan kepala. Rafiqan bangun lalu menuju ke arah tempat duduknya. Belum sempat dia melangkah, terdengar suara Hardina memanggilnya.
"Pi..."
Rafiqan berpaling.
“Ada apa?”
"Boleh saya jumpa awak lepas kelas nanti?" soalnya. Rafiqan hanya mengangguk laju. Kemudian dia kembali ke arah tempat duduknya di sebelah Haqimie.
"Kenapa tu?" soal Haqimie.
"Kenapa apa?" soal Rafiqan pula.
"Kenapa aku nampak dia macam menangis? Kau dah buat apa kat awek Haidir tu?" soal Haqimie semula. Dia memang jahil untuk memahami semua ini.
"Ah, aku pun tak tahu nak cerita macam mana, kalau ada masa aku bagitau ye?”
Haqimie menganggukkan kepala, laju.
Sebaik kelas diumumkan berakhir segera Rafiqan mendapatkan Hardina. Semua masalah diluahkan tanpa perasaan malu lagi. Hardina sendiri tidak menyangka perhubungan yang dibina selama 2 tahun akhirnya berakhir dengan begitu sahaja.

"AKU rasa aku akan beritahu perkara yang sebenar,” kata Rafiqan tiba-tiba memecah kesunyian suatu malam sewaktu dia dan Haqimie sedang mentelaah.
"Beritahu perkara apa? Pada siapa?” soal Haq yang kebingungan.
"Pada Dina, yang aku betul-betul sukakan dia..." balas Rafiqan. Haq menjegilkan mata.
"Kau dah gila? Memang aku tahu dari dulu lagi yang kau sukakan Hardina, tapi kau kena sedar yang dia tu teman wanita kawan baik kau, si Haidir tu!" tambah Haq lagi.
"Kau tak tahu ke yang mereka dah berpisah?" Haq ternganga apabila mendengar kenyataan itu. Dia sendiri tidak tahu akan perkara ini.
Lama dia terdiam.
“Kau tak rasa awal sangat ke?" kata Haq apabila Rafiqan tidak bersuara.
"Maksud kau?”
"Yelah, kau kata mereka dah berpisah, mesti baru lagi kan? Tiba-tiba kau nak luahkan perkara sebenar, bukankah itu satu tindakan yang agak tergesa-gesa pada pandangan kau?" soal Haq lagi.
“Tapi, kalau aku lambat, aku takut aku tak akan berjaya..." kata Rafiqan semula Haq hanya menggelengkan kepala.
"Tak boleh macam tu Pi, kau kena tahu risiko yang terpaksa kau tanggung nanti,”
"Risiko apa pula ni?"
"Susahlah aku nak fahamkan kau ni Pi, kalau kau betul-betul tekad dengan keputusan kau, aku nak nasihatkan satu je..."
"Apa dia?”
The best way is kau perlu bagi Dina masa untuk dia selesaikan segala-galanya..”

SUASANA suram menyelubungi dewan kuliah yang dirasakan seakan mengerti perasaannya. Sungguhpun terdengar suara-suara pelajar lelaki bergelak ketawa menambahkan suasana meriah, itu sedikitpun tidak membantu Hardina menghiburkan hatinya. Hardina kini bersendirian. Tiada lagi Haidir di sisinya. Tiada lagi senyuman manis dari lelaki itu untuknya. Hardina sendiri tidak faham akan keputusan Haidir yang semakin menjauh. Yang dia tahu, dia hanya meminta haknya sebagai seorang perempuan. Ingin dicintai dan disayangi. Mujurlah ada Azah di sisi. Kalau bukan kerana gadis itu, sudah tentu Hardina tidak dapat menerima kenyataan ini dengan redha.
"Hai," sapaan suara itu mengejutkan Hardina dari lamunan.
“Pi, terkejut Dina. Dah lama Pi sampai?" soal Hardina cuba menyembunyikan keresahan yang bersarang di jiwa.
“Baru je tadi. Nampak Dina termenung jauh, ingat kat siapa? Rafiqan cuba berseloroh, Haq di sebelahnya hanya tersenyum.
“Tak ingat kat sesiapa pun. Ingat kat ibu di kampung..." segera Rafiqan terkenangkan Makcik Azimah
“Oh ya, makcik Azimah sihat?" soal Rafiqan lagi.
