Tuesday, September 5, 2017

Redup Yang Panjang 2 (Episod 1)

Nota kepala : Cite yang ni bukan sequel untuk Redup Yang Panjang..

Takdir Bukan Hukuman

Hari itu langit cerah. Bahang panas mentari menyemarakkan lagi peluh yang mengalir laju membasahi tubuhnya. Matanya liar memandang ke arah ombak yang tidak pernah jemu memukul pantai. Sesekali angin panas bertiup ke arah beranda rumahnya yang sememangnya hanya beberapa puluh meter sahaja dari pantai. Dia masih merenung ke arah jalan besar kalau-kalau ada posmen yang datang membawa secebis berita gembira padanya.
Dia melihat jam di tangan. Hampir masuk waktu Zohor. Baru sahaja dia melangkah kaki menaiki rumahnya, deruan enjin motosikal menarik perhatiannya untuk berhenti seketika. Matanya bersinar melihat posmen yang selama ini ditunggunya akhirnya muncul di tengah halaman rumahnya.
Surat bertukar tangan. Hatinya berbunga riang apabila terpampang nama Universiti Teknologi MARA di penjuru surat tersebut. Tanpa berlengah lagi dia terus membuka surat tersebut.
"Alhamdulillah.." ucapnya syukur apabila pernantiannya selama ini berbaloi. "Dapat juga akhirnya," bisiknya sendirian.
"Yadiy...” sayup terdengar suara ayahnya dari belakang. Dia tidak menyahut namun terus berlari ke arah ayahnya.
"Camne? Dapat?” soal ayahnya
"Dapat.." balasnya semula sambil mengangguk laju. Masih tersengih dan tersenyum riang. Sang ayah hanya mengangguk bersahaja. Entahlah, sukar dia meramalkan apa yang bermain di fikiran sang anaknya sekarang. Baru sebulan sang anak kehilangan kawan baiknya dan hampir setiap hari dia merasakan seolah-olah anaknya itu turut hilang. Seolah-olah hilang semangatnya apabila kawan baik yang selama ini berjuang di sisi dijemput Ilahi.
Dia melipat semula surat tersebut lalu melangkah lemah menuju ke biliknya. Sungguh tidak disangka, berjaya juga dia menyambung semula pengajiannya dalam bidang ijazah pula. Tambah lagi tiga tahun, getusnya. Kalau dahulu dia hanya layak untuk mengambil diploma, dan kini dia akan menggenggam ijazah pula.
Fikirannya menerawang jauh memikirkan satu nama yang seringkali bermain di fikirannya sejak akhir-akhir ini. Nama yang selama ini berjuang bersama-sama dengannya saat-saat dia di tahun terakhir diploma.

"Macam mana?"
"Macam mana apanya?" soal Yadiy semula. Dia mendongak sedikit menantikan jawapan dari mulut Shahrul.
"Pilihan universiti yang aku pilih ni la, macam mana? Okey ke tak okey?" tambah Shahrul semula.
Dia meneliti semula. USM, UUM, UKM, UiTM dan UTM. Semuanya nama-nama universiti yang bukan calang-calang.
"Oh, pasal tu ke? Okey je, aku tak kisah pun. Yang penting kita kena cuba mohon dulu," balas Yadiy semula.
Shahrul tunduk sambil tangannya berterusan mengisi borang UPU untuk permohonan memasuki universiti. Semua universiti yang menjadi pilihannya juga menjadi universiti pilihan pada Yadiy.
"Yadiy…" Shahrul bersuara.
Yadiy mengalihkan pandangannya pada wajah Shahrul. Shahrul masih lagi terdiam.
"Apa?" soal Yadiy semula. Dia kembali menatap borang yang berada di depannya itu.
"Apasal kau ikut je universiti pilihan aku?" soal Shahrul kemudiannya.
“Kenapa? Tak boleh ke?"
"Bukan macam tu maksud aku. Aku cuma terfikir kalau-kalau kau ada universiti sendiri ke yang menjadi pilihan utama kau?"
Yadiy menggelengkan kepala. Shahrul pula menganggukkan kepala.
"Aku tak pandai dalam memilih. Sebab itu aku serahkan semua pada kau untuk buat keputusan," tambah Yadiy lagi.
"Tapi ini untuk masa depan kau."
"Masa depan boleh dibina dan dirancang. Bukan melalui keutamaan semata-mata…” tercengang Shahrul dengan kata-kata Yadiy.
"Tapi……”
"Takde tapi-tapi lagi. Yang penting aku ada member seperti kau sudah cukup untuk aku…"
"Apa-apa sahaja lah!"


