Tuesday, January 31, 2017

Redup Yang Panjang (Part 14)


“HAI!” sapa Rafiqan pada suatu pagi. Hardina kelihatan agak terperanjat dengan sapaan itu. Matanya melilau mencari-cari satu nama.
“Cari Haidir ke? Dia ada kat parking lagi. Macam mana? Dah bersedia ke ujian hari ni?" soal Rafiqan lagi.
"Bolehlah, awak nampak macam biasa aja?" soal Hardina pula.
“Luar je nampak macam selamba. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tak tahulah apa yang saya baca semalam. Tak yakin sangat saya boleh atau tidak jawab soalan hari ni..."
“Ala, awak kan pandai!"
“Mana ada! Biasa je...."
“Takpe, ini baru ujian selaras, bukan final exam lagi…” balas Hardina. Rafiqan hanya mengangguk laju.
Mereka terdiam seketika. Semakin ramai yang mula berkumpul di luar dewan kuliah. Masih ada setengah jam lagi untuk ujian bermula.
“Dina, Pi tanya sikit boleh?” soaJ Rafiqan tiba-tiba.
“Apa?”
“Dulu lepas habis PMR, Dina sambung belajar kat mana?"
Hardina terdiam. Dia tidak terus menjawab.
“Erm... Sekolah teknik la. Pi?"
“Pi tak pergi pun ke sekolah teknik..."
"Kenapa? Tak dapat? Mustahil .."
“Bukan tak dapat, tapi tak mohon pun ..."
“Oh, habis tu Pi pergi mana?"
"Pi pergi sekolah berasrama...."
“Penuh?”
“Apa?"
"Asrama penuh ke?"
Angguk.
"Oh, macam tu. Kira budak pandai la ni?"
"Takdelah, kan Dina ada cakap hari tu, rezeki masing-masing..."
"Kat mana?”
Belum sempat Rafiqan menjawab, tiba-tiba matanya tertangkap pada satu susuk tubuh yang begitu dikenalinya.
"Haidir…." kata Rafiqan sambil ekor matanya menunjukkan kea rah Haidir. Haidir menghampirinya yang sedang bersama-sama Hardina. Sejak akhir-akhir ini Haidir memang semakin rapat dengan Rafiqan.
"Hai Rafiqan, buat apa kat sini?" soal Haidir Hardina hanya terdiam.
"Saja, sembang-sembang dengan Dina..."
"Sembang aje tau!"
"Ye lah!!" balas Rafiqan semula.
Mereka terdiam lagi. Rafiqan tidak dapat bercakap banyak dengan Hardina apabila Haidir ada di situ. Dia meninjau sekeliling, kemudian dia terpandang ke arah Jared yang sedang merenung ke arahnya.
“Jared…” Rafiqan berbisik sendirian. Pandangan mata mereka bertemu. Sejak kejadian hari itu dia dan Jared seolah-olah orang asing. Mereka hanya bertemu apabila berada di fakulti. Jared hanya balik ke bilik apabila Rafiqan sudah lena. Semakin jarang di melekat di bilik.
Pengumuman bermulanya ujian mematikan lamunan Rafiqan. Kemudian semua perhatian pelajar tertumpu pada kertas ujian yang baru bermula.
Baru 15 minit pertama berlalu, Rafiqan mengeluh sendirian. Fikirannya saat ini kosong, satu soalan pun tidak mampu diselesaikan. Rafiqan berterusan mencuba memerah otak untuk menjawab soalan itu, namun dia menjadi buntu. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Kelihatan semua rakan sekuliah dengannya asyik menjawab soalan yang disediakan. Entah ujian apa kali ini Rafiqan menjadi seorang pengalah. Dia tidak setabah selalu. Fikirannya menjadi kosong. Akhirnya dia mengambil satu keputusan yang agak drastik iaitu keluar dari dewan walaupun masa ujian masih bersisa 1 jam lagi. Semua mata memandang ke arahnya apabila dia melangkah keluar. Tidak kurang juga ada di kalangan mereka yang berbisik sesame sendiri. Rafiqan nekad. Apa nak jadi, jadi lah…

