Monday, May 15, 2017

Redup Yang Panjang 2 (Episod 1)

Nota kepala : Cite yang ni bukan sequel untuk Redup Yang Panjang.. Tajuknya akan difikirkan semula...

 Redup Yang Pergi (Tajuk Sementara)

Hari itu langit cerah. Bahang panas mentari menyemarakkan lagi peluh yang mengalir laju membasahi tubuhnya. Matanya liar memandang ke arah ombak yang tidak pernah jemu memukul pantai. Sesekali angin panas bertiup ke arah beranda rumahnya yang sememangnya hanya beberapa puluh meter sahaja dari pantai. Dia masih merenung ke arah jalan besar kalau-kalau ada posmen yang datang membawa secebis berita gembira padanya.
Dia melihat jam di tangan. Hampir masuk waktu Zohor. Baru sahaja dia melangkah kaki menaiki rumahnya, deruan enjin motosikal menarik perhatiannya untuk berhenti seketika. Matanva bersinar melihat posmen yang selama ini ditunggunya akhirnya muncul di tengah halaman rumahnya.
Surat bertukar tangan. Hatinva berbunga riang apabila terpampang nama Universiti Teknologi MARA di penjuru surat tersebut. Tanpa berlengah lagi dia terus membuka surat tersebut.
"Alhamdulillah.." ucapnya syukur apabila pernantiannya selama ini berbaloi. "Dapat juga akhirnya " bisiknya sendirian.
"Shairi...” sayup terdengar suara ayahnya dari belakang. Dia tidak menyahut namun terus berlari ke arah ayahnya.
"Dapat?” soal ayahnya
"Dapat.. " balasnya semula.
Dia melipat semula surat tersebut lalu melangkah lemah menuju ke biliknya. Sungguh tidak disangka, berjaya juga dia menyambung semula pengajiannya dalam bidang ijazah pula.
Fikirannya menerawang jauh memikirkan satu nama yang seringkali bermain di fikirannya sejak akhir-akhir ini.

"Macam mana?"
"Macam mana apanva?" soal Shairi semula. Dia mendongak sedikit menantikan jawapan dari mulut Shahrul.
"Pilihan universiti yang aku pilih ni la, macam mana? Okey ke tak okey?" tambah Shahrul semula.
"Oh, pasal tu ke? Okey je, aku tak kisah sangat. Yang penting kita kena cuba mohon dulu," balas Shairi semula.
Shahrul tunduk sambil tangannya berterusan mengisi borang UPU untuk permohonan memasuki university. Semua universiti yang menjadi pilihannya menjadi universiti pilihan juga pada Shahrul.
 "Shairi…" Shahrul bersuara.
Shairi mengalihkan pandangannya pada wajah Shahrul. Shahrul masih lagi terdiam.
"Apa?" soal Shairi semula. Dia kembali menatap borang yang berada di depannya itu.
"Kenapa kau ikut sahaja universiti pilihan aku?" soal Shahrul kemudiannya.
“Kenapa? Tak boleh ke?"
"Bukan macam tu maksud aku. Aku cuma tertanya-tanya kau ni takde universiti sendiri ke yang menjadi pilihan utama kau?"
Shairi menggelengkan kepala. Shahrul hanya menganggukkan kepala
"Aku tak pandai dalam memilih. Sebab itu aku serahkan semua pada kau untuk buat keputusan," tambah Shairi lagi.
"Tapi ini untuk masa depan kau."
"Masa depan boleh dibina dan dirancang. Bukan melalui keutamaan semata-mata.
"Tapi……”
"Takde tapi-tapi lagi. Yang penting aku ada member seperti kau sudah cukup untuk aku…"
"Apa-apa sahaja lah!"


"Alamak, macam mana ni?" Shairi mengeluh sendirian melihat keadaan motornya yang pancit. Shahrul menghampirinya.
"Shairi, kau jangan risau. Aku kan ada. Aku boleh buat semua ni," balas Shahrul. Tanpa membuang masa dengan segala kepakaran yanga ada padanya, Shahrul menanggalkan satu persatu tayar motosikal Shairi. Shairi hanya memandang. Dalam hatinya, mujurlah si Shahrul ni ada.
Entah bagaimana hendak dijadikan cerita hari itu sungguh malang bagi dirinya. Sebaik sahaja kelas diumumkan berakhir, Shairi terus melangkah laju menuju ke tempat letak motosikal. Kehampaan jelas terpapar di wajahnya apabila melihat tayarnya pancit. Dalam keadaan terpinga-pinga, muncullah satu wajah yang memberi sinar harapan pada Shairi. Kebetulan Shahrul juga meletakkan motosikalnya berhampiran dengan motornya.
Shairi mengesat peluh yang mengalir di dahinya. Apatah lagi pada tubuh Shahrul yang bertungkus lumus membetulkan tayar motor tersebut.
Sebaik tayar tersebut dicabut, Shahrul membawanva ke bengkel untuk menukar tiub. Hampir setengah jam barulah Shairi dapat menarik nafas kelegaan apabila Shahrul kembali dengan tayar yang bertiub baru. Kalaulah Shahrul tiada, tidak tahu bagaimana dia mampu menghadapi semua ini keseorangan.