"Alamak, macam mana ni?" Yadiy mengeluh sendirian melihat keadaan motornya yang pancit. Shahrul menghampirinya.
"Yadiy, kau jangan risau. Aku kan ada. Aku boleh buat semua ni," balas Shahrul. Tanpa membuang masa dengan segala kepakaran yanga ada padanya, Shahrul menanggalkan satu persatu tayar motosikal Yadiy. Yadiy hanya memerhatikan sahaja. Ada kalanya dia cuba untuk membantu, tapi dia sendiri tidak tahu selok belok motosikal. Dalam hatinya, mujurlah si Shahrul ni ada.
Entah bagaimana hendak dijadikan cerita hari itu sungguh malang bagi dirinya. Sebaik sahaja kelas diumumkan berakhir, Yadiy terus melangkah laju menuju ke tempat letak motosikal. Hampa apabila motor yang baru hendak dihidupkan, pancit pula. Kebetulan Shahrul juga meletakkan motosikalnya berhampiran dengan motornya. Bila Shahrul menghampirinya lalu dibuka segala skru tayar yang ada.
Yadiy mengesat peluh yang mengalir di dahinya. Apatah lagi pada tubuh Shahrul yang bertungkus lumus membetulkan tayar motor tersebut.
Sebaik tayar tersebut dicabut, Shahrul membawanva ke bengkel untuk menukar tiub. Hampir setengah jam barulah Yadiy dapat menarik nafas kelegaan apabila Shahrul kembali dengan tayar yang bertiub baru. Kalaulah Shahrul tiada, tidak tahu bagaimana dia mampu menghadapi semua ini keseorangan.
“Kau pandai bawak je ke?” kata Shahrul nada bergurau. Kalau bukan kerana Shahrul yang membantu, sah-sah Yadiy dah lama membalas kata-kata itu.

Deringan telefon bimbitnya mengejutkannya dari terjaga. Yadiy mencapai lalu menjawabnya.
"Hello..."
"Woi! Kau buat apa lagi?? Ujian nak mula 5 minit lagi!" sayup terdengar suara Shahrul dari corong telefon.
Mata Yadiy terbeliak. Barulah dia sedar yang dia sudah terlajak tidur. Jam menunjukkan ke angka 10 pagi. Bermakna ujian bermula bila-bila masa sahaja lagi.
Bergegas Yadiy bersiap dengan seberapa pantas yang boleh. Dia tidak menduga perkara sebegini boleh terjadi. Kalau tiada Shahrul, tidak tahu apa yang akan berlaku. Mendapat markah kosong lah jawabnya.
Sesampainya di dewan ujian, dia mendapati Shahrul sudah menyediakan tempat di sebelahnya. Mujurlah ujian masih belum bermula, menantikan kesemua pelajar datang. Maklumlah, hari itu hari Sabtu.
 "Shahrul, mujur kau ada…" kata Yadiy separuh berbisik.
"Kenapa ni? Kau tidur pukul berapa semalam?" soal Shahrul semula. "Letih la semalam, aku berjaga malam…" balas Yadiy.
"Kau study untuk ujian hari ini ke?"
"Tak tahulah, aku rasa semalam banyak borak dari membaca. Eh, nanti kalau aku tak dapat buat, kau tolong ek?" kata Yadiy semula.
"Kau pun tolonglah aku sekali…” perbualan mereka terhenti apabila pensyarah mengumumkan ujian bermula.
Sepanjang ujian berlangsung, tak henti-henti Yadiy berterima kasih pada Shahrul. Baginya Shahrul telah banyak berjasa. Tak tahulah macam mana kalau dia terus terlajak dengan tidurnya tadi.

