Tuesday, May 2, 2017

Redup Yang Panjang (Part 16)




HAI, maaf lambat," kata Hardina apabila dilihatnya Rafiqan masih lagi berdiri di luar bilik kuliah. Rafiqan hanya tersenyum melihat Hardina yang manis bertudung.
"Takpe, ada apa nak jumpa dengan Pi?" soal Rafiqan semula. Hardina cuba tersenyum, nyata hambar.
"Saya dengar awak kemalangan, dah okey ke?" soal Hardina pula. Rafiqan hanya menganggukkan kepala.
"Awak masih marahkan saya?" soal Rafiqan pula. Kali ini Hardina terdiam. Lama diamnya.
"Pi, boleh saya cakap sesuatu dengan awak?" kata Hardina tiba-tiba.
"Boleh, cakaplah..."
''Saya harap kita tetap boleh menjadi kawan selamanya..." Rafiqan mengerutkan dahinya. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Hardina kali ini benar-benar membuatkan dirinya rasa pelik. Wajah Hardina murung.
"Dina, Pi sudah tak tahan lagi. Pi dah anggap Haidir seperti kawan baik sendiri, tapi perbuatan dia memang dah melampau. Sewaktu kali pertama saya mengenali Dina, Dina adalah seorang gadis yang ceria. Tapi selepas Dina mengenali Haidir, senyuman manis di bibir awak semakin lama semakin hilang. Pi tak rela Dina yang Pi kenal berubah menjadi sebegini rupa…” Hardina tunduk, perasaan dia semakin kusut dengan kata-kata yang keluar dari mulut Rafiqan. "Pi tak nak lihat Dina dalam keadaan sentiasa berduka ..." tambah Rafiqan lagi. Hardina masih tidak berkata apa-apa.
"Dina seorang gadis yang baik, sepatutnya boleh mendapat kasih sayang dari seorang lelaki yang benar-benar mengambil berat terhadap Dina. Yang dapat memberikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada Dina. Bukan seperti Haidir. Tak bolehkah Dina lupakan dia dari terus mengharap dia kembali?" Rafiqan meneruskan kata-katanya.
Kali ini mata Hardina berkaca. Kata-kata yang diucapkan dari mulut Rafiqan benar-benar membuatkan dirinya rasa dihargai.
"Pi, tolong jangan layan saya terlalu baik pada saat-saat begini,” Hardina bersuara perlahan.
"Awak jangan salah faham dengan kata-kata saya. Saya tiada niat lain. Lagipun kita kan berkawan baik,” balas Rafiqan perlahan. Hardina menangis lagi "Kalau Dina nak menangis, menangislah puas-puas di hadapan saya, jangan pendam lagi perasaan itu..."
Hardina tersentak apabila disedari yang Rafiqan perasan akan genangan jernih di kelopak matanya itu. Seketika kemudian dia mengesat matanya dengan jari.
"Pi, saya dah tak apa-apa lagi nak cakap dengan awak. Saya terpaksa pergi...” kata Hardina lalu berpaling. Rafiqan hanya terkedu melihat Hardina melangkahkan kaki meninggalkannya sendirian tanpa megucapkan sepatah perkataan pun.

SEBAIK sahaja Hardina memasuki biliknya dia terus merebahkan badannya di atas katil. Fikirannya semakin kusut sekarang. Kenapa takdir ini yang bermain dengan hidupnya. Kenapa saat-saat seperti ini yang perlu dilaluinya.
Seketika wajah Haidir muncul di layar fikiran. Satu persatu kenangan bersama dengannya bagai diulang tayang semula. Semuanya berlalu begitu pantas. Kenangan memang pahit jika selalu dipanggil.
Berselang-seli dengan wajah Haidir, muncul wajah Rafiqan. Lelaki yang dikenalinya sejak zaman remaja banyak berkongsi suka dan duka bersama-samanya. Banyak peristiwa yang mengajarnya erti sebuah pertalian sejak dia diketemukan dengan Rafiqan. Bermula dengan seorang pelajar yang sombong sehinggalah berubah menjadi seorang yang berbudi bahasa.
'Macam mana boleh terfikir Haidir dan Rafiqan serentak ni?!" Hardina terfikir sendirian.