Deringan telefon bimbitnya mengejutkannya dari terjaga. Shairi mencapai lalu menjawabnya
"Hello..."
"Woi! Kau buat apa lagi?? Ujian nak mula 5 minit lagi!" sayup terdengar suara Shahrul dari corong telefon.
Mata Shairi terbeliak. Barulah dia sedar yang dia sudah terlajak dari tidur. Jam menunjukkan ke angka 10 pagi. Bermakna ujian bermula bila-bila masa sahaja lagi.
Bergegas Shairi bersiap dengan seberapa pantas yang boleh. Dia tidak menduga perkara sebegini boleh terjadi. Kalau tiada Shahrul, tidak tahu apa yang akan berlaku. Mendapat markah kosong lah jawabnya.
Sesampainya di dewan ujian, dia mendapati Shahrul sudah menyediakan tempat di sebelahnya. Mujurlah ujian masih belum bermula, menantikan kesemua pelajar datang. Maklumlah, hari itu hari Sabtu.
 "Shahrul, mujur kau ada…" kata Shairi separuh berbisik.
"Kenapa ni? Kau tidur pukul berapa semalam?" soal Shahrul semula. "Letih la semalam, aku berjaga malam…" balas Shairi.
"Kau mentelaah untuk ujian hari ini ke?"
"Tak tahulah, aku rasa semalam banyak borak dari membaca. Eh, nanti kalau aku tak dapat buat, kau tolong ek?" kata Shairi semula.
"Kau pun tolonglah aku sekali…” perbualan mereka terhenti apabila pensyarah mengumumkan ujian bermula.
Sepanjang ujian berlangsung, tak henti-henti Shairi berterima kasih pada Shahrul. Baginya Shahrul telah banyak berjasa. Tak tahulah macam mana kalau dia terus terlajak dengan tidurnya tadi.
Shahrul Azuar, nama itu bermain lagi di fikiran Shairi. Sudah tiga minggu arwah meninggal. Mungkin Allah lebih menyayanginya, lantas dijemputnya pergi dahulu. Shairi masih lagi terkenangkan saat-saat yang boleh dikatakan paling manis pernah dia alami, bersama-sama seorang sahabat yang banyak membantunya dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Perkenalan dengan Shahrul bukanlah perkara yang dirancang. Semuanva berlaku begitu pantas. Daripada pertelingkahan kecil membawa mereka mengenali antara satu sama lain. Sehinggalah maut yang memisahkan mereka. Shahrul Azuar, seorang yang bersifat sederhana dan tidak sombong dengan kelebihan yang dimilikinya. Boleh dikatakan Shahrul merupakan salah seorang pelajar yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Berasal dari sebelah utara, memiliki kepetahan dalam debat. Shairi pernah sekali bertegang leher dengannya, namun nyata Shahrul lebih handal dalam membidas kata-kata Shairi. Namun perkara tersebut tidak menjadi jurang pemisah antara mereka.
Surat tawaran universiti masih direnungnya. Fikirannya tertanya-tanya bagaimana kalau Shahrul masih hidup. Mungkin dia tidak sesunyi ini. Airmata jernih mengalir perlahan-lahan menuruni pipinya. Ah, aku tidak boleh menangis. Hidup mesti diteruskan, biarpun sentiasa diselangi dengan dugaan dan rintangan. Shairi sedar apa yang dilaluinya bukanlah semudah yang disangka. Bukan mudah untuk mencari seseorang seperti Shahrul. Bukan senang untuk berjumpa seseorang seperti Shahrul. Namun takdir mengatakan dia akan meneruskan pengajiannya tanpa Shahrul
Cuaca hari itu mendung. Shairi bersama-sama rakan serumahnya, Hakim dun Sazali berjalan pantas menuju ke dewan untuk sesi pendaftaran. Sazali turut hairan dengan perubahan mendadak ke atas Shairi yang menjadi pendiam tiba-tiba. Dia turut mengenali arwah Shahrul yang dikenali melalui Shairi. Pemergiannya itu juga agak mengejutkannya. Mungkin dia tidak menyangka yang arwah akan pergi dalam usia yang masih muda ini, menjadikannya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan hari ini.
"Shairi, takkan kau nak berterusan macam ni?" kata Sazali tiba-tiba. Dia amat mengerti perasaan menghadapi kehilangan orang yang paling hampir dan rapat.
"Berterusan yang macam mana?" soal Shairi semula. Hakim yang hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak berminat untuk masuk campur dalam perbualan mereka.
"Berterusan dengan keadaan seperti ini. Mendung seperti yang kita alami sekarang. Kau kena terima kenyataan," balas Sazali
"Kenyataan yang macam mana ni Sazali? Dulu aku rasa aku macam ni juga," kata Shairi semula.
"Kau bukan macam dulu lagi sekarang ni, hampir aku tidak kenal dengan kau sekarang. Dulu kau seorang yang periang, ceria," balas Sazali. Hakim hanya mengangguk.
"Sazali, hakikat dan kenyataan memang tidak dapat diubah. Tetapi kau harus faham, lagipun hari ini kan hari pertama kita di sini. Suasana agak berbeza tanpa arwah...”
Sazali terdiam. Mungkin benar kata-kata Shairi itu. Kalau dulu, di mana ada Shahrul, di situlah ada Shairi. Begitu jugalah sebaliknya. Sazali hanya mendiamkan diri. Mereka kemudiannya terus menuju ke arah kawasan pendaftaran pelajar-pelajar baru.
Selesai mendaftar Shairi mengajak Sazali dan Hakim makan. Mereka menuju ke arah cafeteria yang terletak tidak jauh dari tempat mereka mendaftar.
"Shairi!" terdengar sayup suara memanggil namanya. Kelihatan beberapa orang kawan sekelasnya dahulu melambai-lambaikan tangan. "Nak makan ke?" soal Daud. Shairi hanya mengangguk.
"Jomlah join kitorang," kata Hashim pula. Shairi duduk diikuti dengan Hakim dan Sazali.
"Aku ada dengar cerita pasal Shahrul, mungkin sudah takdir," kata Khairul, merupakan salah seorang dari kawan sekelas mereka dahulu. Shairi hanya terdiam. Osman, Daud, Hashim, kebanyakannya adalah sekelas dengan Shairi dan arwah. Dan kebanyakannya tahu keakraban dia dengan arwah.
"Kau jangan sedih sangat kata,” Daud memberi semangat. Shairi hanya tersenyum. Dia tidak banyak bercakap.
"Shairi, kau kenal dia pun takdelah macam aku kenal dia. Aku lagilah terasa, macam aku dengan Haidir ni kenal sejak sekolah dengan arwah," tiba-tiba Hariz yang turut bersama mereka mencelah. Haidir hanya mendiamkan diri. Sebenarnya Shairi tidak kenal sangat dengan Hariz dan Haidir. Mereka kenal pun atas dasar member serumah kepada arwah Shahrul.
"Ala, jangan risaulah, aku ok je.." akhirnva Shairi bersuara jua. Hakim dan Sazali sedari tadi hanya mendiamkan diri sahaja.
Hari itu merupakan hari pertama Shairi menjejakkan kaki ke kelas. Dia merasa agak janggal dengan keadaan kelas yang rata-ratanya belum dikenali lagi sebelum ini. Shairi menarik nafas kelegaan apabila Haidir muncul. Sekurang-kurangnya sudah ada orang yang dia kenal sebelum ini.
"Shairi, kelas ni ker?” tegur Haidir.
“A'ah, kau pun?" soal Shairi semula. Haidir hanya mengangguk. Shairi mendiamkan diri. Dia dan Haidir tidak banyak barcakap. Mungkin sebab ini kali pertama mereka dipertemukan dalam satu kelas.
"Shairi, aku turut bersimpati atas pemergian Shahrul," kata Haidir tiba-tiba. Shairi tersentak apabila nama Shahrul disebut. Dia memalingkan muka ke arah Haidir. Kemudian dia tunduk semula.
"Maaf, kalau aku buat kau teringat," tambah Haidir.
"Takde la. Yang pergi tetap pergi kan?" balas Shairi semula. Haidir hanya terdiam. Shairi mendiamkan diri. Diperhatikan gerak geri Haidir, boleh dikatakan agak bergaya, anak seorang yang berada dan mungkin memiliki taraf hidup yang mewah.
Kelas hari itu berjalan seperti biasa. Shairi masih lagi dengan sikap barunya – pendiam. Sebaik sahaja kelas diumumkan berakhir, dia terus melangkah laju untuk pulang. Tiba-tiba dirasakan namanya dipanggil.
 "Shairi!"
Shairi berpaling Haidir rupanya.
"Apahal?" soal Shairi.
"Pembahagian kumpulan pembentangan tadi tu, aku satu kumpulan dengan kau boleh?" soal Haidir.
"Boleh, apa salahnya?" balas Shairi.
"Okey, itu sahaja," balas Haidir sambil berlalu. Shairi hanya memerhatikannya dari jauh melihat Haidir menuju ke arah Honda CRV kepunyaannya itu. Mewah, getusnya sendirian.
Shairi terpandang pada satu iklan yang tertampal di dinding. Iklan itu begitu menarik perhatiannya. Satu pertandingan menulis karya berkonsepkan bebas begitu menarik perhatiannya. Tiba-tiba datang idea untuk dia menyertai pertandingan itu.
"Apa? Kau nak menulis karya?" soal Sazali apabila Shairi menyuarakan hasratnya. Shairi hanya mengangguk.
"Apa bakat kau? Apa yang kau nak tulis?" soal Sazali semula.
"Entah, aku belum fikirkannya lagi..."
Shairi memikirkan sejenak apa yang patut dia hasilkan sebagai karya. Mungkin inilah satu-satunya cara untuk dia meluahkan segala perasaan yang terpendam di dalam hatinya. Mungkin inilah juga peluang untuk dia mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.