PINTU bilik dikuak dengan perlahan. Wajah yang pertama dilihatnya ialah Jared. Mestilah, kerana Jared kan rakan sebilik. Tapi dia memandang ke arah jam. Baru jam 2 petang. Selalunya Jared tidak akan balik seawal itu ke bilik. Jared akan balik ke bilik selepas tengah malam sewaktu Rafiqan sudah melayari mimpi.
Rafiqan meletakkan beg yang digalasnya ke atas meja. Kemudian dia menghempaskan badannya ke atas katil. Fikirannya kusut sekarang. Sahih dia tidak akan lulus untuk ujian pagi tadi. Fikirannya masih kusut, tambahan lagi sampai ke hari ini dia dan Jared tidak bertegur sapa.
"Pi, kau dari mana?” sapa Jared. Rafiqan mengerutkan dahinya. Betul ke mamat ni tegur aku? Selama ini mereka berdua seolah-olah berada di dunia yang berasingan.
Rafiqan berpaling
"Kau dah tak marahkan aku?" soal Rafiqan. Jared hanya tersengih sambil menggelengkan kepala.
"Hanya orang gila sahaja yang berperasaan marah dekat kau..." kata Jared membuatkan Rafiqan kebingungan.
"Apa maksud kau?"
"Lupakan ajelah. Kau tak jawab pun soalan aku, kau dari mana?" tambah Jared lagi. Rafiqan tidak menjawab, dia hanya melepaskan keluhan yang panjang.
“Fakulti….” balas Rafiqan pendek.
“Kau jangan nak tipu aku, hari ni kan ujian. Kita sekelas, aku dan kau ada ujian….” balas Jared sambil menunjukkan jari ke arah Rafiqan dan dirinya sendiri.
“Dah tu, kalau kau dah tahu, kenapa masih nak bertanya?” Rafiqan membalas. Entah kenapa hatinya terasa sakit dan jawapan yang diberikannya pun seolah-olah mahu membidas pertanyaan dari Jared. Jared agak tersentak dengan jawapan dari Rafiqan. Dia dapat merasa perubahan sikap dari Rafiqan. Dia kenal Rafiqan tidak seperti itu. Jared masih cuba untuk menuturkan kata-kata dengan penuh sopan.
"Pi, aku tahu kau tak dapat jawab ujian tadi kan? Aku nampak kau keluar dari dewan sebelum masa tamat..." kata Jared lagi. Rafiqan tidak terperanjat dengan kata-kata Jared itu tadi. Sememangnya sesiapa pun akan nampak dia keluar dari dewan pagi tadi.
“Jadi?” soal Rafiqan pula.
"Jadi, kenapa?" soalan Rafiqan dibalas dengan soalan.
"Kenapa apa? Kenapa aku keluar? Takkan itu pun kau tak tahu? Aku dah siap sebelum masa tamat. Jadi aku keluar la..." kata Rafiqan semula. Dia cuba menyakinkan Jared dengan kata-katanya itu.  Dia memusingkan badannya mengadap dinding membelakangi Jared. Dia tahu dia menipu, tapi mata tidak akan menipu. Jadi dia cuba untuk tidak membiarkan matanya bertentang dengan mata Jared.
Jared hanya menggelengkan kepala. Dia tahu Rafiqan sedang berbohong.
"Kau fikir aku akan percaya dengan kata-kata kau? Mana ada orang dapat jawab semua soalan dalam masa kurang dari setengah jam? Kenapa kau berpura-pura? Kenapa susah sangat untuk kau bercerita dengan aku? Kenapa?" soal Jared semula. Rafiqan  masih berdiam diri.
"Jared…” akhirnya Rafiqan memusingkan badannya. Dia bangun lalu duduk di hujung katil bertentangan dengan Jared yang sedang duduk di katilnya sendiri.
“Cakaplah, kau bukan jenis yang pandai menipu.”
“Apa boleh aku buat? Fikiran aku kosong. Satu benda pun aku tak mampu nak jawab tadi. Aku tak tahu apa yang telah aku belajar selama ni...?” kata Rafiqan akhimya berterus terang.
 "Betul kau tak dapat jawab?" soal Jared semula.
"Satu pun tak dapat..."
Jared hanya termenung. Jarang sekali dia tersua dengan orang yang tak dapat jawab langsung apa-apa ujian.
"Pi, I think that you are hiding something from me. What is that? " soal Jared tiba-tiba.
"Sorokkan apa pula ni? Aku mana ada rahsiakan sesuatu dari kau..."
"Rafiqan, mustahil untuk kau tidak dapat jawab langsung ujian hari ini. Kebarangkalian untuk kau mendapat markah kosong adalah rendah..."
"Aku tak kata yang aku dapat markah kosong, tapi aku macam tak tahu apa yang aku jawab, aku tertekan..."
"Pi, apa kata kalau kau beritahu pada aku apa masalah kau, sebab aku rasa fikiran kau terganggu sekarang. Aku pun salah satu daripada masalah kau kan? Cuma aku akan cuba untuk tidak menyusahkan kau lagi..."
Lama wajah Jared ditenungnya. Entah apa pula yang bermain di fikiran mamat ni.
"Jared, kau mabuk ke?" soal Rafiqan inginkan kepastian.
"Kau perli aku ke? Aku serius la. Cakaplah apa masalah kau?”
"Erm, Jared, nanti aku ceritakan. Tetapi sebelum itu boleh aku tahu kenapa kau kata 'hanya orang yang gila sahaja akan marah kat aku' tadi?" soal Rafiqan tiba-tiba.
Jared sedar yang Rafiqan cuba untuk mengalih topik perbualan. Namun dia cuba untuk melayan karenahnya itu.
“Beberapa hari ni kita semakin jauh….” Kata Jared.
“Aku tahu, kau marahkan aku kan?”
“Memang aku marah kau. Aku nak sakitkan hati kau, so aku pergi minum. Aku sengaja mabuk sebab aku nak buat kau sakit hati. Aku nak buat kau bengang, aku tunggu kau marah atau berleter kat aku…”
Rafiqan membeliakkan mata. “Kau tahu aku tak berani buat macam tu…”
“Buat macam mana?”
“Marah atau berleter kat kau lah!”
“Kenapa?”
“Gila! Dengan kau keadaan mabuk, aku tegur sikit kau dah balas macam-macam. Aku tahu orang mabuk tak boleh kawal pemikirannya. Silap hari bulan aku kena pukul dengan kau…”
“Kau takut dengan aku eh?”
“Sekarang tak lah… Tapi kalau kau mabuk, dengan saiz badan kau yang macam ahli bina badan ni, tidak mustahil aku penyek kena hempap dengan kau…”
Jared melihat badannya sendiri. Kemudian dia mengalihkan pandangannya pada Rafiqan. Memang besar perbezaan saiz dia dengan Rafiqan.
“Jadi, apa yang kau marah sangat dengan aku?”
"Pi, aku tak sepatutnya marah kepada orang yang selama ini tidak pernah menyimpan perasaan sakit hati pada aku. Ya aku pernah marah kat kau sebab pinggirkan aku hari itu, kemudian aku pulang dalam keadaan yang tak sepatutnya. Kadang-kadang aku pengsan, kadang-kadang aku merapu, tetapi kau tak pernah merungut. Sampailah ada satu malam kali terakhir aku mabuk, aku pulang sambil merapu dan marah-marah kat engkau. Aku pengsan lagi, tapi kau tetap menguruskan aku, malahan aku terdengar kau berbisik supaya Tuhan menganugerahkan kepada kau dengan seribu kesabaran kerana terpaksa menghadapi aku. Kau tak pernah merungut, malah kau berdoa supaya aku sedar. Aku hairan didikan apa yang telah kau terima sehinggakan aku yang bukan saudara kau apatah lagi saudara seagama, aku dilayan sebegitu rupa. Aku kagum dengan kesabaran kau ..." Jared meluahkan segaJa-gala yang terbuku di hatinya selama ini. Sudah berkali-kali dicubanya untuk bersuara, namun dirasakan dia tiada hak untuk bertanyakannya.
Rafiqan terpegun apabila mendegar kata-kata yang lahir dari mulut Jared itu. Memang selama ini dia terpaksa menghadapi semua itu. Tetapi semua itu bukanlah menjadi ukuran antara seagama atau tidak.
"Jared, sungguhpun kita bukan saudara darah, namun semua manusia adalah bersaudara. Dan perkara itu tidak pernah terlintas di fikiran aku untuk merasa sakit hati, kerana itu hak engkau dan aku harus faham dengan budaya kau. Maksud aku I don't deserve untuk aku halang kau sebab itu memang kehidupan kau yang terpaksa aku masukkan ke dalam hidup aku. Cuma tugas aku ialah tidak terpengaruh, itu sahaja. Dan itu yang terbaik aku mampu buat...” kata Rafiqan pula.
“Kalau kira kau berhak untuk minta tukar bilik, kenapa kau tak pernah buat?”
“Aku mahukan cabaran dan pengalaman. Berkawan dengan kau, lalui apa yang terpaksa aku lalui, bukan semua orang boleh hadapi. Aku dulu bukanlah seorang yang penyabar, tapi bila aku kenal kau, pengalaman yang aku belajar bukan semua orang boleh lalui…”
“Kau anggap aku kawan lagi ke?”
“Abis tu? Kau nak tukar status kepada kekasih ke? Tak nak lah aku, sekarang jugak aku tukar bilik….”
Mereka berdua tergelak. Jared tahu Rafiqan hanya berseloroh. Senang hatinya melihat Rafiqan kembali bergelak ketawa.
"Rafiqan, sebenarnya aku ingin membuat satu perjanjian dengan kau, boleh?" kata Jared pula.
"Perjanjian apa?"
"Pasal subjek untuk ujian hari ini aku akan tolong kau, tapi dengan syarat..”
"Betul kau nak tolong aku?”
"Betullah, tapi ada syarat..."
"Apa syaratnya?" soal Rafiqan lagi. Jared tidak terus menjawab, tetapi dia hanya menjawab dengan perlahan-lahan.