"APA lagi masalah kau ni hah?" soal Haq apabila melihatkan rakan sebiliknya itu lebih banyak termenung. Jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan simpati dengan apa yang menimpa ke atas Rafiqan. Dia boleh dikatakan tahu sedikit sebanyak apa yang telah berlaku antara Hardina dan Rafiqan. Hati mereka mengatakan mahu, tapi keadaan menidakkan segala-galanya. Rafiqan hanya terdiam tidak menjawab soalan Haq.
"Pi, janganlah macam ni, sekurang-kurangnya berceritalah sedikit dengan aku Manalah tahu aku boleh tolong..." tambah Haq lagi.
Rafiqan mengerling ke arah Haqimie. Fikiran dia sendiri berserabut memikirkan masalah yang tak pernah difikirkannya ini. Mengapa masalah ini yang sudi menjadi tetamu di mindanya.
"Haq, aku dah pernah cerita kat kau kan yang aku pernah suka kat Dina dulu..."
"Ya, masa kau tingkatan tiga..."
"Tapi aku ditolak mentah-mentah..."
"Masa tu mungkin dia belum bersedia…"
"Masalahnya, sekarang ni pun dia tak bersedia, aku tak tahu yang dia dah jumpa seseorang sebelum ni..." Rafiqan mengeluh panjang.
"Tu lah pasal, sekarang si Haidir pula yang buat hal. Kalau Haidir tak pernah wujud, semua ini tak akan terjadi..." balas Haqimie.
"Masalahnya itu 'kalau'. Kalau takde 'kalau' memang takde masalah punya..." kata Rafiqan semula.
"Kau nekad ke ni?"
"Entahlah, penangan Haidir dalam hidup Dina terlalu sukar untuk aku gambarkan. Lagipun Haidir itu cinta pertamanya. Aku tetap menjadi kawan pada matanya..."
"Pi, kau dah buat segala-galanya, dari A sampai Z, semua benda macam tak dipandang langsung oleh Dina, kau rasa berbaloikah semua ni?' soal Haqimie menarik perhatian Rafiqan.
"Kalau nak kira berbaloi, memang tak berbaloi. Tapi bila diingatkan semula yang aku pernah berjanji dengan Haidir, aku rasa aku perlu mencuba..."
"Kau janji apa dengan Haidir?" soal Haqimie semula.
"Aku janji tak akan biarkan dia bersedih .."
"Itulah masalahnya, kau janji lain, tapi kau buat lain..."
"Apa yang lainnya?"
"Kau janji tak nak biar dia sedih, tapi apa yang kau buat ialah kau mahu jadi pengganti Haidir. Kau memburu rindu kau sendiri. Itu yang mengeruhkan keadaan.
Rafiqan tunduk. Ada benar kata-kata Haqimie itu. Pada mulanya memanglah dia tak mahu melihat Hardina sedih, tetapi apabila perasaan yang selama ini cuba dilupakan muncul semula, dan dia membelai perasaan itu, maka timbullah situasi seperti sekarang ini.
"Takpelah, Haq. Oh ya, kau ada kerja tak besok?" soal Rafiqan cuba mengalih tajuk perbualan.
"Esok? Alamak, aku kena siapkan assignment la, lusa nak hantar, kenapa?" soal Haqimie semula.
"Takdelah, aku ingat nak minta kau temankan aku ke klinik sekejap, badan aku rasa lain macam la..."
"Maaflah, aku ada kerja..."
"Takpe, aku pergi sendiri sahajalah besok .."

AIRMATA yang mengalir laju membuatkan hati Rafiqan bertambah sebak. Terasa seolah-olah apa sahaja yang ada di dunia ini tidak lagi memerlukannya. Pengkhabaran yang disampaikan oleh pihak Dr. Naim betul-betul membuatkan hatinya hancur. Hancur untuk terus bermimpi. Hancur untuk terus mempunyai cita-cita.
Teksi yang dinaikinya meluncur laju membelah kesibukan lebuhraya menuju ke Shah Alam. Sungguhpun kelajuan itu dapat dirasakan, namun masa yang berlalu meninggalkannya juga dirasakan lebih laju. Rafiqan mendongak ke langit, benarkah aku masih mampu melihat langit ini pada esok hari? Matahari yang bersinar terang membuatkan Rafiqan terfikir, sudikah lagi matahari ini menampakkan sinarnya pada aku esok hari?
Sesampainya dia di hostel, Rafiqan menghulurkan not 50, kemudian dia terus berjalan tanpa bertanya tambang yang sebenar.