“Haidir Iskandar bin Syukri," kata Haidir apabila namanya ditanya suatu hari.
“Bukan bin Dato' Syukri?" soal Shairi semula.
"Ish, mengarut betullah kau ni, aku bukan anak dato' la," kata Haidir semula. Shairi hanya tergelak.
"Manalah tahu, aku tengok gaya kau macam anak dato' je..”
"Mengarut! Yang kau tanya nama aku ni apasal?" soal Haidir semula. "Aku nak letak nama kau kat muka depan assignment kita," kata Shairi.
"Amboi, dah siap ke?"
"Eh, mestilah. Kalau kerja dengan aku, mesti cepat siap punya,”
"Bertuah betul aku, dapat partner maacam kau!"
"Oh, kau tak tahu ke? Selalunya aku buat semua ni dengan Shahrul," kata-kata Shairi terhenti seketika. Wajah Haidir berubah apabila nama Shahrul disebut. Shairi hanya membisu tanpa berkata apa-apa apabila. Haidir hanya terdiam.
Sejak berkawan dengan Haidir, Shairi semakin ceria. Boleh dikatakan dia sudah kembali seperti dahulu. Mereka juga agak rapat berbanding sebelum ini. Shairi semakin mampu untuk menerima hakikat yang Shahrul sudah tiada lagi.