“Hang beli, aku pun beli….” putus kata Shahrul.
“Apasal pulak?” balas Yadiy.
“Kalau kita beli dua dapat diskaun harga…”
“Hang nak ke?”
“Nak laaa”
“Tadi kata hang ikut aku…”
“Yelah, hang beli aku beli laaa...”
“Tak faham aku dengan hang….”
“Ala aku tau hang nak beli, kan?’ kata Shahrul lagi sambil memandang sinis.
Sekali lagi Yadiy terdiam. Dari jauh mereka datang semata-mata untuk merembat Playstation 2. Takkan dia nak balik tangan kosong?
“Hang memang arrr….” balas Yadiy.
“Hahahah, aku tau minat kita sama. Hang sambar satu, aku pun sambar satu. Jadi, kita setara la sekarang. Aku ada PS2 hang pun ada PS2, tak payah hang nak dengki ngan aku….”
Yadiy tergelak lagi. Akhirnya dua bijik PS2 berjaya disambar pada hari itu. Kebetulan kedua-duanya memang kaki video games atau gamers sejati. Banyak persamaan antara dia dan Shahrul.

Shahrul Azuar, nama itu bermain lagi di fikiran Yadiy. Sudah lebih tiga minggu arwah meninggal. Mungkin Allah lebih menyayanginya, lantas dijemputnya pergi dahulu. Yadiy masih lagi terkenangkan saat-saat yang boleh dikatakan paling manis pernah dia alami, bersama-sama seorang sahabat yang banyak membantunya dalam menghadapi hari-hari mendatang.
Perkenalan dengan Shahrul bukanlah perkara yang dirancang. Semuanva berlaku begitu pantas. Daripada pertelingkahan kecil membawa mereka mengenali antara satu sama lain. Sehinggalahmaut yang memisahkan mereka. Shahrul Azuar, seorang yang bersifat sederhana dan tidak sombong dengan kelebihan yang dimilikinya. Boleh dikatakan Shahrul merupakan salah seorang pelajar yang terkenal dengan kebijaksanaannya. Berasal dari sebelah utara, memiliki kepetahan dalam debat. Pernah sekali Yadiy bertegang leher dengannya, namun nyata Shahrul lebih handal dalam membidas kata-kata Yadiy. Namun perkara tersebut tidak pernah menjarakkan persahabatan mereka.
Seminggu selepas keputusan akhir dikeluarkan, dia mendapat pengkhabaran yang Shahrul ditimpa kemalangan jalan raya. Motosikal yang ditungganginya bertembung dengan penghadang jalan akibat jalan licin ketika itu. Puas dicubanya untuk terima hakikat ini tapi masih sukar dilupakan wajah Shahrul.
Surat tawaran universiti masih direnungnya. Fikirannya tertanya-tanya bagaimana kalau Shahrul masih hidup. Mungkin dia tidak sesunyi ini. Airmata jernih mengalir perlahan-lahan menuruni pipinya. Ah, aku tidak boleh menangis. Hidup mesti diteruskan, biarpun sentiasa diselangi dengan dugaan dan rintangan. Yadiy sedar apa yang dilaluinya bukanlah semudah yang disangka. Bukan mudah untuk mencari seseorang seperti Shahrul. Bukan senang untuk berjumpa seseorang seperti Shahrul. Namun takdir mengatakan dia akan meneruskan pengajiannya tanpa Shahrul
Pejam celik hari pendaftaran akhirnya tiba. Tidak seperti semasa dia mula-mula menjejakkan kaki ke IPT ini dahulu, kali ini dia lebih santai bersama-sama rakan-rakan yang lain. Yelah, dia kan sambung ijazah di uneversiti yang sama semasa diploma dahulu. Cuma yang membezakan sekarang adalah dia kini siswazah yang akan mengambil ijazah. Degree bak kata orang putih.