“Alhamdulillah, baru semalam Dina telefon ibu, dia sihat. Dia kirim salam pada Pi..."
“Waalaikum salam. Okeylah Dina, Pi naik dulu ya...'" kata Rafiqan sambil melangkah menaiki anak tangga menuju ke tempat duduk yang agak ke belakang. Tiba-tiba matanya bertentang mata dengan mata Haidir.
Rafiqan memilih satu tempat yang agak jauh dari Haidir, sungguh pun lelaki itu memintanya untuk berada di sebelahnya.
“Pi, duduk kat sebelah aku laa..."
Rafiqan berpaling. Kalau diikutkan memang dia sedikit marah dengan tindakan Haidir kerana meninggalkan Hardina. Namun apabila memikirkan perasaan manusia tidak boleh dipaksa-paksa, Rafiqan mencuba untuk tidak menyalahkan Haidir seratus peratus.
“Dir, kau duduk belakang sangat. Duduk kat sini la..." balas Rafiqan pula. Niatnya untuk mengelak dari Haidir tersinggung, dan sangkanya Haidir akan terus melekat di situ.
“Okey!” Haidir bingkas bangun lalu berjalan turun ke arah sebelah tempat Rafiqan yang masih berdiri.
Mahu tak mahu Rafiqan terpaksa berdepan sekali lagi dengan Haidir.
“Pi, kenapa kau macam lari dari aku?" soal Haidir tiba-tiba. Rafiqan hanya mengerutkan dahi.
“Apa kau cakap ni?" soal Rafiqan semula.
“Kau marah aku ke?”
“Dir, takde apa-apa lah, perasaan kau je tu..."
“Tolonglah berterus terang dengan aku. Takkan disebabkan ini kau nak putus sahabat?”
“Dir, kau tengok Dina sekarang? Macam mana sebelum dan selepas? Kau suka tengok dia macam tu?"
Haidir terdiam, dia hanya tertunduk.
"Dir, mungkin Dina bukan seperti perempuan lain, yang terbuka, konservatif, seperti yang kau selalu mahukan. Tapi Dinalah yang hadir dalam hidup kau, yang memberi cahaya. Tapi sekarang, kau sendiri yang padamkan cahaya itu ..."
"Pi, kau tahu kesannya lebih teruk kalau aku terus berpura-pura dalam perhubungan ini,”
Rafiqan hanya terdiam. Perbualan mereka termati apabila pensyarah mula melangkah masuk ke dalam dewan kuliah.

"MASUKLAH," kata Rafiqan sebaik sahaja membuka pintu kereta yang disewanya semata-mata untuk mengajak Hardina keluar bersama.
"Kereta siapa ni?" soal Hardina semula.
"Kereta kawan..." balas Rafiqan pendek. Tidak diberitahunya bahawa dia sanggup menyewa kereta semata-mata Hardina.
Hardina melabuhkan punggung ke tempat duduk sebelah Rafiqan. Entah apa angin tiba-tiba Rafiqan mengajaknya untuk keluar pada hari minggu tersebut.
“Kita nak kemana?”
"Just say it. Kemudian Pi akan bawa ke mana sahaja Dina hendak pergi,”
"Kan awak yang ajak saya. Saya ikut je awak nak ke mana-mana ,” balas Hardina.
Sepanjang perjalanan, Rafiqan dan Hardina berbual panjang. Banyak perkara yang mereka bualkan, dan perihal pelajaran sehinggalah bab berpolitik pun menjadi topik perbualan mereka.
"Dina, Pi tanya sikit boleh?” soal Rafiqan tiba-tiba.
"Apa dia?”
"Bagaimana keadaan Dina sekarang?" soal Rafiqan. Hardina hanya tunduk
"Maksud awak?"
"Yelah, Dina sekarang ..."
"Macam tu la…”
"Haidir tak telefon?"
Hardina berpaling ke arah Rafiqan dengan pantas. Hampir terkejut Rafiqan dibuatnya.
"Kenapa pandang Pi macam tu?" soal Rafiqan semula.
"Kenapa awak nak tahu?" soal Hardina.