"Banyak juga penyertaan kali ini kan?" kata Azura. Suhaima tidak menjawab. Dia cuma memandang sekilas ke arah meja yang menempatkan beratus penyertaan menulis karya.
"Su dah pilih ke karya terbaik?" soal Azura semula.
"Nantilah, Su bukannya juri. Su cuma penganjur je. Lagipun tarikh tutup lagi 2 hari. Manalah tahu, ada lagi penyertaan dalam 2 hari ni," balas Suhaima
"Ye lah!"
Suhaima terdiam. Tangannya menarik salah satu karya yang terletak di atas meja di situ. Entah kenapa hatinya tergerak untuk membaca karya tersebut walaupun sebelum ini dia menolak untuk membaca mana-mana karya. Katanya dia tidak mudah tersentuh. Malah karya-karya itu cumalah sebagai cara dia mempromosikan Kelab Seni.
'Tragis Berbaur Rindu', begitulah tajuk yang tertera pada karya tersebut. Dengan tidak sengaja dia menarik karya itu. Satu persatu ayat dalam karya tersebut ditelitinya. Suhaima begitu tertarik dengan gaya persembahan jalan cerita yang disampaikan. Tiba-tiba matanya berkaca. Begitu menyentuh perasaan ketika dia membacanya.
"Suhaima??" sergah Azura. Suhaima tergamam apabila disergah begitu. Dia berpaling tanpa sempat mengesat air matanya.
"Ya Allah, Su. Kenapa menangis ni?" soal Azura semula.
"Isk, Su bukan menangis lah!"
"Habis?" mata Azura terpandang pada karya di tangan Suhaima. "Ya Allah, Su menangis pasal apa ni?" tambah Azura lagi. Dia tergelak besar melihat gelagat Suhaima. Suhaima hanya tersengih.
"Hai, nampaknya kita dah ada pemenang untuk pertandingan karya kali ini. Dah, buruk benar Ira tengok rupa Su lepas menangis ni."
Suhaima tersenyum. Dia meletakkan semula karya itu di atas meja. Kemudian kembali kepada Azura.
"Ada apa?" soal Suhaima semula
"Jom kita balik. Lagipun Ira lapar ni. Kita pergi makan dulu nak?" tambah Azura. Suhaima hanya mengangguk.
"Makan kat cafe fakulti ajelah," Suhaima memberi cadangan.
"Jom!"
Azura mengikut dari belakang Suhaima. Di fikirannya masih lagi tertawa melihat gelagat Suhaima yang terlalu emosi sebentar tadi. Suhaima bukanlah seorang yang gemar dengan karya-karya ni. Entah kenapa karya yang dibacanya tadi terlalu mengganggu emosinya. Sebelum keluar dari bilik persatuan, dia masih sempat menjeling ke arah karya yang dibaca oleh Suhaima sebentar tadi. 'Tragis Berbaur Rindu’ getusnya sendirian.
Keadaan di cafeteria agak sibuk memandang waktu itu hampir masuk waktu Zohor. Kebanyakan waktu sebegini, ramai pensyarah dan pelajar tertumpu pada cafeteria untuk makan tengah hari. Azura memilih sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan oleh pelanggan lain. Suhaima hanya mengangguk. Dia menuju ke kaunter dahulu sementara Azura menantinya di meja.

Mata Haidir terpandang pada satu susuk tubuh yang selama ini selalu diperhatikannya. Kebetulan dia dan Shairi turut menikmati hidangan tengah hari di cafeteria fakulti.
"Shairi, kau kenal tak perempuan tu?" soal Haidir. Shairi mengangkat muka sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Haidir.
"Kau ni kan. masa makan pun ada peluang nak tengok perempuan?” balas Shairi.
"Ah, itu kata kau. Perempuan ni dah lama aku minat. Dari dulu lagi, tapi aku tak tahu macam mana nak ayat," kata Haidir semula.
"Ah. kau! Macam aku tak kenal kau, perempuan ni kau suka, perempuan tu pun kau minat. Mana ada perempuan yang kau benci?"
"Shairi, please! Jangan kata yang bukan-bukan sebelum kau tengok sendiri perempuan yang aku maksudkan," balas Haidir agak keras. Geram dibuatnya bila Shairi seolah-olah memerlinya.
"Okeylah, mana perempuannya?"
"Tu…..” muncung Haidir menunjukkan ke arah seseorang di belakang Shairi. Shairi terpaksa berpusing ke belakang. Kemudian dia mengerutkan dahi. Shairi tergamam melihat keayuan wajah Suhaima yang terserlah.
"Tengok, kau pun tak terkata lepas tengok dia, apatah lagi aku," kata-kata Haidir mematikan lamunannya.
"Oh, dia ni ke?" soal Shairi.
"Kenapa? Kau kenal ke?" soal Haidir semula.
 "Macam pernah tengok. Budak fakulti kita ke?"
"Ye kot…"
"Abis tu? Takkan tengok saja kot?" soal Shairi.
"Manalah aku tahu!"

“Su, kenapa Su menangis tadi?" soal Azura sebaik sahaja Suhaima menyuapkan makanan. Suhaima masih terdiam.
"Kenapa? Ira nak tahu ke?"
"Tersentuh sangat ke?" tambah Azura semula.
"Entahlah Ira, Su pun tak tahu. Tapi karya yang Su baca tu macam real  ceritanya. Sedih pun ada juga, Su dapat rasakan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis," balas Suhaima.
"Su nak dia menang ke?"
"Apa maksud Ira?"
"Maksud Ira, Su nak karya tu menang ke? Kan ke Ira ni salah seorang juri.."
"Entah, Su takdelah terfikir macam tu, kalau Ira rasa dia patut menang, apa boleh Su buat kan'? Baik Ira baca sendiri. Jangan ingat bila Su kata ok, Ira fikir karya tu karya terbaik.. "
"Masalahnya Su ni bukan suka baca karya. Sekali baca terus tersentuh, mesti terbaik punya karya tu…" mereka berdua tergelak.

"Tengok cara dia gelak, tak macam perempuan lain. Sopan je.." kata Haidir pada Shairi. Shairi tersengih.
"Alah, tu kata kau, sebab kau dah angau dengan dia.." balas Shairi.
"Tak, aku rasa pilihan aku kali ini sempurna sangat.."
"Kau mimpi laa…”
"Eh, yang aku cerita ni, aku tak tahu pun perasaan kau, manalah tahu kau simpan perasaan juga kat minah tu.."
“Kenapa? Tak boleh ke?" soal Shairi semula.
"Mana boleh, aku dah chop dulu!" mereka turut tergelak.
Shairi terdiam, kalau nak dikira, dalam hatinya turut tertarik pada perempuan yang masih belum diketahui namanya itu, kerana apa yang diketahuinya, perempuan itu memang cukup terkenal sebelum ini, cuma tidak berpeluang untuk menjadi kenalannya lagi. Dari diploma lagi dia sudah melihat perempuan itu.