Cuaca hari itu mendung. Yadiy bersama-sama rakan-rakan serumahnya, Hakim dan Sazali berjalan pantas menuju ke dewan untuk sesi pendaftaran. Sazali hairan juga dengan perubahan mendadak ke atas Yadiy yang menjadi pendiam tiba-tiba. Dia memang kenal dengan arwah Shahrul yang dikenali melalui Yadiy. Pemergiannya itu juga agak mengejutkannya. Mungkin dia tidak menyangka yang arwah akan pergi dalam usia yang masih muda ini, menjadikannya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan hari ini.
"Yadiy, aku tengok kau tak macam dulu. Takkan kau nak berterusan macam ni?" kata Sazali tiba-tiba. Dia amat mengerti perasaan menghadapi kehilangan orang yang paling hampir dan rapat.
"Berterusan yang macam mana?" soal Yadiy semula. Hakim yang hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak berminat untuk masuk campur dalam perbualan mereka.
"Berterusan dengan keadaan seperti ini. Mendung seperti yang kita alami sekarang. Kau kena terima kenyataan," balas Sazali.
"Kenyataan yang macam mana ni Sazali? Dulu aku rasa aku macam ni juga," kata Yadiy semula.
"Kau bukan macam dulu lagi sekarang ni, aku macam dah tak kenal dengan kau. Dulu kau seorang yang periang, ceria," balas Sazali. Hakim hanya mengangguk.
"Sazali, hakikat dan kenyataan memang tidak dapat diubah. Tetapi kau harus faham, hari ini kan hari pertama kita di sini. Suasana agak berbeza tanpa arwah...”
Sazali terdiam. Mungkin benar kata-kata Yadiy itu. Kalau dulu, di mana ada Shahrul, di situlah ada Yadiy. Begitu jugalah sebaliknya. Sazali hanya mendiamkan diri. Mereka kemudiannya terus menuju ke arah kawasan pendaftaran pelajar-pelajar baru.
Selesai mendaftar Yadiy mengajak Sazali dan Hakim makan. Mereka menuju ke arah cafeteria yang terletak tidak jauh dari tempat mereka mendaftar.
"Yadiy!" terdengar sayup suara memanggil namanya. Kelihatan beberapa orang kawan sekelasnya dahulu melambai-lambaikan tangan. "Nak makan ke?" soal Daud. Yadiy hanya mengangguk.
"Jomlah join kitorang," kata Hashim pula. Yadiy duduk diikuti dengan Hakim dan Sazali.
"Aku ada dengar cerita pasal Shahrul, mungkin sudah takdir," kata Khairul, merupakan salah seorang dari kawan sekelas mereka dahulu. Yadiy hanya terdiam. Osman, Daud, Hashim, kebanyakannya adalah sekelas dengan Yadiy dan arwah. Dan kebanyakannya tahu keakraban dia dengan arwah.
"Kau jangan sedih sangat,” Daud memberi semangat. Yadiy hanya tersenyum. Dia tidak banyak bercakap. Dia tahu semua kawan-kawan yang datang menegurnya hari ini adalah kerana mereka tahu dia dan arwah rapat. Dan mereka cuba untuk menyalurkan perasaan simpati mereka dengan cara menegurnya.
"Yadiy, kau kenal dia pun takdelah macam aku kenal dia. Aku lagilah terasa, macam aku dengan Is ni kenal sejak sekolah dengan arwah," tiba-tiba Hariz yang turut bersama mereka mencelah. Is hanya mendiamkan diri. Sebenarnya Yadiy tidak kenal sangat dengan Hariz dan Is. Dia kenal pun atas dasar member serumah kepada arwah Shahrul.
"Ala, jangan risaulah, aku ok je.." akhirnva Yadiy bersuara jua. Hakim dan Sazali sedari tadi hanya mendiamkan diri sahaja. Sebaik sahaja mereka menghabiskan sisa-sisa makanan, mereka meminta diri untuk pulang ke rumah. Lagipun pendaftaran dah selesai, maka esok bermulalah kehidupan mereka sebagai penuntut degree pula.