Rafiqan menggaru-garu kepala.
"Maaflah, bukan Pi nak tahu. Dina masih tidak dapat lupakan dia?"
Hardina terdiam.
"Dina, perasaan Pi terhadap Dina tak pernah berubah ..."
“Pi!!!" Hardina separuh menjerit apabila dia mendengar pengakuan dari Rafiqan.
"Betul Dina, Pi masih macam dulu..."
"Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa!" Hardina menutup telinganya dengan kedua-dua belah tangannya. Rafiqan agak tersinggung dengan perbuatan Hardina yang tiba-tiba meninggikan suara.
Kereta sewa itu terus meluncur laju tanpa mengetahui perasaan si pemandu dan penumpang yang sedang tegang sekarang. Hampir sepanjang perjalanan mereka berdua masih berdiam diri. Seolah-olah tanpa tujuan. Rafiqan terus memandu dan Hardina yang pandangannya hanya bertumpu pada jalanraya.
"Dina, awak bosan keluar dengan saya? Rasa seperti awak tak gembira sahaja...” Rafiqan cuba memulakan semula perbualan. Hardina hanya menggelengkan kepala.
‘Menggelengkan kepala ni bermakna tak gembira atau tak nak bersembang dengan aku,' fikir Rafiqan sendirian.
"Pi, ada sesuatu yang saya ingin katakan, tapi saya tak tahu macam mana saya nak cakap, mungkin saya perlukan masa..." kata Hardina tiba-tiba membuatkan Rafiqan tersenyum, sekurang-kurangnya dia bercakap dengan aku, getusnya sendirian.
"Ambillah seberapa banyak masa yang awak perlukan..." balas Rafiqan
Hardina terdiam. Pandangannya masih dilempar jauh ke hadapan. Rafiqan menjelingnya seketika.
"Kenapa awak macam tak gembira? Ada kaitan dengan Haidir ke?" soal Rafiqan semula.
"Pi, saya tahu bukan saya seorang sahaja dalam hidupnya. Dia tak akan berubah..."
"Kenapa Dina tak bersemuka dengan dia dan cakap je dengan dia?”
"Awak cakap memang mudah. Tapi awak rasa mampu ke saya berhadapan dengar dia?”
"Pi sedia menolong, kalau inilah jalan terbaik untuk awak kembali kepadanya,”
"Pi, sebenarnya apa yang saya ingin katakan ialah saya nak beritahu awak supaya jangan buang masa untuk saya lagi. Hati saya hanya pada Haidir..." balas Hardina semula. Rafiqan tergamam. Salah ke apa yang dia buat selama ni. Padahal inilah permintaan Haidir supaya dia sentiasa berada di sisi Hardina agar dia tidak merasa kehilangan.
"Pi, Dina nak balik...” tambah Hardina lagi. Rafiqan terkedu. Baru sahaja separuh perjalanan, Hardina sudah diminta untuk dihantar balik. Mahu tak mahu terpaksalah dia berpatah balik.
Hardina terus keluar sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Rafiqan berhenti di perkarangan kolej Mawar.
"Maaf Pi, saya takde mood la..." kata Hardina.
"Takpe, saya faham. Pi pun minta maaf kalau buat Dina tersinggung..”
Hardina berjalan pergi. Kemudian dia berpatah semula ke arah Rafiqan.
"Oh ya Rafiqan, cuba elakkan dari berjumpa dengan saya lagi selepas ini..." kata Hardina lalu berlalu tanpa menunggu jawapan dari Rafiqan.

"DINA, kau macam ada masalah saja, tak nak cerita pada aku ke?" soal Dalila pada suatu malam. Hardina ketika itu hanya berbaring-baring sahaja.
"Takde apa-apalah. Aku okey je. Kau tu nampak sibuk belajar. Tak reti nak rehat ke?" soal Hardina semula.
"Ni bukan belajar, aku tengah siapkan assignment yang berlambak-lambak ni. Esok kena hantar Kau takde kerja ke?"
"Takde..."
Tiba-tiba telefon bimbit kepunyaan Hardina berdering di atas meja tulisnya yang bersebelahan dengan Dalila.
“Dina, phone kau!" kata Dalila semula.
"Tolong jawabkan, lagipun dekat dengan kau," pinta Hardina.