"Su, Ira ada lagi nak tanya ni," kata Ira semula.
"Apa dia?"
"Pengarang karya tu, laki ke perempuan?"
"Lelaki agaknya," balas Suhaima.
"Macam mana Su boleh tahu lelaki?"
"Dari nama penanya..."
"Apa nama penanya?"
"Shairi….”
"Wah, lelaki pun hebat dalam mengarang ni kan?"
"Tulah Ira tak tahu. Su pun terperanjat juga bila tahu nama pengarangnya…"
"Ni yang buat Ira tak sabar-sabar nak baca ni,"
"Su pun tak sabar-sabar nak kenal orangnya..."
"Hah?!!"
"Entahlah Ira, Su rasa macam nak berkenalan dengan orangnya. Nak kenal sangat orang yang mampu buat Su menangis tadi..”
"Siapa?”
"Shairi lah..!”


"Uhuk!"
"La, apasal pulak tersedak ni? Dah, minum air ni," kata Haidir sambil mengurut-ngurut belakang Shairi. Shairi meneguk air, entah kenapa tiba-tiba je tersedak.
"Ada orang sebut nama kau kot?” kata Haidir berseloroh.
“Kelakarlah tu!"


"Tengok mamat tu, makan tak reti sampai tersedak pula," kata Azura sambil menunjukkan ke arah Shairi yang tidak berapa jauh dan meja mereka. Suhaima hanya tersengih.
“Ada orang sebut nama dia kot?” kata Suhaima bersahaja.
“ Tak pun, tulah Shairi yang Su sebut tadi!?" mereka berdua tergelak lagi.


Wednesday, May 3, 2017

Redup Yang Panjang (Finale)

HARDINA menyuapkan nasi yang masih bersisa. Sesekali dia akan pandang ke arah meja yang selalu didudukinya bersama Haidir suatu masa dahulu. Selalunya kalau mereka makan tengahari bersama, meja itulah yang selalu menjadi pilihan Haidir.
Seketika kemudian pandangannya dialihkan pula pada meja yang agak terkeluar dari cafeteria fakulti mereka itu. Meja itu pula selalu menjadi tempat Rafiqan dan kawan-kawannya berkumpul sebelum masuk ke kelas.
Hari ini, kedua-dua wajah itu semakin jauh dari pandangan matanya. Haidir entah ke mana, mungkin sedang berbahagia dengan teman baru. Rafiqan pula semakin melarikan diri. Mungkin dia sudah putus asa berusaha untuk memikat Hardina.
"Dina, kau kenapa ni? Hujan tak, ribut tak, redup je kau?” Azah yang sedati tadi meneguk minuman akhirnya bersuara. Hardina masih menguis-nguis lauk di dalam pinggannya.  "Dina, jangan jadi macam ni...." tambah Azah lagi.
"Zah, aku bingung la sekarang ni. Nama Rafiqan asyik menjengah di fikiran aku..." Azah mencebik. Baru padan muka kau Dina, katanya di dalam hati.
“Itulah kau, dulu masa mamat tu duk terkejar-kejarkan kau, kau buat tak tahu. Sekarang ni bila dah dia takde, baru kau tahu erti rindu?" Azah meleteri rakannya itu.
“Bukan itu masalahnya. Aku pelik dengan sikapnya sejak akhir-akhir ni. Semalam aku tegur dia kat kelas, dia diam je. Lepas tu jumpa lagi kat lif, sengaja dia tak masuk bila nampak aku ada dalam lif. Tadi aku panggil, dia langsung tak pandang. Aku buat salah apa?" soal Hardina pada diri sendiri.
"Haidir dah takde ke dalam kepala olak kau?” soal Azah agak kasar.
"Kau ni, ada ke tanya macam tu?"
"Jawabla, aku tanya ni..."
"Entah, dah takde kot..”
"Ini maknanya hati kau dah terima si Rafiqan tu..." balas Azah semula
"Kau biar betu! Aku tak fikir pun macam tu..."
"Bukan tak fikir, kau tak nak mengaku kan? Dina, baik kau jangan tipu diri sendiri. Kau katakan sahaja yang Rafiqan tu dah bertakhta di hati kau..."
Hardina terdiam sejenak. Tak tahu apa yang patut diucapkan.
"Kalau ya aku nak buat apa? Dia dah semakin Iari dari aku."
"ltulah, kadang-kadang dunia ni tak adil tau, bila kita tak nak, senang-senang je ada depan mata. Tapi bila kita dah mahu tu, nak tengok bayang-bayang pun susah..." Hardina hanya menganggukkan kepala