"Jadikan aku.........berbinkan Abdullah…"
"Apa?" kali ini Rafiqan tergamam. Permintaan dari Jared amat tidak disangka-sangkakan. Betulkah apa yang dia dengar atau Jared sekadar beromong kosong?
"Nak aku ulang?" soal Jared semula.
"Kau serius ke ni? Is that okay, I mean bagaimana tiba-tiba kau terfikir semua ini?"
"Perlukah aku beritahu apa yang tertarik tentang Islam? Okey, apa yang pasti, aku nampak keindahan Islam itu sejak aku mengenali kau. Kau punya attitude menyakinkan aku bahawa Islam itu adalah agama yang benar. Untuk pengetahuan kau, selama ini aku memang mengkaji semua agama di dunia ini since you know that I have no religion. Sekarang aku dah nampak. Boleh kau janji dengan aku?" soal Jared semula.
Rafiqan seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru dilafazkan oleh Jared. Permintaannya itu bukanlah susah sangat, cuma ianya memerlukan kesungguhan dan keikhlasan hati sahaja.
"Famili kau macam mana?” soal Rafiqan semula.
"La, itu bukan masalah pun. Untuk pengetahuan kau, parents aku tiada agama, kakak aku Kristian, abang aku penganut Buddha. Jadi tiada alasan untuk aku tidak boleh pilih jalan aku sendiri..." kata Jared semula.
“Tapi kau kena tinggalkan semua ni..." tambah Rafiqan pula.
“Tinggalkan apa?" soal Jared semula.
"Arak, subang dan rantai yang kau pakai ni..."
"Oh, itu sudah semestinya. Sebab tu aku perlukan kau.  Kau boleh tolong aku kan?”
"Insya-Allah, aku akan tolong. Sebenarnya apa yang kau nampak pada aku?"
"Seperti yang aku cakap tadi. Kadang-kadang selepas Subuh bila aku mendengar kau mengaji Al-Quran, hati aku jadi sayu dan tersentuh. Aku tak tahu apa maknanya, tapi aku rasa Islam mampu membuat hati kita tenang. Hari itu bila aku tanya kenapa kau tiba-tiba mengaji Al-Quran, kau cakap hati kau tak tenteram. Bila orang seperti aku pun menjadi tenteram apabila terdengar kau mengaji, apatah lagi kau kan? Sebab itulah aku betul-betul berharap pada kau..."
"Insya-Allah…..”
Rafiqan terdiam seketika. Kemudian dia menambah “Sebelum itu nama Jared tak sesuai kalau kau masuk Islam…"
"Jangan risau, aku dah pilih satu nama ..."
"Apa dia?"
"Sebenarnya aku sukakan nama kau sebab ia membawa maksud persahabatan, tapi aku rasa aku tak boleh menjadi satu lagi 'Rafiqan'. Memandangkan aku ni pandai dan bijaksana, jadi aku pilih nama Haqimie yang membawa maksud kebijaksanaanku. Pandai tak aku?”
"Pandai sangat!!!"
Mereka tergelak.
Keesokannya Rafiqan dan Jared membuat keputusan untuk mendapat nasihat dari pegawai di Pejabat Agama Islam. Selepas itu Jared diisytiharkan Islam dengan nama Islamnya Muhammad Haqimie Abdullah.
Telefonnya yang berdering berkali-kali mengejutkan Rafiqan dari tidur siang. Dia menggosokkan mata beberapa kali sebelum menjawab panggilan itu.
"Assalamualaikum..." Rafiqan memberi salam.
 "Wa'alaikumsalam.." terdengar satu suara yang begitu halus di hujung telefon.
"Siapa ni?" soal Rafiqan semula.
"Boleh saya bercakap dengan Rafiqan?” soal suara itu semula.
"Rafiqan bercakap, siapa ni?" soal Rafiqan semula.
 "Pi, ni Dina,"
Dina! Segera Rafiqan membetulkan duduknya. "Dina! Ada apa yang boleh saya tolong?" soal Rafiqan pula. Jarang sekali Hardina akan menelefonnya, pasti ada sesuatu yang diperlukannya kali ini. Kalau tidak masakan Hardina bersusah payah menelefonnya.
"Pi, buat apa hari ini?" soal Hardina semula. Baru Rafiqan tersedar yang hari itu merupakan hari minggu.
"Tak buat apa pun..."
"Saya pun, tak tahu nak buat apa, sebab tu lah saya telefon awak ni..."
"Haidir mana?" soal Rafiqan semula.
"Haidir kat rumah, kenapa?"
"Dia tak ajak Dina keluar ke?" soal Rafiqan semula.
"Tak, kami sebenarnya bukan selalu keluar pun..."
Rafiqan termenung seketika. Kemudian dia bersuara.
"Dina, boleh saya jumpa awak?"
Kali ini Hardina pula yang terdiam.
“Dina, kenapa diam je?" tambah Rafiqan lagi.
 "Jumpa? Nak jumpa bila?" soal Hardina semula.
 "Tadi Dina cakap tak tahu nak buat apa kan? Apa kata kita jumpa sekarang?" soal Rafiqan semula.
"Sekarang?"
"Kenapa? Haidir marah ke?"
"Tak, tapi kat mana?” soal Hardina lagi
"Mana-manalah, fakulti ke, PTAR ke..."
“Baik, kalau macam tu jumpa di cafeteria fakulti ajelah..."
"Okey….” panggilan diputuskan.
Hati Rafiqan kali ini berbunga riang. Entah kenapa hatinya turut menyanyi-nyanyi apabila buat kali pertamanya dia akan bersua dengan seseorang yang pernah membawa kenangan bersama-sama di zaman remajanya. Bukan tidak pernah bersua di kelas, tapi kali ini perjumpaan yang lebih santai. 
"Dah lama sampai?" soal Rafiqan apabila Hardina menyambutnya dengan sekuntum senyuman.
"Takdelah lama sangat..."
Rafiqan menelan liurnya seketika. Bagai mimpi dia bertemu semula dengan gadis yang masih terserlah ayunya. Hardina sedikit berubah penampilannya pada hari itu. Dia mengenakan baju yang agak longgar dan tudung yang menutup keseluruhan dadanya.
"Dina ke ni?" soal Rafiqan semula.
"Ya la, habis Pi ingat siapa?" soal Hardina pula. Dia tahu Rafiqan sengaja mengusiknya. Kemudian matanya dialihkan dari terus merenung pasang mata kepunyaan Rafiqan. Memang dia akui, kehebatan lelaki itu ada pada matanya.
"Ingat gadis manis mana la tadi?"
"Iyelah tu..."
Banyak perkara yang mereka bualkan, dari kenangan zaman kanak-kanak sehinggalah zaman saat mereka hadapi perpisahan dahulu. Hardina sendiri tidak menyangka yang Rafiqan masih belum banyak berubah, dia masih seperti dulu. Cuma Hardina sahaja yang merasakan dirinya semakin berubah dengan arus perubahan zaman.
"SATU fakulti heboh yang budak non-muslim tu masuk Islam.” kata Azah suatu hari pada Hardina. Sewaktu itu mereka sama-sama menikmati hidangan tengah hari.
“A'ah, aku pun tak kenal apa nama dia sebelum ni, alih-alih dah masuk Islam..." balas Hardina pula.
"Dengar cerita, mamat tu rakan sebilik Rafiqan, dan dengar cerita juga, Rafiqan yang bertanggungjawab mengislamkan dia. Tak sangka si Rafiqan tu dalam diam dia berilmu mengislamkan orang,” kata Azah pula membuatkan Hardina sedikit ternganga. Memang tak sangka, sebab orang itu pernah menjadi budak paling samseng suatu masa dahulu.
"Betul ke?" soal Hardina semula bagaikan tidak percaya. Sedikit sebanyak perasaan kagum itu hadir di mindanya…
“Betul la..."
Mereka terdiam seketika.
"Dina, hari pembentangan hampir tiba, kau dah siapkan bahagian kau? Haidir ada pesan supaya aku teliti sekali lagi sebelum pembentangan," balas Azah lagi. Hardina hanya mengangguk. Rasa lega sedikit apabila mereka hanya perlu menunggu hari sahaja kerana banyak perkara telah siap.
"Haidir tak cakap apa pun..” kata Hardina.
 "Tak tahulah aku, oh ya, menyentuh pasal Haidir ni, aku nak tanya, kau jangan marah pula. Kau ada masalah ke dengan dia?” soal Azah membuatkan Hardina semakin terkejut.
"Kenapa kau cakap macam tu? Aku rasa kami okay je.."
 "Aku tanya je. Takpelah kalau masih okay..”
“Ada apa ni? Baik kau beritahu aku kenapa kau cakap macam tu..."
Azah terdiam seketika. Berat hatinya untuk meneruskan kata-kata. Antara percaya dengan tidak bercampur dengan perasaan mengambil berat perihal kawan-kawan. Dia menganggap Hardina umpama adik-beradiknya sendiri, jadi apabila sesuatu berlaku pada Hardina, hatinya turut terasa.
"Kenapa kau diam?" soal Hardina semula.
Azah masih mengunci mulut.
"Cakaplah Azah…” pinta Hardina lagi.
"Dina, semalam aku nampak Haidir dengan seseorang. Mesra sangat, sebab itu aku tanya kau ada masalah ke dengan dia. Nak kata adik beradik, macam tak munasabah. Nak kata kawan biasa, mesra semacam, berpegang tangan..”
"Betul ke apa yang kau cakap ni?!" soal Hardina dengan agak keras.
"Dina, aku bukan nak bawa cerita, dan seboleh-bolehnya aku tak nak tanya kau, tapi memandangkan kita berkawan rapat, aku tak sanggup nak lihat kau kecewa nanti. Terpulang pada kau nak percaya atau tidak, cuma kau harus tahu yang aku tak akan berbohong dengan kawan baik aku...” balas Azah lagi. Hardina hanya mampu terdiam. Dia tidak dapat berkata apa-apa lagi. Sungguhpun Azah mengaku tidak pernah menipu, selagi dia tidak melihat dengan mata sendiri, dia tidak akan percaya.