“Hello..." Dalila menjawab panggilan itu bagi pihak Hardina.
“Dina, ada orang nak cakap dengan kau!" kata Dalila sambil menghulurkan telefon ke arahnya.
"Siapa?”
“Entah, tak tahu. Lelaki..."
Telefon itu bertukar tangan.
“Hello," Hardina menyapa.
“Dina, apa khabar?"
“Baik, siapa ni?"
"Piqan..."
"Pi, ada apa?"
"Dina dah makan ke?"
“Dah, baru je lepas makan..."
“Sembahyang?"
"Dah, semua dah..."
“Dina okey tak hari ni?"
"Pi, stop acting like my boyfriend!! Itu semua kerja teman lelaki saya, awak tak payah la susah-susah..."
“Dina, bagi satu peluang kepada saya..."
"Pi, please. Saya tak nak dengar apa-apa lagi..." Hardina mematikan panggilan. Dia semakin rimas dengan sikap Rafiqan yang tiba-tiba berubah.
Rafiqan mengeluh panjang. Entah apa lagi yang perlu dilakukannya untuk menarik perhatian Hardina.

“ASSALAMUALAIKUM.." Sapa satu suara di luar bilik Hardina. Waktu itu waktu petang, Hardina baru sahaja selesai menunaikan solat Asar.
“Wa'alaikum salam,"
"Kak Dina ke?" soal seorang gadis yang comel. Junior dia rupanya.
"Ya, saya Dina,”
"Ini untuk akak!" kata gadis itu lagi sambil menghulurkan sejambak bunga mawar ke arah Hardina.
"Siapa yang kasi ya?”
"Entah, saya pun tak tahu, tiba-tiba sahaja dia panggil saya tadi. Kemudian disuruhnya bagi kepada akak'"
“Tadi?"
"A'ah. dia masih ada kat luar..."
Hardina bangun lalu menuju ke arah tingkap. Dari jauh dia dapat melihat Rafiqan sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya.
"Mamat ni lagi..." bisiknya sendirian.
“Akak, saya pergi dulu. Cantik bunga tu. Akak pun cantik, padan la dengan abang yang kasi bunga tu, dia cute sangat..." balas gadis tadi.
Hardina menggelengkan kepala. Kemudian gadis itu pun berlalu. Hardina mencapai handsetnya.
“Hello Pi, terima kasih. Awak boleh balik, tak payah tercegat di situ lagi!" kata Hardina sebaik sahaja panggilannya dijawab oleh Rafiqan.
Rafiqan mengeluh lagi. Kemudian dia berlalu.

"DINA, kenapa susah sangat untuk Dina terima si Rafiqan tu?" soal Azah suatu hari. Hardina agak terkejut dengan pertanyaan dari rakan sekelasnya itu.
"Kenapa kau cakap macam tu?"
"Bukan apa, aku kasihan dengan Pi, dah macam-macani dia buat, dibagi itu, dibagi ini, kau tetap macam ni. Dina, inilah peluang kau, setelah kau kecewa dengan sikap Haidir..”
"Sebab Haidirlah aku tak boleh terima Rafiqan.."
"Kenapa pula?” soal Azah semula.
"Apa kata orang nanti. Dulu aku terkenal sebagai pasangan Haidir, alih-alih aku dengan Rafiqan pula. Semua orang pun tahu yang Haidir tu bestfriend Rafiqan! Mesti banyak pula yang bawa cerita kalau tiba-tiba aku dengan Rafiqan!"
“Ala kau ni, kalau kita dengar cakap orang, kita tak boleh hidup tau! Setakat kata-kata orang tu, biasalah. Lama kelamaan hilanglah tu bila mereka dah penat bercakap pasal kau!"
"Bukan tu sahaja, aku kenal Rafiqan lebih lama dari aku kenal Haidir..."
"Maksud kau, kau tipu aku la dulu tu?"
"Ya! Aku tipu. Dulu aku cakap aku tak kenal dia kan? Sekarang aku beritahu kau, aku kenal si Rafiqan tu sejak tingkatan dua lagi. Kami satu sekolah .."
"Jadi, apa masalahnya?"