MENTARI tersenyum ceria setelah beberapa lama bersembunyi membiarkan hujan mencurah sehabis-habisnya. Limpahan cahaya melewati pantai yang sejuk mata memandang. Sejuk mata Rafiqan apabila terkenangkan kampungnya. Pohon-pohon, burung-burung, pasir pantai, ombak yang berbalam-balam jauhnya, semuanya mengasyikkan. Barangkali semuanya tahu erti kedamaian. Rafiqan merasakan kedamaian begitu subur dan sebati dengan jiwanya. Betapa indah hari-hari mendatang yang akan ditempuhinya Namun masih adakah lagi hari untuk dirinya esok?
Tiba-tiba lamunan Rafiqan terhenti apabila pintu biliknya dikuak perlahan. Kelihatan Haqimie baru sahaja pulang dari kuliah.
"Pi, kenapa kau tak pergi ke kuliah?" soal Haqimie sambil menanggalkan kasut lalu diletakkan pada rak bersebelahan pintu. Rafiqan tidak menjawab, dia hanya tersenyum. Kemudian pandangan Haqimie beralih pada dua buah beg besar yang tersusun rapi pakaian Rafiqan di dalamnya.
"Kau nak ke mana ni?" soal Haqimie lagi apabila pertanyaannya tadi tidak berjawab.
"Tak guna aku pergi kuliah lagi Haqimie..." kata Rafiqan bingkas bangun. "Aku akan balik kampung hari ini. Menurut doktor, aku semakin parah. Mungkin hayatku hanya tinggal beberapa bulan lagi. Keluarga aku sudah tahu. Aku mahu habiskan sisa-sisa hidupku di kampung..." tambahnya lagi.
Haqimie agak terperanjat. Kemudian dia memegang tangan Rafiqan.  
"Pi, kau nak tinggalkan aku? Bagaimana dengan Dina, Pi? Tadi dia ada tanya pasal kau!"
"Kau jawab apa?"
"Aku tak cakap apa-apa pun..."
"Baguslah, biarlah dia terus tertanya. Aku tak mahu dia terasa dengan pemergianku..."
Lidah Haqimie menjadi kelu. Dia tidak mampu untuk berkata sepatah pun walau dicuba untuk mencari ayat yang paling sesuai untuk menghalang Rafiqan dari pergi.
"Pi, bagaimana dengan matlamat kita? Kan kita sudah berjanji akan tunaikan matlamat kita bersama-sama sehingga berjaya..."
"Kau teruskanlah dengan matlamat kau. Aku tak mampu..."
"Pi, kau yang ajar aku, setiap kita ada matlamat hidup masing-masing. Kau juga yang sering tegaskan aku perkara ini...!"
"Tapi aku dah nak mati....."
"Tidak Pi, kau mesti terus hidup!"
"Haqimie, kau memang seorang sahabat yang baik. Kau patut bersyukur kerana kau antara insan yang tahu saat-saat pemergianku. Sekurang-kurangnya kau boleh bersedia..."
"Aku belum bersedia lagi..." ada serak dalam suara Haqimie. Dia tidak dapat menahan hiba yang menguasai dirinya sekarang.
"Haqimie, relakanlah pemergianku. Aku gembira sepanjang aku mengenali kau...." Rafiqan menghulurkan tangannya tanda sebagai salam. Haqimie masih berdegil untuk menghalangnya.
"Rafiqan, kau tak boleh pergi..."
Perbualan mereka dimatikan dengan deringan telefon bimbit kepunyaan Rafiqan. Rafiqan segera menjawabnya. Dia mengiyakan beberapa kali sebelum mematikan panggilan.
"Haqimie, abah aku dah sampai. Aku pergi dahulu. Kirim salam pada semua. Bila kau terima berita ketiadaan aku, barulah kau ceritakan segala-galanya pada rakan-rakan kita. Janji rahsiakan daripada Nurul Hardina.." Rafiqan memegang bahu Haqimie buat kali terakhir. Esakan keras Haqimie semakin galak. Dia memeluk erat tubuh yang semakin susut itu buat kali terakhir. Dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Hanya matanya yang mampu mengekori pemergian. Rafiqan yang akhirnya lenyap ditelan ke dalam Perdana hitam milik Rahman, ayahnya.
"Tidak Rafiqan, kau mesti terus hidup..." bisik Haqimie sendirian.


"TAKKAN tak boleh doktor!" gesa Haqimie berkali-kali. Dia nekad untuk mendermakan buah pinggangnya kepada Rafiqan.
"Encik Haqimie, pihak kami hargai niat Encik Haqimie itu, tetapi pemeriksaan mendapati buah pinggang kamu tidak sesuai dengan penerima. la hanya membahayakan nyawa awak dan Rafiqan," balas Dr. Naim pula, doktor yang merawat Rafiqan selama ini.
"Saya tak kisah doktor, biarlah nyawa saya tergadai, tapi selamatkanlah dia doktor, saya bersalah sebab sayalah dia kemalangan hari itu, tolonglah doktor…”
“Tak boleh, saya akan melanggar etika saya pula sekiranya saya menuruti permintaan awak ini..." balas Dr Naim lagi. Puas dia memberi kenyataan yang Haqimie tidak sesuai untuk mendermakan buah pinggangnya.
"Habis tu mac am mana?”
"Kita akan tunggu sehingga ada penderma yang sesuai..."
"Sampai bila kita harus tunggu? Nyawa Rafiqan semakin terhad sekarang…”
"Sampai kita terjumpa dengan perderma yang sesuai…” Haqimie berlalu dengan hati yang sayu. Apa lagi yang mampu dilakukannya.