PEMBENTANGAN berjalan begitu lancer. Haidir dan Rafiqan tersenyum kepuasan. Tetapi berlainan pula dengan Hardina. Fikirannya berkecamuk memikirkan kata-kata dan telahan dari rakan baiknya sendiri mengenai Haidir baru-baru ini. Patutlah sikap Haidir berlainan sejak akhir-akhir ini.
“Dina, kenapa tergagap-gagap tadi? Awak tak berlatih dulu ke?” Rafiqan berbisik perlahan. Dia masih tidak perasan yang mata Hardina merenung tajam ke arah Haidir yang berlagak bersahaja. Haidir berjalan ke arah Hardina sambil berbisik periahan
 “Dina, good job!"
Hardina hanya mampu mengetapkan bibir. Entah di mana silapnya, dia kini merasa semakin jauh dari Haidir.
Rafiqan hanya menjadi pemerhati melihat tingkah laku Haidir dan Hardina yang agak berlainan. Mereka tidak semesra dulu. Apa yang telah berlaku ni?
"Pi, jom kita pergi minum. Aku belanja. Dina, Azah, ikut sekali tak?" kata Haidir. Rafiqan hanya menganggukkan kepala
"Eh mestilah, kan Dina kan?" balas Azah pula. Hardina turut mengangguk.
Mereka berempat berjalan beriringan menuju ke arah cafeteria. Rafiqan semakin yakin ada sesuatu yang telah terjadi antara Hardina dengan Haidir.
Sepanjang mereka menikmati hidangan, Haidir seperti biasa petah bercerita tentang perkara yang diminatinya iaitu perihal kereta. Rafiqan dan Azah hanya menjadi pendengar sahaja. Hardina pula masih lagi membisu.
Rafiqan nekad, dia mesti mencari sebabnya dia tidak boleh berterusan melihat Hardina dilanda kesedihan. Dia tahu ada redup di matanya.  Setelah hampir setengah jam, Haidir meminta diri untuk beransur terlebih dahulu. Dia melangkah bangun untuk membayar.
“Dina, awak tak apa-apa ke? Diam je hari ini. Kenapa? Presentation kan dah lepas. Jangan risau la...” Rafiqan berbisik lagi. Azah hanya menganggukkan kepala.
“Aku rasa kumpulan kita dah buat yang terbaik pada hari ini..." tambah Azah pula.
Hardina tidak menjawab, sesekali dia memandang ke arah Rafiqan, sesekali ke arah Azah.
“Dina, kau tak apa-apa ke? Aku rasa kau tak sihat ni..." tambah Azah semula.
Seketika Haidir muncul kembali. Petang itu hanya melibatkan pembentangan sahaja dan mereka tiada kuliah lagi selepas itu.
“Rafiqan, aku hantar kau balik. Dina, Azah, jom saya hantar ke kolej..." kata Haidir. Azah dan Rafiqan hanya mengangguk.
Sepanjang perjalanan ke kolej, Haidir tidak banyak bercakap. Begitu juga Rafiqan dan Azah. Apatah lagi Hardina. Kereta Haidir meluncur laju meninggalkan Fakulti Kejuruteraan menuju ke arah Kolej Mawar.
Setibanya di Kolej Mawar, Hardina dan Azah turun. Setelah mengucapkan terima kasih, Hardina terus berlalu tanpa berpaling lagi.
Kini hanya tinggal Rafiqan dan Haidir berdua. Kereta Haidir mula bergerak meninggalkan perkarangan Kolej Mawar menuju ke arah kolej Rafiqan pula.
"Piqan, kau ada kerja ke sekarang?" soal Haidir tiba-tiba.
"Takde, kenapa?"
"Boleh kau ikut aku sekejap?”
“Boleh je..." Rafiqan hanya menganggukkan kepala. Kali ini dia yakin inilah satu-satunya peluang untuknya mengetahui keadaan sebenar.
“Aku ada sesuatu hendak cakap dengan kau ni..." kata Haidir memulakan bicara. Kereta yang dipandunya sudah pun melepasi kolej yang didiami oleh Rafiqan. Rafiqan berpaling laju.
"Aku pun ada perkara nak tanya kau..." balas Rafiqan semula.
            “Apa dia?"
"Kau la beritahu dulu apa yang kau nak cakap?"
Haidir terdiam. Apa yang harus dimulakan? Dia menjadi buntu. Begitu juga dengan Rafiqan. Namun persoalannya harus terjawab.
"Kau jelah yang cakap dulu..."
"Kau ada masalah ke dengan Dina?" soal Rafiqan lancar. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk mengajukan soalan itu. Haidir berpaling pantas.
"Perkara ni juga yang aku nak cakap dengan kau!" katanya. Rafiqan terdiam. Soalannya masih belum terjawab.
"Jadi betul la kau ada masalah dengan dia?" soal Rafiqan semula.
"Aku tak tahu Pi, aku tak tahu apa yang patut aku buat..”
"Apa yang telah berlaku?"
Haidir tidak menjawab. Keretanya membelok ke arah Taman Tasik yang agak lengang pada waktu-waktu begini.
"Nanti aku ceritakan..."
Mereka melangkah keluar sebaik sahaja kereta Haidir berhenti. Haidir meminta supaya Rafiqan mengikutnya. Entah apa yang bermain difikirannya tatkala ini tidak dapat diberitahu.
"Pi, aku betul-betul perlukan kau..." kata Haidir sebaik sahaja mereka bcrdiri betul-betul di tepi tasik buatan yang tersergam di tengah-tengah bandaraya Shah Alam itu.
"Kenapa ni Dir? Apa masalah kau?" soal Rafiqan, inginkan kepastian. Haidir berpaling ke arah Rafiqan.
"Ni tentang aku dan Dina..." kata Haidir membuat Rafiqan sedikit gusar. Manalah tahu hubungannya dengan Hardina 4 tahun lepas sudah didedahkan.
"Kenapa kau berminat untuk bercerita dengan aku?" soal Rafiqan kemudiannya.
"Aku tahu kau rakan sekampung dengan Dina kan?" soal Haidir lagi membuatkan Rafiqan sedikit terperanjat. Apa yang bermain di fikirannya ialah mungkin dia menjadi punca keretakan hubungan mereka.
"Jadi?" soal Rafiqan semula. Dia masih cuba untuk bersahaja.
Haidir tidak menjawab. Sebaliknya dia menghampiri Rafiqan. Kemudian diletakkan tangannya pada bahu Rafiqan dan merangkulnya erat.
"Kau tahu, bukan sebarang orang aku akan letak tangan aku pada bahu mereka. Bila aku dah letak di atas bahu kau, maknanya aku menaruh sepenuh kepercayaan kepada kau, mean you are not just a friend for me, kau kenal Dina sebelum aku, aku perlukan engkau untuk berada di sisinya..." kata Haidir secara panjang lebar.
"Apa maksud kau?"
"Aku nak tanya, kau kenal Dina sebagai apa dengan aku?”
"Kekasih, mungkin?"
"Ya, itu dulu..."
"Maksud kau, sekarang ini bukan?" soal Rafiqan ingin kepastian.
"Mungkin..."
"Kenapa? Kau takkan dapat gadis sebaik dia, Haidir. Kau akan rugi..."
"Tapi aku rimas dengan sikap dia…”
"Sikap apa yang kau maksudkan?"
Haidir terdiam. Dia seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
"Pi, kalau aku ceritakan sesuatu, boleh kau rahsiakan?" soal Haidir semula. Rafiqan terdiam, macam serius saja bunyinya.
"Kau kata aku bukan sekadar kawan biasa kan?" soal Rafiqan pula. Haidir tersenyum.
"Ya lah, aku percayakan kau. Sebenarnya aku datang dari keluarga bermasalah. Dulu ibubapa aku sering bergaduh dan aku sering melarikan diri dari terus melihat sengketa antara mereka. Kemudian aku bertemu dengan Hardina. Aku lihat dia betul-betul mengambil berat tentang aku...”
"Bila kau mula kenal Dina?" soal Rafiqan semula.
"Semasa kami di sekolah teknik dahulu..."
"Oh..."
“Dina sangat memahami aku, dia ikut segala kehendak aku semata-mata kerana aku..” Rafiqan tersentak dengan kata-kata Haidir. Terus prasangka negative bermain di fikirannya.
"Kau,  dia, dah ..??” tak sanggup Rafiqan untuk menghabiskan kata-kata.
Langsung Haidir memotong kata-katanya “Don't be silly my friend! Aku masih tahu tentang dosa pahala ni,”  kata-kata Haidir membuatkan Rafiqan menarik nafas lega.
"Jadi, apa masalah kau?"
“Aku rasa hati aku bukan untuknya..”
"Maksud kau?"
“I'm seeing someone else ..."
"Tapi apa salah Dina?"
“Dia tak bersalah, cuma dia sekarang tak sama seperti Dina yang aku kenal lagi..."
"Maksud kau?"
"Dia dah berubah. Sejak akhir-akhir ni aku macam tak tahu siapa dia. Dia sering mempertikaikan batasan-batasan antara kami. Malahan aku tak boleh pegang tangannya seperti dahulu lagi..”
Rafiqan mengetap bibir. Memang itu yang sepatutnya dalam Islam. Memang itu yang diajar dalam agama kita! Hendak sahaja Rafiqan meluahkan kata-kata itu dari bibirnya, namun semuanya hanya tersekat di kerongkong sahaja. Dia risau Haidir akan berkecil hati. Baginya bukan itu cara untuk menegur Haidir.
"Pemikiran Dina semakin tertutup sekarang. Dia dah tak terbuka macam dahulu lagi. Aku sendiri tidak tahu sejak bila dia berubah macam tu.
Rafiqan masih lagi terdiam. Diamatinya betul-betul setiap kata-kata yang terkeluar dari mulut Haidir. Walaupun hatinya lebih bersetuju dengan Hardina, namun tidak pula diluahkan pada Haidir.
“Dir, kau mula kenal Dina macam mana? Adakah dulu kau yang datang padanya atau dia yang datang pada kau?" soal Rafiqan pula.
Haidir termenung seketika.
''Aku yang pergi padanya. Memang pada mula-mula aku kenal dia memang susah untuk didekati. Tapi apabila aku yakin dia semakin dekat dengan aku, dia mula berubah menjadi seorang gadis yang berfikiran terbuka..”
“Macam berpegangan tangan? Macam tu?" soal Rafiqan lagi. Haidir hanya menganggukkan kepala. Timbul pula perasaan geram pada lelaki ini. Tahulah dia kini kerana lelaki itulah yang bertanggungjawab mengubah sikap Hardina selama ini.
"Tengok, kau nampak kan? Kau yang memulakan semuanya. Dan dia berubah kerana kau! Sekarang kau nak akhirkannya? Macam tu? Tak bolehkah kau bayangkan kalau Dina tahu semua ini?" soal Rafiqan semula. Panasnya semakin membara.
"Pi, aku tahu kau kawan baik dia. Sebab itu aku perlukan kau sekarang ..."
"Tolong Dir, jangan buat macam ni. Kau fikir balik usaha kau selama ini untuk memenangi hatinya. Berbaloikah kalau kau buat dia seperti ini?" tambah Rafiqan lagi. Dia sendiri tidak berjaya memenangi hati Hardina.
"Pi, hati aku bukan untuknya. Kau harus faham..."
"Kau nak aku buat apa?" soal Rafiqan semula.
"Tolong berada di sisinya..."
"Untuk apa?"
"Kau harus faham bagaimana perasaannya nanti kalau aku minta hubungan ini diputuskan..."
Rafiqan terdiam Memang ada benarnya kata-kata dari muiut Haidir itu, tetapi dirasakannya bersubahat pula dengan Haidir.
"Dir, sanggup kau buat macam ni?"
Kali ini giliran Haidir pula yang mendiamkan diri.
"Aku tak tahu lagi apa yang harus aku buat? Pada kau sahaja harapan terakhir aku .." balas Haidir semula.
Rafiqan terdiam. Apa yang mampu dia lakukan? Dia hanya seorang kawan. Seketika kemudian, Rafiqan meminta dihantar pulang.