"Kau tak faham Azah. Dulu dia pernah meluahkan perasaannya pada aku, tapi masa tu aku bukan macam sekarang. Aku dulu seorang gadis kampung. Aku dulu yang banyak mengajar dia menjadi manusia yang berguna. Sekarang ni kami dah terbalik. Aku yang banyak berubah. Aku tak sebaik dulu. Aku malu dengan Rafiqan..."
"Itu masalah kau? Aku tak faham lah apa yang buat kau malu sangat dengan dia. Aku tengok dia tu biasa je. Tak pernah pun dia mengutuk akan perubahan kau sekarang ni..."
"Memanglah dia tak akan kata apa-apa. Sebab dia tu seorang yang baik! Bukan macam aku..."
"Dina, terpulanglah pada kau! Aku tak mampu nak kata apa lagi."


KEDINGINAN malam itu menggamit Rafiqan untuk melelapkan mata lebih awal. Jam di tangan baru menunjukkan ke angka 10 malam. Hujan yang turun renyai-renyai menambahkan lagi suasana dingin. Haq tiada di bilik, entah ke mana mamat tu pergi, rungut Rafiqan sendirian.
Dia menatap buku-buku yang berselerakan di atas mejanya dengan perasaan sendu. Perasaannya bercampur baur dengan keadaannya yang sudah mengantuk. Hampir berkali-kali dia tersengguk-sengguk sendirian.
Rafiqan dikejutkan dengan deringan telefon yang berdering sejak tadi. Dia menggosokkan matanya berkali-kali, kemudian beralih pada jam di tangan. Baru 11.30 malam? Nama Haqimie tertera di telefonnya.
"Assalamualaikum..." terdengar suara Haq memberi salam. Rafiqan menjawab semula salam tersebut "Pi! Kau dah tidur ke?" tambah Haq lagi.
"Dah .. Kau kat mana ni? Ada apa?" soal Rafiqan semula.
"Aku kat stesen komuter ni. Baru balik dari KL. Boleh datang ambil aku tak? Aku takut nanti kalau lewat aku tak dapat masuk kolej pula..." balas Haq.
“Ambil kau? Dengan apa?"
"Motor aku la! Kunci ada dalam laci aku..."
"Kat sini hujan la.."
“Ala, kat sini pun hujan juga. Tapi takdelah lebat sangat..."
"Macam mana ek?" Rafiqan terdiam seketika.
"Tak payah fikir lagi la, ada setengah jam sahaja lagi ni!"
Rafiqan menggaru-garukan kepala.
"Okey lah!"
"Macam tulah!" terdengar suara Haq menarik nafas lega.
Rafiqan segera bergegas mencapai anak kunci serta helmet. Kemudian berjalan laju menuju ke arah tempat motosikal Haqimie diletakkan Dia menghidupkan enjin lalu menderu membelah malam. Sungguhpun hujan masih belum berhenti, permintaan sahabat harus ditunaikan.

'MANA ni?' getus Haqimie sendirian. Jam menunjukkan hampir 10 minit lagi ke pukul 12.00 tengah malam. Takkan sebegini lama masa diambil untuk Rafiqan sampai. Keadaan stesen komuter agak lengang.
Nombor Rafiqan didail sekali lagi. Seperti yang sebelumnya, tiada orang yang menjawab. Hanya deringan yang berterusan.
Sudah puas berdiri, dia duduk. Sudah puas duduk, dia kembali berdiri. Batang hidung Rafiqan masih belum kelihatan.
Berkali-kali Haq merungut sendirian. Hujan rintik-rintik menambahkan lagi suasana dingin pada malam itu.
Jam menunjukkan ke angka 12.15 tengah malam. Haq sudah tidak boleh bersabar dengan sikap Rafiqan. Dah berpuluh-puluh kali dia mendail nombor telefon Rafiqan, namun hanya deringan yang tidak putus.
Hendak sahaja dia melangkah, dia tidak tahu ke mana arah tuju. Apatah lagi hujan sebegini yang meyukarkan lagi untuk dia membuat keputusan.
Hampir setengah jam dia bersendirian di stesen komuter, tiba-tiba sebuah kereta datang menghampiri ke arahnya. Kereta tersebut betul-betul berhenti di sebelahnya. Tingkap kereta dibuka.