"DAH seminggu Rafiqan tidak menghadiri kuliah, kenapa ye?" Hardina menyuarakan kebimbangannya pada Azah suatu hari.
"Entahlah Dina, semua orang tak tahu keadaannya macam mana. Ramai yang kata kelibat dia pun sudah jarang kelihatan sekarang..." balas Azah semula.
Hardina termangu lesu. Saat ini hatinya bagai meronta-ronta untuk menatap wajah lelaki yang sentiasa redup itu. Perasaan rindu semakin mencengkam di jiwanya.
“Mungkin inilah balasan aku kot…” kata Hardina perlahan.
“Balasan apa pulak ni?” Hardina berhenti menatap telefon di tangan. Matanya mula dialihkan ke arah Hardina.
“Balasan untuk aku, dulu aku yang mengelak dari berjumpa dengan dia. Sekarang setiap saat rasa nak tengok wajah dia tu…”
“Tak baik cakap macam tu, Dina. Sabarlah, mungkin dia perlukan masa…”

Haqimie berjalan sendirian sambil fikirannya masih memikirkan kata-kata dari mulut Dr. Naim siang tadi. Dia bersungguh-sungguh untuk mendermakan buah pinggangnya, alih-alih badannya sendiri lebih memerlukan buah pinggang itu.
"Haq!!!" jerit satu suara membuatkan lamunan Haqimie terputus.  'Alamak!! Hardina….' Getusnya sendirian.
“Ada apa?" soal Haqimie.
“Rafiqan mana? Dah seminggu aku tak nampak dia..." kata Azah bagi pihak Hardina.
"A'ah Haq, Pi mana?" Hardina mengulangi soalan yang sama.
“Entah, aku tak tahu…” balas Haqimie cuba untuk mempertahankan janjinya pada Rafiqan.
"Haq, dari riak muka kau, aku tahu kau sedang sembunyikan sesuatu. Cakaplah, Rafiqan mana? Kenapa dia tak datang?"
"Aku tak tahu!" bentak Haqimie lagi.
"Haq, kau mesti tahu. Dia sahabat kau kan? Dia mana? Kau tahu tak yang aku risaukan dia sekarang ni..." kata Hardina semula.
“Kenapa pulak kau nak risaukan dia?” soal Haqimie semula. Hardina tersentak.
“Haq, kenapa kau cakap macam tu?” soal Azah. Hardina hanya tertunduk.
“Dina, kalau bukan kerana Pi, kau adalah perempuan terakhir yang akan aku tegur dalam kampus ni tau!” Haqimie menahan amarahnya terhadap Hardina.
            “Apa maksud kau ni? Kenapa kau macam benci sangat kat Dina?” Azah masih bersuara bagi pihak Hardina.
“Aku ni satu bilik dengan Pi. Setahun lebih aku bersama dia, tak pernah sekalipun dia pernah mengadu apa sahaja masalah yang dia ada. Semuanya dia pendam sendiri. Aku pun pernah jadi masalah dia, tapi tak pernah dia mengeluh. Sehinggalah masalah kau Dina, dia yang paling susah hati…”
“Susah hati yang macam mana?”
“Dia paling risau kau hilang fokus bila Haidir tingalkan kau! Telinga aku lah yang jadi pendengar setia dia selama ni. Aku tak faham apa kurangnya dia berbanding si mamat Haidir tu…”
“Haq, boleh tak kau beritahu mana Rafiqan sekarang?” akhirnya Hardina bersuara.
What is the point?  Kau nak hancurkan hati dia lagi ke?”
“Haq, aku tau aku salah. Tapi ini melibatkan masa depan aku. Aku lebih lama kenal dia dari kau…”
“Kalau kau lebih lama kenal dia, kau sepatutnya lebih tahu dia kat mana…”
“Haq, tolong aku sekali ini je. Where is he? Please…”
“Dina, perasaan kau terhadap dia sekarang macam mana? Aku tak nak Rafiqan kecewa lagi…”
“Yeah, I love him. Please…”
"Rafiqan, maafkan aku. Aku tidak berdaya lagi untuk terus berpura-pura. Sebih-lebih lagi pada orang yang sentiasa kau titik beratkan ..." Haqimie terkumat kamit sendirian.
“Kau cakap apa tu?" soal Azah.
"Takde apa-apa…”
So, Rafiqan mana?"
"Dia dah balik kampung..."
"Balik kampung?" serentak kata-kata yang terkeluar dari mulut Hardina dan Azah.

YA ALLAH Rafiqan. Apa yang telah aku lakukan ni? Kenapa ini semua ditakdirkan? Apa salah aku? Kenapa hukum aku begini? Kenapa biarkan aku terus memburu rindu aku sendiri? Kenapa biarkan aku sendirian? Kenapa kau juga sendirian menelan semua itu. Aku kan ada. Kan aku selama ini menjadi pendengar kau yang setia. Kan kita sama-sama menjadi pelajar yang terbaik suatu masa dahulu. Kan kita sama-sama menghadap perbicaraan di dalam mahkamah yang kau sendiri ciptakan. Kenapa selama ini aku tidak tahu yang kau memang ada di sana untukku. Sememangnya hati ini memang milik mu.
Hardina mengeluh sendirian. Manik-manik jernih berjuraian mengalir deras di pipi. Berita yang disampaikan oleh Haqimie benar-benar menusuk kalbunya. Terasa seolah-olah dia terlalu rugi kerana melepaskan seorang lelaki yang begitu menyayanginya. Sampai ke saat ini pun Rafiqan masih mementingkan hati dan perasaannya. Hardina memejamkan mata sambil menggenggam erat tangannya, diminta supaya dia memilik ketabahan hati untuk menghadapi saat-saat yang akan mendatang.

            “TIMAH, alang mana?” sayup kedengaran suara Rahman memanggil isterinya.
            “Ada kat luar, bang. Dengan Tuk Chik..”
            Rahman segera bergegas keluar. Kelihatan Rafiqan sedang berbaring di pangkuan Tuk Chik kesayangannya itu. Tubuh Rafiqan semakin kurus apabila hendak dibandingkan dengan dahulu.
            “Alang, abah ada berita ni..” kata Rahman sedikit sebak melihat nasib anaknya yang bongsu itu.
            “Berita apa bah?” soal Rafiqan dalam nada perlahan.
            “Dr Naim ada telefon abah tadi. Mereka ada penderma yang sesuai. Alang akan sembuh. Percayalah nak, Alang akan sembuh. Malam ini kita akan ke Singapura, Alang akan menjalani pembedahan pagi esok…” ada genangan jernih pada mata seorang yang bergelar ayah.
            “Iye ke bah?” soal Rafiqan semula. Mukanyan begitu cengkung, hampir tidak dapat melihat reaksi wajahnya. Tuk Chik yang sedari tadi mengusap-usap rambut cucunya itu turut mengalirkan air mata.