AZAH masih tidak berani bersuara. Sejak dihantar pulang tadi, Hardina masih berdiam diri. Entah apa yang merasuk fikirannya, Azah sendiri tidak tahu.
"Azah .." kata Hardina perlahan. Azah berpaling ke arah Hardina.
"Apa dia?"
"Aku rasa betul cakap kau..."
"Pasal apa, Dina?" soal Azah semula.
“Pasal Haidir. Aku tengok dia semakin jauh dari aku,"
“Dina, aku harap kau jangan fikir sangat tentang ini. Kau sayangkan dia kan?"
“Tapi semua tak seperti dulu lagi sekarang..."
"Kenapa kau cakap macam tu?"
"Azah, bukan kau seorang yang nampak dia dengan seseorang tu, ramai lagi yang datang jumpa aku dan beritahu apa yang mereka nampak...” kata Hardina lagi. Azah hanya mampu menelan liurnya. Ada sendu di mata Hardina. Azah mengajaknya supaya pulang berehat di hostel.


**bersambung..

Monday, January 23, 2017

Redup Yang Panjang (Part 13)


Part 13

HARDINA merasa serba salah apabila melihat kedatangan Haidir diiringi oleh Rafiqan Mungkin mereka terserempak semasa dalam perjalanan ke kelas tadi. Sampai bila harus dia merasa bersalah. Sampai bila mereka harus hanya memandang antara satu sama lain?
"Hai Dina, awal awak sampai?" Haidir menyapanya. Rafiqan hanya menjeling dari belakang.
"Baru je, duduklah,” kata Hardina sambil menarik kerusi di meja sebelahnya.
"Takpe, dalam kelas Dina duduk dengan kaum Dina, saya dengan kawan-kawan lelaki, boleh?" soal Haidir semula Rafiqan berlalu sambil memilih satu tempat di belakang.
"Boleh, takde masalah balas,” Hardina cuba mengukirkan senyuman. Namun ternyata keresahan terpancar di wajahnya.
Haidir berlalu ke arah Rafiqan, kemudian ditariknya kerusi sebelah Rafiqan lalu duduk. Semua perlakuannya diperhatikan oleh Hardina.
"Hai, boleh saya duduk sini? Ada orang ke?" sapa satu suara mematikan lamunan Hardina.
"Sure, takde orang..." Hardina tersenyum ke arah pelajar perempuan itu. Manisnya wajah dia....
"Panggil saya Azah," kata pelajar perempuan tersebut.
"Dina, nice to meet you"
"Nice to meet you too... "
Hardina hanya mendiamkan diri sehinggalah pensyarah masuk. Sepanjang syarahan, Hardina tidak dapat menumpukan perhatian seratus peratus kerana fikirannya asyik memikirkan satu nama yang sedari tadi berbual mesra dengan Haidir. Entah permainan apa yang membuatkan Haidir tiba-tiba boleh menjadi rapat dengan Rafiqan.
"BAIKLAH, sebelum saya menghabiskan syarahan pada hari ini, saya mengingatkan sekali lagi tentang kumpulan pembentangan untuk setiap tugasan yang telah kita bincangkan tadi. Satu kumpulan empat orang, dan pemilihan ahli kumpulan adalah bebas. Baiklah, setakat ini sahaja dahulu syarahan untuk hari ini..." kata-kata terakhir pensyarah sebelum melangkah keluar.
Haidir bangun menuju ke arah Hardina. Rafiqan masih lagi berkemas untuk ke kelas seterusnya.
"Dina, awak dah ada kumpulan?" soal Azah tiba-tiba.
"Kenapa?"
"Saya ni tak ramai kawan lagi, jadi kalau boleh saya nak satu kumpulan dengan awak..." balas Azah semula
"Boleh, tapi kena tanya Haidir dulu…” balas Hardina pula.
"Haidir?"
"Ya, dia ni..." kata Hardina sambil menunjukkan ke arah Haidir.
"Ada apa?" soal Haidir.
"Ini Azah, boleh dia satu kumpulan dengan kita?" soal Hardina.
"Oh, boleh, takde masalah..." balas Haidir.
"Ha, baguslah kita dah bertiga, cuma seorang saja lagi kena cari..." kata Hardina kepada Azah.
"Nak cari apa lagi? Kita dah berempat, awak, dia , saya dan Rafiqan!" kata Haidir membuatkan mata Hardina terbeliak.
"Dia pun nak satu kumpulan dengan kita?" soal Hardina.
"Kenapa ni? Saya yang ajak, ada masalah ke?"
"Tak. .. Takde ..”
Rafiqan muncul sambil tersenyum. Nampaknya kehadirannya tidak disenangi oleh Hardina. Wajah Hardina kelihatan murung.

"KAU senyap je dengan aku hari ni," kata Jared sewaktu mereka terserempak di cafeteria.
"Takde lah, aku biasa je..." balas Rafiqan semula. Jared mengambil tempat duduk yang kosong di sebelah Rafiqan.
"Pasal semalam ke?" soal Jared semula. Rafiqan mengalihkan pandangan ke luar cafeteria. Kalau diikutkan, makhluk mana yang boleh tahan dengan sikap Jared semalam
“Kau kan tahu tak boleh minum dalam kawasan kolej,”
 “Aku minum kat luar..."
"Tapi kau balik dalam keadaan mabuk, lain kali jangan balik lah!"
"Okey, sorry, aku janji perkara ini tak akan berulang lagi,”
Rafiqan mendengus mendengar kata-kata Jared. Panas terasa ditelinga apabila mendengar entah kali ke berapa Jared melafazkan perkataan 'janji', namun tidak pernah tepati.
"Kau tahu ni kali ke berapa kau janji dengan aku?” soal Rafiqan pula. Jared menggelengkan kepala. "Dah 4 kali tau tak! Sepatutnya kalau dah 3 kali tu, kau aku kena ajar, tapi sebab aku ni baik….”
"Ye lah, yelah, kau memang baik. Beri aku peluang, please..."
"Ye lah!"

HARDINA menyapu solekan terakhir di wajahnya. Hari itu dia berjanji untuk mengadakan discussion dengan kumpulan pembentangan di PTAR. Sesekali dia membelek jam, melihat kalau-kalau kereta Haidir sudah tiba di perkarangan kolej.
“Kau nak kemana Dina?” soal Dalila kepada rakan sebiliknya itu. Hairan, pagi-pagi Sabtu dah nak keluar.
 "Aku nak ke PTAR lah," jawab Hardina.
"PTAR tu apa?" soal Dalila semula.
"Kau ni betul-betul la budak baru, PTAR tu Perpustakaan Tun Abdul Razak! Mesti kau tak pernah pergi kan?"
"Ada apa?"