"Adik, baki adik belum ambil..." jerit abang pemandu teksi itu.
"Halalkan ajelah..." balas Rafiqan selamba. Buat apa dia perlukan duit lagi? Entah dia masih sempat atau tidak untuk menghabiskan duit yang masih berbaki.
"Terima kasih dik," kata lelaki pemandu sambil tersenyum. Mungkin dia rasa bersyukur kerana tambang yang sebenar bukanlah setinggi yang dia dapat. "Semoga panjang umur adik..." tambahnya lagi sambil berlalu pergi.
Rafiqan tersentak. Panjang ke umur aku? Kau tak tahu aku ni sakit. Sakit hanya menunggu masa saja. Kalaulah dengan cara memberi duit kepada pemandu teksi mampu mamanjangkan umurnya, nak saja dia bagi duit pada setiap pemandu teksi yang berderet di tepi jalan menantikan penumpang. Namun, mampukah itu berlaku?
Rafiqan menolak daun pintu biliknya dengan kuat. Bunyi dentuman yang kuat itu membuatkan Haqimie tersentak. Segera pembelajarannya terganggu seketika.
"Piqan, kenapa ni? Marah-marah, aku dah buat salah ke?" soal Haqimie sambil ekor matanya mengikut gerak langkah Rafiqan menghempaskan badannya ke atas katil.
Rafiqan tidak menjawab persoalan itu. Dia cuba untuk melelapkan matanya, namun fikirannya masih terganggu dengan berita yang masih belum dapat diterima oleh akalnya itu.
"Rafiqan, kenapa ni? Tak nak kongsi dengan aku ke?" tambah Haqimie lagi.
"Takpelah Haq, aku letih ni. Lain kali kita sembang, okey?” kata Rafiqan perlahan, tenang wajahnya tidak terlalu mengikut perasaan yang boleh membuatkan Haqimie tertanya-tanya.
"Okeylah….”
Rafiqan menelan liurnya sendiri, terasa pahit. Lebih pahit apabila mendengar pengakuan dari seorang yang arif dalam bidang perubatan menyatakan takdirnya seolah-olah telah ditentukan.
"Sudah lama awak merasa kelainan pada badan awak?" soal lelaki yang berseragam putih dan tertera pada dadanya tag nama Dr. Naim.
"Tak doktor, agak baru juga saya rasa macam badan saya ada yang tak kena..." jawab Rafiqan pula.
"Awak pernah kemalangan?" soal Dr. Naim lagi membuatkan Rafiqan agak tersentak. Dia kehairanan kerana walaupun dia tiada rekod perubatan di klinik tersebut, Dr Naim dapat meneka yang dirinya pernah mengalami kemalangan.
"Pernah doktor," Rafiqan menganggukkan kepala. Diikuti dengan anggukkan dari Dr. Naim pula.
"Ada tak pernah rasa sakit semasa membuang air kecil, atau adakah terdapat darah dalam air kencing kamu?" soal Dr Naim semula. Rafiqan terdiam sejenak.
"Rasa sakit tu, macam ada, tapi pasal darah saya tak pasti sebab saya tak pernah periksa air kencing saya..."
"Sukar untuk saya nyatakan, tapi saya harap awak bersedia mendengar apa yang bakal saya katakan," balas Dr Naim membuatkan seluruh tubuh Rafiqan seperi terasa sejuk.
"Kenapa dengan saya doctor?” tambah Rafiqan semula.
"Ahmed Rafiqan, saya harap awak tabah apabila mendengar kata-kata saya ini..." Dr. Naim terhenti lagi. Agak sukar untuk dia meneruskan kata-katanya. Rafiqan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut doktor tersebut. "Setelah pemeriksaan yang dijalankan pada air kencing awak, keputusan mendapati bahawa awak positif....."
"Positif? Maksud doktor?" Rafiqan segera memintas kata-kata Dr. Naim.
"Buah pinggang awak sudah rosak…” kata Dr Naim perlahan. Rafiqan yang dapat mendengar dengan jelas setiap bait perkataan yang diucapkan oleh Dr Naim terkedu. Seolah-olah dia sedang bermimpi. Rosak? Bagaimana buah pinggang boleh rosak? Macam mana aku masih boleh hidup? Terasa seluruh dunianya hanya sebesar bilik Dr. Naim yang sedang bersamanya itu
“Doktor tak bergurau kan?" soal Rafiqan inginkan kepastian.