Hari itu merupakan hari pertama Yadiy menjejakkan kaki ke kelas. Dia merasa agak janggal dengan keadaan kelas yang rata-ratanya belum dikenali lagi sebelum ini. Yadiy menarik nafas kelegaan apabila Is muncul. Sekurang-kurangnya sudah ada orang yang dia kenal sebelum ini.
"Hey Yadiy, kelas ni ker?” tegur Is.
“A'ah, kau pun?" soal Yadiy semula. Is hanya mengangguk. Yadiy mendiamkan diri. Dia dan Is tidak banyak barcakap. Mungkin sebab ini kali pertama mereka dipertemukan dalam satu kelas.
"Yadiy, aku turut bersimpati atas pemergian Shahrul," kata Is tiba-tiba. Yadiy tersentak apabila nama Shahrul disebut. Dia memalingkan muka ke arah Is. Kemudian dia tunduk semula.
"Maaf, kalau aku buat kau teringat," tambah Is.
"Takde la. Yang pergi tetap pergi kan?" balas Yadiy semula. Is hanya terdiam. Yadiy memerhatikan gerak geri Is, boleh dikatakan agak bergaya, anak seorang yang berada dan mungkin memiliki taraf hidup yang mewah.
Kelas hari itu berjalan seperti biasa. Yadiy masih lagi dengan sikap barunya – pendiam. Sebaik sahaja kelas diumumkan berakhir, dia terus melangkah laju untuk pulang. Tiba-tiba dirasakan namanya dipanggil.
 "Yadiy!"
Yadiy berpaling. Is rupanya.
"Apahal?" soal Yadiy.
"Pembahagian kumpulan pembentangan tadi tu, aku satu kumpulan dengan kau boleh?" soalnya.
"Boleh, apa salahnya?" balas Yadiy.
"Okey, kau dah nak balik ke? Boleh aku hantarkan.." balas Is.
“Takpe, aku datang dengan motorsikal, lagipun aku nak pergi makan dengan Sazali nanti…” balas Yadiy.
“Okey, then…”  balas Is sambil berlalu. Yadiy hanya memerhatikannya dari jauh melihat Is menuju ke arah Honda CRV kepunyaannya itu. Mewah, getusnya sendirian.
Yadiy menyusuri lorong menuju ke arah cafeteria. Dia terpandang pada satu iklan yang tertampal di dinding. Iklan itu begitu menarik perhatiannya. Satu pertandingan menulis karya berkonsepkan bebas begitu menarik perhatiannya. Entah macam mana dia rasa macam hendak menyertai pertandingan itu.
"Apa? Kau nak menulis karya?" soal Sazali apabila Yadiy menyuarakan hasratnya. Yadiy hanya mengangguk.
“Mana kau nampak iklan tu?” soal Sazali semula. Yadiy tidak menjawab sebaliknya tangan di angkat lalu diunjukkan ke arah iklan itu tertampal.
"Apa bakat kau? Apa yang kau nak tulis?" soal Sazali lagi.
"Entah, aku belum fikirkannya lagi..."
Yadiy memikirkan sejenak apa yang patut dia hasilkan sebagai karya. Mungkin inilah satu-satunya cara untuk dia meluahkan segala perasaan yang terpendam di dalam hatinya. Mungkin inilah juga peluang untuk dia mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya.