PEMBEDAHAN pemindahan buah pinggang akhirnya berakhir hampir 7 jam lamanya. Dengan kehendak Allah, buah pinggang dari penderma dapat disesuaikan dengan badan Rafiqan. Namun keadaannya sendiri masih lagi lemah.
Rafiqan membuka matanya perlahan-lahan. Wajah ibu dan ayahnya dapat dilihat dengan jelas. Nyata kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka.
"Ibu, abah, Alang macam mana?" soal Rafiqan perlahan-lahan, sungguh pun dia masih terlalu lemah.
"Alang selamat, nak. Tengok ni siapa yang datang.....” balas ibunya.
Seketika kemudian Haqimie muncul di celah-celah tirai yang memisahkan antara katilnya dengan katil pesakit sebelah.
"Pi, ni aku la, best fella of the year..." kata Haqimie cuba berseloroh. Ternyata Rafiqan cukup terhibur dengan kedatangan Haqimie.
“Pi, kau masih lemah ni. Jangan terlalu banyak bergerak..." kata Haqimie apabila Rafiqan cuba untuk bangun.
"Abah, ibu. Alang nak tahu sangat siapa yang telah mendermakan buah pinggang kepada Alang ini bu..." kata Rafiqan kepada ibu dan ayahnya. Rahman dan Fatimah berpandangan. Begitu-juga dengan Haqimie yang sedari tadi mengukir senyum sinis.
"Alang, orang yang mendermakan buah pinggang kepada Alang tu pun berada dalam bilik ni. Dia ada di katil sebelah..." kata Rahman sambil menunjukkkn katil di sebelah Rafiqan yang terlindung dengan tirai.
"Ye ke bu?" Rafiqan menoleh ke kirinya. Dia ingin sangat berterima kasih kepada insan tersebut.
"Betul alang.."
"Alang mahu kenal dia, boleh?" soal Rafiqan lagi. Sekali lagi mereka bertiga berpandangan.
“Boleh nak…” Rahman memberi isyarat supaya tirai itu didedahkan.
Haqimie menarik perlahan-lahan tirai yang berwarna hijau muda itu. Mata Rafiqan terbeliak besar apabila mengetahui identiti insan yang telah memberikan nyawa kepadanya.
"Hardina?”
Hardina berpaling ke arah Rafiqan. Dirinya sendiri masih amat lemah. maklumlah hanya tinggal satu sahaja lagi buah pinggangnya.
"Pi, Dina ni. Harap Pi cepat sembuh,” kata Hardina cuba mengukir senyum. Rafiqan seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang.
"Dina, buat apa kat sini?"
“Tanya Dina pulak. Yang Pi pula buat apa kat sini?"
Rafiqan tidak menjawab. Dia tertunduk tersipu-sipu malu. "Kenapa Pi tak beritahu Dina yang Pi nak baik kampung?" soal Hardina lagi.
Rafiqan ternganga luas. Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah ayah dan ibunya, kemudian berakhir pada wajah Haqimie. Mereka semua berpandangan menyaksikan dua hati yang sedang bertemu.
"Pi tak sanggup...." jawab Rafiqan perlahan.
"Pi, dalam badan Pi tu ada organ Dina. Sekarang ni Pi berhutang dengan Dina. Jangan sekali-kali lagi biarkan Dina bersedih!" tambah Hardina semula.
"Baik! Pi janji!"
Seketika kemudian muncul pula Azimah dari luar. Dia membawa sesuatu lalu diletakkan di sebelah katil Hardina.
“Hai bakal menantu makcik ni, dah sedar rupanya...” kata Azimah berseloroh. Rafiqan yang dapat mendengar dengan jelas berpaling ke arah Hardina. Hardina yang tersentak apabila matanya bertentang dengan mata Rafiqan melarikan pandangannya. Mereka berdua menjadi malu-malu.
"Makcik! Apa khabar makcik?" Rafiqan mengalih perhatian.
"Apa pula makcik, panggillah mak!" tambah Azimah lagi membuatkan seluruh bilik gamat dengan ketawa.
"Belum boleh lagi la..." tambah Fatimah pula. Tuk Chik yang sedari tadi mengusap-usap rambut cucunya itu turut mengalirkan air mata.
Seketika kemudian barulah Rafiqan tahu yang Haqimie telah menceritakan segala-galanya kepada Hardina, tidak seperti yang telah dia janjikan. Menurut Haqimie lagi, Hardina sendiri yang nekad untuk mendermakan buah pinggangnya kepada Rafiqan. Dia sendiri yang pergi menjalankan pemeriksaan di klinik Dr. Naim sebelum disahkan sesuai sebagai penderma.
Rafiqan sedikitpun tidak melenting apabila tahu yang Haqimie telah memungkiri janji, malah dia berterima kasih kerana tindakannya itu lebih membawa kepada kebahagiaan sekarang,
"Pi, Dina dah buka hati dia, dah bagi kat kau pun..." bisik Haqimie.
"Mana, dia bagi buah pinggang dia daaa..."
"Ah sama lah tu. Lepas ni boleh la kau..."
"Boleh apa?”
"Boleh laaaa..."
"Apa? Nak kena cubit?"
"Aduh, apa ni Pi, sakit-sakit pun ada tenaga lagi tu..."
Mereka tergelak bersama-sama......

Habis dah……….

P/S : Maaf andainya ending agak cliché. Nantikan Redup Yang Panjang 2.