"Saya tak akan bergurau dengan pesakit saya. Malah, saya juga telah melakukan tiga kali ujian untuk memastikan keadaan awak, dan semuanya positif buah pinggang awak rosak..” tambah Dr. Naim lagi. Dia seolah-olah dapat memahami apa yang bermain di fikiran Rafiqan sekarang. Rafiqan menarik nafas perlahan-lahan. Kemudian dia mengalihkan pandangannya pada jam yang tergantung. Ada lagi ke masa untuknya? Dia cuba menenangkan dirinya dengan berselawat ke atas nabi.
“Kenapa dengan buah pinggang saya?” soal Rafiqan dengan suara yang mendatar dan tersekat-sekat.
“Buah pinggang awak gagal berfungsi dengan sempurna. Oleh demikian, badan awak tidak dapat mengawal jumlah cecair dalam badan awak ataupun tidak dapat mengimbangi jumlah zat-zat yang diperlukan seperti potassium dan fosforus. Dalam sesetengah kes, kehilangan fungsi buah pinggang ini adalah sementara dan mungkin dipulihkan. Akan tetapi, kebanyakan kegagalan buah pinggang adalah berkekalan. Walaupun kegagalan buah pinggang adalah bersifat sementara, rawatan dialysis mesti dijalankan untuk melindungi badan awak daripada toksin-toksin dan tidak keseimbangan cecair..." Dr. Naim memberi penjelasan dengan panjang lebar. Rafiqan hanya ternganga mendengarnya.
"Banyak kes penyakit buah pinggang berlaku dalam diam dan tidak menampakkan sebarang tanda. Ia dikesan melalui pemeriksaan air kencing yang nampak tidak normal atau tekanan darah tinggi," tambah Dr Naim lagi.
“Macam mana saya boleh mendapat penyakit ini doctor?" tambah Rafiqan lagi.
“Buah pinggang boleh dirosakkan dalam kemalangan ataupun disebabkan oleh penyakit. Dua penyebab kegagalan buah pinggang yang biasa adalah berpunca daripada komplikasi penyakit kencing manis yang tidak terkawal ataupun tekanan darah tinggi. Tapi saya yakin, kemalangan itu yang menjadi penyebab buah pinggang awak rosak..."
"Saya ada peluang untuk sembuh?"
"50-50"
"50-50?"
"Untuk pengetahuan awak, satu daripada buah pinggang awak sudah rosak sepenuhnya. Dan satu sahaja lagi yang masih boleh berfungsi. Itu pun sudah infected..."
"Bolehkah saya sembuh?"
"lnsya-Allah, saya nasihatkan supaya awak mendapat rawatan dialisis yang berterusan. Namun rawatan ini mahal, memerlukan banyak masa terluang dan tidak semua pesakit boleh menerimanya..."
"Bagaimana pula dengan pembedahan?"
"Itu yang terbaik setakat ini. Secara teori, pemindahan buah pinggang nampak begitu mudah dengan mengeluarkan buah pinggang lama dan menggantikan dengan yang baru dan pesakit dapat menikmati kehidupan normal. Namun jika tubuh pesakit tidak dapat menerima buah pinggang baru, masalah akan timbul. Ini diatasi dengan mencari pesakit dan penderma yang mempunyai kaitan dan ubat diperlukan untuk mengurangkan tindakan balas yang dihadapi tubuh penerima..."
Diam lagi… Lama diamnya….
"Terima kasih doktor," akhirnya Rafiqan bersuara jua. Jelas sendu di matanya.
"Awak jangan risau, kami akan lakukan yang terbaik untuk sembuhkan awak, sebelum tu nasihat saya, awak jangan lakukan perkara-perkara yang berat, dan rawatan susulan perlu dijalankan setiap minggu sehingga pihak kami bertemu dengan penderma yang sesuai ...”
Rafiqan memejamkan mata apabila dia teringatkan kembali perbualannya dengan Dr Naim siang tadi. Tidak disangka-sangkanya air matanya mengalir deras dalam kegelapan malam.

HARDINA memanjangkan leher, tercari-cari tempat duduk yang selalunya diduduki oleh lelaki itu. Entah kenapa akhir-akhir ini dia semakin rindu untuk menatap wajah redup yang dimiliki oleh lelaki yang selama ini mengharapkan kasih darinya.