“Mohd Istiqlal bin Syukri," kata Is apabila namanya ditanya suatu hari.
“Istiqlal?”
“A’ah, kenapa?” soal Istiqlal semula.
“Selama aku kenal kau, aku tau nama kau Is je, tak pernah pun aku tau nama penuh kau. Ni kali pertama aku tau nama sebenar kau…Istiqlal,” dia mengulangi semula nama Is.
“Dah kau tak pernah tanya…”
“Ya lah, orang duk panggil kau ‘Is’ je, aku pun panggil kau Is je lah,”
So,  sekarang tau la kan nama aku?”
“Ye, aku tau lah sekarang ‘Encik Istiqlal!” balas Yadiy.  “Bukan bin Dato' Syukri?" soal Yadiy semula.
"Ish, mengarut betullah kau ni, aku bukan anak dato' la," kata Istiqlal semula. Yadiy hanya tergelak.
"Manalah tahu, aku tengok gaya kau macam anak dato' je..”
"Mengarut! Yang kau tanya nama aku ni apasal?" soal Istiqlal semula. "Aku nak letak nama kau kat muka depan assignment kita," kata Yadiy.
"Amboi, dah siap ke?"
"Eh, mestilah. Kalau kerja dengan aku, mesti cepat siap punya,”
"Bertuah betul aku, dapat partner macam kau!"
"Oh, kau tak tahu ke? Selalunya aku buat semua ni dengan Shahrul," kata-kata Yadiy terhenti seketika. Wajah Istiqlal berubah apabila nama Shahrul disebut. Yadiy hanya membisu tanpa berkata apa-apa apabila. Istiqlal hanya terdiam.
Sejak berkawan dengan Istiqlal, Yadiy semakin ceria. Boleh dikatakan dia sudah kembali seperti dahulu.  Mereka juga agak rapat berbanding sebelum ini. Yadiy semakin mampu untuk menerima hakikat yang Shahrul sudah tiada lagi.

Sazali menghampiri Yadiy yang sedang tekun menaip sesuatu. Dia terjaga dari tidur dan terasa kering pula tekaknya. Apabila dia melewati ke dapur, terlihat Yadiy masih berjaga. Jam menunjukkan ke angka 2.30 pagi. Hampir seminggu Yadiy tidur lambat. Yadiy tidak mempunyai komputer riba sendiri. Dia terpaksa meminjam komputer riba kepunyaan Sazali untuk menyiapkan karya yang katanya untuk dihantar bertanding dalam pertandingan menulis karya.
“Banyak lagi ke yang tak siap?” Sazali cuba berbasa basi.
“Dah siap, Li. Cuma tinggal final touch…” balas Yadiy.
“Bila due date?”
“Esok…” pendek jawapan dari Yadiy.
“Tidur la Di, dah lewat ni. Esok ada kuliah lagi…”
“Sikit je lagi.. Tinggal aku nak print dah burn dalam cd je…”
“Kalau macam tu, aku masuk tidur dulu la ye….”
Sazali meninggalkan Yadiy keseorangan.

                       