'"Discussion.."
"Oh..."
"Okeylah, kereta Haidir dah sampai tu, aku pergi dulu la..."
"Okey”
Kedatangan Haidir disambut dengan sekuntum senyuman mesra dari Hardina. Lelaki itu turut tersenyum.
"Kenapa lambat?” soal Hardina.
"Maaflah, semalam tidur lewat sikit, "
"Awak ke mana?”
"Ala, bersembang dengan Rafiqan je. Saya pergi ke kolej dia.."
Ha? Rafiqan lagi. Serta-merta wajah Hardina berubah. “Rafiqan lagi?”
"Kenapa ni?" soal Haidir melihatkan perubahan Hardina.
"Takde apa-apa .."
“Takkan saya keluar dengan Rafiqan pun tak boleh?”
“Takde apa-apa lah. Jom!" balas Hardina menyembunyikan ketidaksenangannya. Kereta Haidir meluncur laju menuju ke arah bangunan PTAR yang terletak di Kompleks Kejuruteraan. Rafiqan dah Azah sudah lama menanti kehadiran mereka di sana.
Selepas mereka selesai mencari bahan rujukan di PTAR, mereka beralih lokasi ke bilik kuliah untuk mengadakan perbincangan memandangkan bilik kuliah lebih menjamin keselesaan.
Sepanjang perbincangan, Rafiqan dan Hardina kurang bercakap. Semua perkara diserahkan bulat-bulat kepada Haidir. Lagipun Rafiqan sendiri lebih selesa bertindak sebagai orang bawahan.
Berlainan pula dengan Haidir dan Azah. Mereka nampaknya lebih banyak mengeluarkan idea. Tanpa disangka-sangka dalam diam-diam, Azah memang seorang peramah. Mereka banyak ketawa melihat karenah Azah.
“Eh, korang rasa kering tekak tak? Aku nak pergi beli air ni..." kata Rafiqan tiba-tiba. Haidir dan Hardina berpandangan.
"Boleh juga," jawab mereka serentak.
“Biar aku temankan kau,”kata Azah pula.
Rafiqan hanya menganggukkan kepala. Sebenarnya dia mahu keluar dari situasi janggal antara dia dan Hardina. Mereka berlalu.
“Rafiqan, boleh aku cakap sikit?" soal Azah tiba-tiba sewaktu mereka beriringan menuju ke arah cafeteria. Rafiqan berpaling ke arah Azah yang baru dikenalinya itu melalui Hardina.
“Apa dia?”
"Kenapa aku tengok kau diam je, ada masalah ke?"
"Kenapa cakap macam tu?"
"Takdelah, kita kan kawan, aku tengok kau macam tak participate pun dalam perbincangan kita hari ni, kau diam je, kenapa?" soal Azah lagi. Rafiqan hanya tersenyum hambar.
“Azah, kau baru kenal aku hari ini. Macam mana kau boleh tahu aku ada masalah?" soal Rafiqan semula. Azah hanya tersenyum.
"Kalau kau nak tahu, aku ni pakar dalam psikologi. Aku seolah-olah dapat baca sesuatu dari wajah kau..."
"Kalau wajah aku dah memang macam ni, apa kau kata?"
"Ya ke? Tak percayalah aku..."
“Terpulanglah pada kau nak percaya atau tidak,”
Rafiqan beransur ke arah peti sejuk. Dia mengambil beberapa tin minuman lalu menuju ke arah kaunter pembayaran. Azah masih lagi tercegat di tempat dia berdiri tadi. Seketika kemudian dia kembali mendapatkan Azah.
"Jom!'' Rafiqan berjalan mendahului. Azah hanya mengikutnya dari belakang.
"Ceritalah kat aku..." Azah terus merayu.
"Cerita apa lagi?" Rafiqan bersuara.
“Masalah kau la..."
"Takde apa-apa la..."
"Atau kau ada masalah dengan Dina?" kata-kata Azah membuatkan langkah Rafiqan terhenti. Kemudian dia berpaling.
"Apa kau merepek ni, apa kaitan dengan Dina pula?"
Azah tersenyum, perangkapnya sudah mengena.
"Habis, kenapa aku tengok kau dengan dia macam ada masalah je..."
"Jangan merepek la, aku takde masalah dengan Dina lah, problem aku sekarang dengan rakan sebilik aku tu la..."
"Kenapa"
"Tak payahlah cerita!" Rafiqan berlalu. Azah hanya mengetapkan bibir. Perasaan untuk mendekati lelaki itu semakin membuak-buak.
Rafiqan termenung sendirian. Entah kenapa persoalan itu yang diutarakan oleh Azah. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sesiapa pun yang tahu dia dan Hardina pernah mengenali antara satu sama lain. Macam mana pula Azah tiba-tiba boleh terlintas memikirkan hal itu.
Tapi dia tidak berbohong pun. Memang dia bermasalah sedikit dengan Jared. Semuanya gara-gara Haidir. Dia tidak menyangka Haidir akan mengajaknya untuk menjadi satu kumpulan, sedangkan pada masa yang sama, Jared turut meminta supaya mereka berdua di dalam kumpulan yang sama. Tidak disangkanya pula yang kumpulan Haidir sendiri sudah cukup ahli.
"Pi, aku sekumpulan dengan kau boleh tak untuk pembentangan nanti?" suara Jared sewaktu mereka sama-sama tiba di bilik. Rafiqan hanya tunduk ke lantai.
"Jared, maafkan aku..."
"Kenapa?”
"Aku dah ada kumpulan..."
"Apa? Habis tu aku macam mana? Aku tak kenal lagi mana-mana pelajar di sini Kau sepatutnya utamakan aku...!"
"Tapi, Haidir ajak aku dulu.."
"Jadi, aku join korang la..."
"Tak boleh juga sebab ahli dah cukup.”
“Apa? Ahli dah cukup?" timbul perasaan kesal di sanubari Rafiqan apabila dilihatnya impak begitu besar terhadap Jared, kesan daripada hanya kerana mereka tidak sekumpulan. Memang sewaktu Haidir bertanyakan padanya, dia teringatkan Jared, tapi sebaik sahaja Haidir memberitahu yang Hardina turut satu kumpulan, terus dia membatalkan hasrat untuk menolak tawaran dari Haidir.
"Maaflah Jared, kau boleh cari kumpulan lain,"
"Ah, kau memang pentingkan diri sendiri..." balas Jared lalu melangkah keluar. Rafiqan terkesima seketika. Buruk juga perangai merajuk mamat ni.
Tiba-tiba lamunannya termati sebaik sahaja tiba semula ke tempat perbincangan sebentar tadi. Haidir dan Hardina berhenti seketika untuk membasahkan tekak.