“Kenapa dengan kau ni Dina? Terintai-intai, terjulur-julur, terjuntai-juntai, terjelir-jelir..." rungut Azah melihatkan rakannya yang masih tidak membuka buku walaupun hampir 15 minit mereka memasuki PTAR.
“Mana aku ada terjelir-jelir laaa..." marah Hardina pula dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Azah tadi. Dia masih lagi mengharapkan wajah itu muncul.
"Kau cari dia dengan budak mualaf tu ke?" soal Azah membuatkan Hardina terdiam.
"Nama dia Haqimie la..." kata Hardina pula.
"Aku tahu. Tapi kau ni, datang PTAR nak belajar atau nak jumpa orang?"
“EntahJah Zah, aku pun tak tahu…”
“Itulah kau, suka sangat permainkan perasaan orang. Sekarang, perasaan kau pula dipermainkan kan?" Azah membalas kata-kata Hardina tadi. Geram juga apabila dirasakan yang Hardina seolah-olah mempermainkan perasaan seorang lelaki.
"Permainkan apa pula ni? Aku tak faham la..."
"Ala, buat-buat tak faham pula. Aku tahu sangat perasaan kau kat budak tu..."
"Budak mana?”
"Rafiqan..."
Hardina tunduk. Memang dia mampu untuk berdiam diri, tapi tidak mampu untuk menyembunyikannya dari pandangan Azah. Hampir setahun Azah mengenali dirinya, bahkan hampir setiap perkara mereka kongsikan bersama.
"Dina, kau masih sayangkan Haidir?” tambah Azah membuatkan Hardina tersentak. Memang sudah lama dicubanya untuk melupakan nama itu, dan kini diungkitkan kembali.
"Kenapa kau tanya macam tu?" soal Hardina pula.
“Sebab kau masih tak mahu lepaskan dia dari hidup kau. Bagi aku, memang Haidir tu bukan lelaki baik, tapi tidak berbaloi untuk kau bersedih kerana dia. Dan tidak berbaloi juga kerana dia, kau menjatuhkan hukuman ke atas orang lain,” kata Azah agak keras.
"Entahlah Zah, aku pun tak tahu.”
Haqimie memberhentikan motornya betul-betul di hadapan PTAR. Rafiqan yang sedari tadi menjadi pemboncengnya melangkah turun dari motosikal.
"Tunggu aku kejap, aku nak pulangkan buku sahaja,” kata Rafiqan kepada Haqimie. Haqimie hanya menganggukkan kepala.
Rafiqan berjalan melintasi dewan kuliah yang terletak bersebelahan dengan PTAR. Tiba-tiba dirasakan dirinya diperhatikan. Dia meninjau sekeliling kalau-kalau ada mata yang memerhati.
Sebaik sahaja Rafiqan memulangkan buku, dia kembali menuju ke arah Haqimie. Dalam dia berjalan sendirian, terdengar suara memanggil namanya..
 "Rafiqan!"
Rafiqan mendongak ke arah dewan kuliah yang terletak di tingkat 5. Dari jauh kelihatan Azah sedang melambai-lambaikan tangan. Hardina disebelahnya hanya tercegat.
'Hardina?!' Rafiqan agak terkejut. Dia seboleh-bolehnya ingin melarikan diri dari Hardina. Namun kali ini Hardina sendiri yang datang.
Rafiqan bergegas meninggalkan kawasan tersebut. Segera dia menuju ke arah Haqimie.
"Kenapa Rafiqan macam lari apabila melihat kita?" soal Azah. Hardina hanya menggelengkan kepala.
"Entah, aku sendiri tidak tahu,” balas Hardina pula.
"Kau dengan dia ni kenapa? Aku tengok macam ada yang tak kena je..." tambah Azah lagi. Hardina mengerutkan kening. Dia hanya menggelengkan kepala.
“Takde apa-apa la.”
"Ya ke takde apa-apa? Kau break dengan Haidir sebab Rafiqan kan?” soal Azah lagi menambahkan lagi kerutan di muka Hardina.
"Mengarutlah!"

"Rafiqan, apahal dengan kau ni? Hari tu bukan main beriya lagi kau janji akan tawan semula hati dia, tapi hari ini aku tengok kau ada je peluang, haram kau nak tegur dia..." kata Haqimie sewaktu dalam perjalanan pulang. Rafiqan hanya mendiamkan diri. Seboleh-bolehnya dia ingin merahsiakan perkara-perkara yang baru sahaja terjadi.