"Awak Haq?” soal lelaki yang memandu kereta tersebut. Haq hanya mengangguk. Siapa dia ni? "Awak tak kenal saya ke?" tambah lelaki tersebut.
"Encik Zul, apa Encik Zul buat kat sini?” soal Haq apabila dia mula sedar lelaki tersebut adalah salah seorang warden asramanya.
"Dah, mari ikut saya..." balas Encik Zul lagi.
“Saya sedang tunggu kawan saya"
"Maksud awak, Rafiqan?" soal Encik Zul lagi. Haq hanya menganggukkan kepala. “Saya ada cerita tentang kawan awak, tu sebab dia yang suruh saya datang," tambah Encik Zul lagi. Haq terkejut.
“Masuklah!" kata-kata seterusnya membuatkan Haq akur dengan arahan dari Encik Zul itu.
Keretanya mula bergerak. Encik Zul masih mendiamkan diri.
"Rafiqan mana?" soal Haq semula.
"Awak nak balik kolej atau ikut saya ke hospital?" soal Encik Zul semula.
"Hospital? Kenapa?"
"Rafiqan kemalangan dalam perjalanan untuk menjemput awak tadi. Dia sudah dihantar ke hospital..."
Wajah Haq berubah. Segera dirasakan malam itu menjadi saat yang paling sukar untuk dilaluinya. Tak sangka sebab dirinya Rafiqan menerima nasib sebegini.
"Kalau macam itu, saya pun akan ikut encik.”
"Baiklah, kita ke hospital..."
Dalam perjalanan, Encik Zul menceritakan saat-saat cemas bagaimana Rafiqan boleh kemalangan. Hampir 15 minit dia terdampar keseorangan sehinggalah dia sendiri yang terlihat Rafiqan sedang berbaring di tepi jalan. Lebih-lebih lagi jalan itu jarang dilalui oleh pengguna jalan raya. Menurut Encik Zul lagi, berkali-kali Rafiqan meminta supaya menjemput Haq terlebih dahulu. Dia sedikitpun tidak risaukan kecederaan yang dialaminya, yang dia tahu hanyalah permintaan sahabat ditunaikan.
Haq agak sayu mendengar cerita dari mulut Encik Zul sendiri. Perasaan bersalah mula menguasai dirinya. Kalau bukan kerananya, semua ini tidak akan berlaku.

RAFIQAN membuka matanya perlahan-lahan. Barulah dia sedar yang dia kini berada di atas katil. Balutan besar berbungkus di atas kepalanya. Wajah yang pertama dilihatnya adalah wajah Haqimie.
“Haq, aku kat mana ni?”
"Pi, kau dah sedar. Kau kat hospital ni.."
“Baru aku ingat yang aku kemalangan. Haq, maafkan aku sebab aku tak sempat nak menjemput kau..." kata-kata Rafiqan membuatkan Haq menjadi sebak. Sepatutnva dia yang mengucapkan ungkapan maaf kerana disebabkan dirinyalah Rafiqan terpaksa alami semua ini.
"Pi, jangan cakap macam tu, aku yang bersalah,"
Rafiqan tersenyum. Mujurlah dia hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. Cuma badannya yang bercalar.
 "Apa kata doktor?" soal Rafiqan semula.
"Keadaan kau dah stabil. Kau boleh balik petang ini juga...”
 “Kau di sini sejak semalam ke?" soal Rafiqan semula. Haq kehairanan.
"Macam mana kau tahu?”
"Baju yang kau pakai ni baju semasa kau nak keluar semalam kan?"
“Itu yang kau ingat? Baju aku tak penting la. Yang penting kau tu selamat.”
"Haha, mesti kau tak mandi kan?" sempat lagi Rafiqan cuba berseloroh dengan Haq. Mereka berdua ketawa. Rafiqan menceritakan semula saat-saat cemas yang dilaluinya sendirian. Dia masih ingat sewaktu dia terbaring lesu, dia tercari-cari telefon bimbitnya untuk menelefon Haq, tapi barulah dia sedar yang telefonnya itu tercampak keluar dari poketnya. Haq hampir menangis mendengar sendiri cerita dari mulut Rafiqan itu.

** bersambung