"HAI Dina..." wajah Azah tersembul di muka pintu bilik yang sedari tadi terbuka.
“Oh Azah, masuklah..." kata Hardina sebaik sahaja melihat Azah tercegat di ambang pintu.
"Kemasnya bilik!" kata Azah lagi. Hardina hanya tersenyum. Dia tahu inilah kali pertama Azah berkunjung ke biliknya. Lagipun dalam perjalanan pulang dari perbincangan tadi, dia sendiri yang mempelawa Azah mengunjungi biliknya.
"Ada perkara penting ke datang ni? Pasal diskusi tadi tak selesai lagi ke?" soal Hardina semula sambil dia meneruskan kerja-kerja melipat baju.
Azah menggelengkan kepala. Dia mengalihkan perhatian pada sekeping gambar di dalam bingkai yang terletak di atas meja Hardina.
"Takde apa pun, saja-saja je datang melawat kau. Ni Haidir kan?" soal Azah semula. Hardina hanya mengangguk. "Dah lama kenal?" tambah Azah semula.
"Sejak tingkatan 4..." balas Hardina perlahan. Dia memang tidak segan untuk menunjukkan siapa Haidir di sisinya.
"Agak lama juga la..."
"Mungkin la..."
"Rafiqan macam mana?” soal Azah tiba-tiba membuat Hardina tersentak. Pantas dia berpaling ke arah Azah.
“Apa maksud kau?" soal Hardina semula.
"Kau dan dengan Rafiqan, pemah kenal ke sebelum ni?"
"Kenapa tanya macam tu?"
"Aku nampak ..."
"Nampak apa?"
"Kenapa kau dan Pi tak banyak berbual masa discussion tadi?”
"Tu yang pelik, macam mana kau boleh cakap kami pernah kenal sedangkan aku dan dia tak banyak bercakap.. "
"Dari mata,” jawab Azah pendek, namun cukup membuatkan Hardina tersentak kali kedua.
 "Mata?" soal Hardina semula
"Ya, dari mata Pi dan kau, mata tak pemah menipu .." sekali lagi Hardina terdiam. Dia terasa seolah-olah pernah mendengar ungkapan itu.
"Entahlah, dia tu kawan Haidir, sebab tu aku kurang bercakap dengan dia..."
“Okey, agak menyakinkan jawapan dari mulut kau tu.."  
"Apa maksud kau?"
Azah membetulkan duduknya di sebelah Hardina. Kemudian dia menyambung semula.
"Dia pun cakap macam tu juga.." tambah Azah.
"Dia?"
"A'ah. Pi sendiri yang cakap dia takde masalah pun dengan kau .."
"Chup! Sekejap, aku tak faham apa yang kau cakapkan ni. Apa yang Pi cakap dengan kau?"
"Aku tanya kenapa diam je masa kita discuss tadi. Ingat dia ada masalah dengan kau, tapi dia cakap takde pun..."
Hardina menarik nafas panjang. Terasa lega.
"Ha, tau pun. Kau datang sini sebab nak tanya pasal tu saja ke?”
"Takdelah, tu yang terlintas di fikiran aku. Tapi kan, cara korang tersentak tu macam sama je..."
“Apa maksud kau?”
“Kau la, bila aku tanya pasal Rafiqan, terus buat muka. Sama jugak dengan mamat tu, buat muka bila aku tanya pasal kau,”
“Bukan buat muka, pelik la dengan soalan-soalan yang bukan-bukan ni…”
“Yelah tu….”