"Yang kau sibuk ni kenapa?"
"Aku tanya pun tak boleh? Selama ini aku juga yang jadi pendengar kau yang setia..."
"Jangan risaulah, lepas ni kau tak perlu dengar cerita aku lagi..." kata Rafiqan membuatkan Haqimie sedikit tersentak.
"Kenapa kau cakap macam tu?” soal Haqimie semula. Dia sedikit terasa dengan kata-kata yang diluahkan oleh Rafiqan tadi.
"Ops, maaf, aku terlalu emosi sekarang ni, maafkan aku Haq..." kata Rafiqan perlahan. Dia sedar yang dia terlalu emosi sekarang.
Sepanjang perjalanan pulang, kedua-duanya hanya mendiamkan diri. Rafiqan hanya melayan perasaannya sendirian. Haqimie pula menumpukan perhatian pada pemanduannya.
Sebaik sahaja sampai di hostel, Haqimie terus menarik tangan Rafiqan. Dia kemudian menolak pintu dan menyuruh Rafiqan masuk. Rafiqan agak terperanjat dengan tindakan Haqimie yang agak kasar.
"Haq! Kenapa dengan kau ni?" soal Rafiqan dalam keadaan teipinga-pinga.
"Pi, aku tak kira, aku nak dengar semua ini dari mulut kau sendiri..."
"Nak dengar apa?"
"Kenapa dengan kau sekarang ni? Tak bermaya, macam tak sihat. Pelajaran kau pun semakin menurun sekarang ni Takkan disebabkan perkara ni kau nak abaikan pelajaran kau!" balas Haqimie.
Rafiqan terdiam, apa gunanya dia belajar bersungguh-sungguh lagi sekiranya hidupnya hanya menunggu saat-saat terakhir. Tak guna dia mencari ilmu semata-mata untuk dia berjumpa dengan kematiannya suatu hari nanti.
"Kau tak faham Haq..."
"Memang aku tak faham. Macam mana aku nak faham kalau kau sendiri tak berusaha membuatkan aku faham?" soal Haqimie agak keras. Rafiqan mengeluh panjang Kenapa saat-saat begini Haqimie menduganya?
Haqimie mengambil posisi berdiri. Badannya terasa panas. Dia bukannya berang dengan sikap diam Rafiqan, tetapi dengan keadaan Rafiqan yang semakin tidak bermaya dan semakin lemah untuk menerima kenyataan. Dia terus bersuara apabila melihatkan Rafiqan mengambil tindakan untuk mendiamkan diri.
"Pi, aku kawan kau Pi, aku takkan jadi macam ni kalau bukan kerana kau! Aku takkan jadi sebagai Haqimie kalau bukan kerana kita bertemu Pi. Mungkin aku akan terus dikenali sebagai Jared kalau aku tak kenal kau. Tapi tolonglah Pi, kau yang beri aku semangat, takkan kau sendiri tak mampu untuk menghadapi takdir dan suratan?"
"Aku memang sedang menghadapi takdir, Haq," Rafiqan bersuara perlahan Dia bingkas bangun lalu menghampiri Haqimie. Kemudian diletakkan tangannya pada bahu Haqimie. Kemudian tangannya menggenggam erat bahu Haqimie. "Aku pernah cakap, bukan sebarangan orang aku akan letak tangan aku pada bahunya. Bila aku dah letak tangan pada bahu kau ni maknanya aku memberi sepenuh kepercayaan aku pada kau. Kau bukan setakat kawan, tapi seorang sahabat, mungkin sahabat yang terakhir bagi aku..."
Haqimie berpaling laju apabila mendengar kata-kata Rafiqan. "Apa kau mengarut ni Pi? Kau jangan buat aku takut dengan kata-kata kau. Aku tetap sahabat kau sampai bila-bila, mana ada berakhir!"
"Ajal, maut. Siapa tahu kan?"
"Tu kerja Tuhan, kenapa kita nak pertikaikan? Tak siapa tahu ajal dan maut masing-masing.
"Kalau aku dah tahu?"
Haqimie mengerutkan dahi. Semakin pelik tingkahlaku sahabatnya ini.
"Pi, kau semakin menakutkan aku. Tak sangka sebegini kesannya terhadap kau..."
Rafiqan tersenyum pahit. Dia tahu Haqimie semakin bingung. Namun dia sendiri sudah bersedia untuk bercerita segala-galanya jika ianya ditanya suatu hari nanti.
“Haq, duduk kejap. Biar aku cakap satu persatu,” Rafiqan menarik bahu rakannya itu supaya duduk. Haqimie akur dengan permintaan Rafiqan.
"Pasti kau okey ni?” soal Haqimie semula.
"Jangan risau. Aku okey. Macam ni, aku harap kau dapat pegang rahsia ini. Aku tahu ianya mengejutkan, tapi aku harap kau bersedia mendengarnya…”
"Baik, aku dah sedia..."
Rafiqan menarik nafas dengan panjang. Kemudian dia menghembuskannya semula.
"Haq, aku tak dapat hidup lama..." kata Rafiqan semula. Suasana sunyi dan sepi, tanpa suara balas dari Haqimie. Hanya kedengaran pusaran angin yang terhasil dari putaran kipas.
"Apa kau cakap?" Haqimie ingin memastikan apa yang didengarinya.
“Aku, dah nak mati, tak hidup lama dah. Aku sakit...."
"Sakit?" wajah Haqimie berubah "Kau sakit apa, Pi?" tambahnya lagi.
"Buah pinggang aku rosak. Peluang sembuh pun tipis..."
"Macam mana boleh jadi macam ni?"
Rafiqan tidak terus menjawab. Dia memandang ke arah Haqimie berkali kali. Sukar juga untuk Rafiqan berterus terang.
"Macam mana apa, benda dah nak jadi.”
"Mesti ada sebab..."
"Doktor cakap kemalangan hari itu yang buat aku jadi macam ni. Buah pinggang aku rosak sebab kemalangan..."
 "Kemalangan tempoh hari??"
"Ye la, kemalangan mana lagi?"
Haqimie bangun. Dia berjalan ke arah tingkap bilik. Pandangannya dilontar jauh ke luar jendela. Perasaannya bercampur baur. Dia dapat rasa dirinya turut menjadi punca segala-galanya.
"Pi, kalau bukan kerana aku, kau tak akan jadi macam ni..."
"Ni satu lagi sebab aku tak nak cerita dengan kau, mesti kau akan kata macam ni nanti..."
"Dah memang aku yang penyebab kau kemalangan..."
Rafiqan bangun lalu berjalan ke arah Haqimie.
"Haq, benda dah nak jadi. Jangan nak salahkan diri kau pula. Dah takdir aku macam ni, nak bual macam mana..."
"Dah takde cara ke untuk kau sembuh?”
"Takde Har, aku cuma tunggu masa je..."
"Pembedahan macam mana?"
"Ala, tu pun kalau ada penderma..."
"Penderma?”
"Oh ya Haq, jangan sekali-kali kau ceritakan pada sesiapa pun, terutama sekali dengan Hardina. Kau orang yang pertama tahu semua ni..."
"Keluarga kau?"
"Keluarga aku pun tak tahu...."
"Kau pergi klinik mana hari tu?"
"Klinik Dr. Naim. Dah, aku nak mandi ni..." Rafiqan bingkas bangun meninggalkan Haqimie yang masih terkebil-kebil.
Haqimie termangu sendirian. Dia sendiri seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi. Tidak pernah terbayang semua ini akan menimpa ke atas Rafiqan. Dia kenal Rafiqan yang terkenal dengan sifat mahmudahnya, seorang yang kuat beribadat, pekertinya mulia, alih-alih dengan cara ini Tuhan mahu menjemputnya.
Haqimie melayan perasaan sendirian. Semua peristiwa yang pernah dilalui bersama-sama bagai diputar-putar semula. Daripada mula dia menjejakkan kaki ke sini, Rafiqanlah orang yang paling baik pernah dia temui. Rafiqanlah orang yang menguruskannya ketika dia pulang ke hostel dalam keadaan mabuk. Rafiqanlah yang telah menunjukkan jalan yang benar.
"Kau termenung ke mana tu?" sapa Rafiqan sebaik sahaja keluar dari bilik air.
"Aku tak termenunglah, aku fikirkan kau ni..."
"Ala, tak payah fikir, aku yang nak mati. Kau tak payah risau..."
"Rafiqan, boleh tak kau jangan gunakan perkataan ‘mati’ tu!" bentak Haqimie semula. Rafiqan hanya menarik muka kehairanan.


0 comments:

Post a Comment