NAK telefon, tak nak. Nak telefon ke tak nak? Rafiqan berkali-kali menekan nombor yang baru sahaja didapatinya dari Haidir sebentar tadi. Perasaannya berbelah bagi Perlukah dia muncul semula dalam hidup mereka.
Kalau aku tak telefon, sampai bila-bila keadaan ini tak akan berakhir. Aku perlukan kepastian. Akhirnya dia membuat keputusan yang agak sukar.
Hardina bergegas mengangkat telefon bimbitnya yang sedari tadi berdering. Sewaktu itu hanya dia sendirian bertemankan radio mentelaah pelajaran. Dalila entah ke mana malam-malam sebegini. Mungkin ke bilik tayangan barangkali.
"Assalamualaikum..." Hardina memberi salam.
"Wa'alaikum salam, Hardina ada?" sapa satu suara di corong telefon.
"Dina bercakap..."
"Dina, Pi ni..." kata suara itu. Hardina tergamam apabila mengetahui identiti pemanggil. Dia terdiam seketika.
“Dina, Dina..." suara itu terus bergema di telinganya.
"Ya. Dina masih bercakap. Mana awak tahu nombor saya ni?" soal Hardina pula. Dapat dirasakan suara itu sudah jauh berbeza kalau hendak dibandingkan 4 tahun dahulu.
"Haidir yang beri. Katanya kalau-kalau ada perkara yang perlu dibincangkan dengan awak, boleh saya hubungi awak..."
"Pi, awak nak apa?”
"Saya tak nak apa-apa, cukuplah memori saya dengan awak selama ini, tetapi kenapa awak menafikan yang kita pernah kenal antara satu sama lain?"
"Maksud awak?"
"Tak bolehkah kita berkawan macam dulu?"
"Pi, Dina sekarang ini bukan macam Dina yang dulu lagi. Dina dah banyak berubah. Dina tidak sebaik seperti yang awak sangka lagi” balas Hardina semula. Dia masih merasa segan apabila Rafiqan menemuinya dalam keadaan yang agak memalukan bagi dirinya.
"Kenapa Dina cakap macam tu? Dina tetap Dina,”
“Tapi, pasal saya dengan Haidir...."
"Pasal awak berpegang tangan dengan Haidir tiap-tiap hari, macam tu? Itu yang awak malukan? Saya tak kata apa-apa pun,”
"Pi, cerita kita sudah tamat, jangan ganggu saya lagi..."
"Kejap kejap, cerita apa pula ni? Hardina, kita tidak pernah bermula pun, bagaimana mahu ditamatkan? Cerita kita masih sebagai dua orang sahabat kan?"
Hardina hanya terdiam mendengar kata-kata dari mulut Rafiqan.
"Dina, tolonglah, kalau dulu saya pernah ikut kehendak awak, kali ini saya yang ingin meminta sesuatu daripada awak..." tambah Rafiqan lagi.
 "Apa dia?”
“Persahabatan daripada awak…”
"Saya bukan seorang sahabat yang baik lagi!"
"Tapi saya tetap menganggap awak adalah Hardina yang pernah hadir dalam kehidupan saya dan mengubah takdir hidup saya. Tentu awak lupa yang saya pernah ‘mati’ dahulu,” Hardina terdiam lagi "Dina, please."
"Baiklah ..." Hardina akhirnya bersuara. Rafiqan menarik nafas lega.
“Terima kasih Dina,"
"Takpe, itu sahaja kan?"
"Ya. okey, jumpa lagi, bye…”
"Bye..." Hardina mematikan panggilan. Dia termenung seketika mengimbas semula kenangan lampau. Satu persatu kenangan datang menjengah bagaikan dimainkan semula pada layar pemikirannya.
"UNTUK awak!" kata Rafiqan menghulurkan sesuatu. Hardina yang masih belum sempat memulakan langkah tergamam.
"Apa ni?" Hardina membelek-belek bungkusan yang sebesar kotak kasut itu berulang kali.
“Sesuatu..." balas Rafiqan semula masih tersengih. Kebanyakan pelajar sekolah sudah pulang ke rumah masing-masing. Hanya tinggal dia dan Hardina sahaja.
“Oh ya, Pi, awak tak balik lagi?'' soal Hardina semula. Baru dia sedar yang Rafiqan masih setia menantinya di luar bilik mesyuarat. Perjumpaan semua pengawas sekolah selama sejam tadi. Tidak disangkanya Rafiqan masih setia menunggu.
"Tak, Pi tunggu Dina..."
"La, buat apa tunggu? Kan Dina dah cakap yang Dina ada mesyuarat hari ini," balas Hardina semula. Dia hampir lupa akan bungkusan yang masih berada dalam tangannya itu.
"Dina marah ke? Pi memang nak balik sekali dengan Dina…”
Hardina tersenyum Ah, biarlah...
"Pi, apa ni?" soal Hardina semula apabila pandangannya teralih semula pada bungkusan di tangan.
"Kan Pi dah cakap tadi,”
"Apa?"
“Sesuatu..."
"Sesuatu tu apa? Untuk apa?"
"Dina lupa ke hari ini hari ulang tahun Dina yang ke-15?" soal Rafiqan semula. Hampir targamam Hardina dibuatnya.
"Mana Pi tahu ni?" Hardina agak terperanjat dengan kata-kata Rafiqan. Dia sendiri hampir lupa akan hari terpenting dalam hidupnya hanya kerana asyik teringat mesyuarat pengawas sebentar tadi. Hardina kemudian beristighfar panjang. Kemudian dia ketawa sendirian
"Kenapa gelak pula ni?" Rafiqan kebingungan.
"Entahlah, Dina sendiri tidak ingat. macam mana pula Pi boleh ingat ni?"
"Makcik Azimah la. .."
“Oh ya ke?”
"Jangan buka dulu!" kata Rafiqan apabila terlihatkan tangan Hardina cuba membuka bungkusan itu.
"La, habis tu?"
"Buka la kat rumah..."
Hardina kembali ke alam nyata. Botol kaca yang berisi pasir pantai dengan pasir yang berwarna-warni membentuk perkataan 'Hardina' ditatapnya beberapa kali. Itulah hadiah yang paling bererti buatnya, sehingga ke mana sahaja dia pergi pasti tidak dilupakan membawanya sekali.
“Rafiqan.....” Hardina mengeluh sendirian. Dia tahu Rafiqan cuba memenangi hatinya sejak 4 tahun yang lalu. Tapi entah kenapa hatinya sendiri tidak sudi untuk ke sana. Berbeza dengan Haidir, lelaki yang dikenali sejak tingkatan 4 di sekolah menengah teknik. Haidir seorang yang periang dan mudah membuatkan Hardina ketawa. Entah kenapa senang sahaja dia menyambut salam perkenalan dari Haidir, bahkan semakin lama dia semakin seronok dalam alam percintaan remaja.
Rafiqan macam mana? Takkan lah dia tiada sesiapa yang singgah di hatinya. Setahunya, Rafiqan meneruskan pengajian di sekolah asrama penuh di Pahang. Terus tidak pernah dia cuba menghubungi Rafiqan lagi. Alih-alih mereka ditakdirkan bertemu semula di tanah bumi negeri Selangor ini.

RAFIQAN tersenyum puas sebaik sahaja dia memutuskan perbualan dengan Hardina sebentar tadi. Memang betullah kata orang, tanpa usaha tiada kejayaan. Usahanya berhasil apabila Hardina kembali sebagai kawan yang pernah ditinggalkan.
Dia merenung jam di meja. Sudah hampir ke angka 10 malam. Jared hilang entah ke mana. Sejak kejadian hari itu, hubungan mereka agak renggang. Entah kenapa sikap Jared begitu sensitif sejak akhir-akhir ini.
Rafiqan kembali ke arah meja tulisnya. Dia menyiapkan beberapa tugasan yang telah diberi oleh pensyarah siang tadi. Entah kenapa matanya begitu mengantuk bagaikan meminta-minta supaya ditidurkan.
Tiba-tiba pintu dikuak perlahan. Rafiqan berpaling, Jared melangkah masuk tanpa bersuara.
Bau yang kurang menyenangkan menusuk hidung. Jared minum lagi? Entah macam mana mamat ni boleh lepas dari pengawal tak tahu la. Dia dapat melihat mata Jared yang agak kelayuan.
"Jared! Kau kan dah janji takkan minum! Kenapa kau minum lagi?" Rafiqan mendengus keras. Jared hanya tersengih, kemudian dia terjelopok ke lantai.
Rafiqan mengeluh sendirian. Mabuk lagi?


**bersambung….