"Banyak juga penyertaan kali ini kan?" kata Azura. Suhaima tidak menjawab. Dia cuma memandang sekilas ke arah meja yang menempatkan beratus penyertaan menulis karya.
"Su dah pilih ke karya terbaik?" soal Azura semula.
"Nantilah, Su bukannya juri. Su cuma penganjur je. Lagipun tarikh tutup lagi 2 hari. Manalah tahu, ada lagi penyertaan dalam 2 hari ni," balas Suhaima
"Ye lah!"
Suhaima terdiam. Tangannya menarik salah satu karya yang terletak di atas meja di situ. Entah kenapa hatinya tergerak untuk membaca karya tersebut walaupun sebelum ini dia menolak untuk membaca mana-mana karya. Katanya dia tidak mudah tersentuh. Malah karya-karya itu cumalah sebagai cara dia mempromosikan Kelab Seni.
'Tragis Berbaur Rindu', begitulah tajuk yang tertera pada karya tersebut. Dengan tidak sengaja dia menarik karya itu. Satu persatu ayat dalam karya tersebut ditelitinya. Suhaima begitu tertarik dengan gaya persembahan jalan cerita yang disampaikan. Tiba-tiba matanya berkaca. Begitu menyentuh perasaan ketika dia membacanya.
"Suhaima??" sergah Azura. Suhaima tergamam apabila disergah begitu. Dia berpaling tanpa sempat mengesat air matanya.
"Ya Allah, Su. Kenapa menangis ni?" soal Azura semula.
"Isk, Su bukan menangis lah!"
"Habis?" mata Azura terpandang pada karya di tangan Suhaima. "Ya Allah, Su menangis pasal apa ni?" tambah Azura lagi. Dia tergelak besar melihat gelagat Suhaima. Suhaima hanya tersengih.
"Hai, nampaknya kita dah ada pemenang untuk pertandingan karya kali ini. Dah, buruk benar Ira tengok rupa Su lepas menangis ni."
Suhaima tersenyum. Dia meletakkan semula karya itu di atas meja. Kemudian kembali kepada Azura.
"Ada apa?" soal Suhaima semula
"Jom kita balik. Lagipun Ira lapar ni. Kita pergi makan dulu nak?" tambah Azura. Suhaima hanya mengangguk.
"Makan kat cafe fakulti ajelah," Suhaima memberi cadangan.
"Jom!"
Azura mengikut dari belakang Suhaima. Di fikirannya masih lagi tertawa melihat gelagat Suhaima yang terlalu emosi sebentar tadi. Suhaima bukanlah seorang yang gemar dengan karya-karya ni. Entah kenapa karya yang dibacanya tadi terlalu mengganggu emosinya. Sebelum keluar dari bilik persatuan, dia masih sempat menjeling ke arah karya yang dibaca oleh Suhaima sebentar tadi. 'Tragis Berbaur Rindu’ getusnya sendirian.
Keadaan di cafeteria agak sibuk memandang waktu itu hampir masuk waktu Zohor. Kebanyakan waktu sebegini, ramai pensyarah dan pelajar tertumpu pada cafeteria untuk makan tengah hari. Azura memilih sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan oleh pelanggan lain. Suhaima hanya mengangguk. Dia menuju ke kaunter dahulu sementara Azura menantinya di meja.

Mata Istiqlal terpandang pada satu susuk tubuh yang selama ini selalu diperhatikannya. Kebetulan dia dan Yadiy turut menikmati hidangan tengah hari di cafeteria fakulti.
"Di, kau kenal tak perempuan tu?" soal Istiqlal. Yadiy mengangkat muka sambil matanya tidak lepas memandang ke arah Istiqlal.
"Kau ni kan. masa makan pun ada peluang nak tengok perempuan?” balas Yadiy.
"Ah, itu kata kau. Perempuan ni dah lama aku minat. Dari dulu lagi, tapi aku tak tahu macam mana nak ayat," kata Istiqlal semula.
"Ah. kau! Macam aku tak kenal kau, perempuan ni kau suka, perempuan tu pun kau minat. Mana ada perempuan yang kau benci?"
"Yadiy, please! Jangan kata yang bukan-bukan sebelum kau tengok sendiri perempuan yang aku maksudkan," balas Istiqlal agak keras. Geram dibuatnya bila Yadiy seolah-olah memerlinya.
"Okeylah, mana perempuannya?"
"Tu…..” muncung Istiqlal menunjukkan ke arah seseorang di belakang Yadiy. Yadiy terpaksa berpusing ke belakang. Kemudian dia mengerutkan dahi. Yadiy tergamam melihat keayuan wajah Suhaima yang terserlah.
"Tengok, kau pun tak terkata lepas tengok dia, apatah lagi aku," kata-kata Istiqlal mematikan lamunannya.
"Oh, dia ni ke?" soal Yadiy.
"Kenapa? Kau kenal ke?" soal Istiqlal semula.
 "Macam pernah tengok. Budak fakulti kita ke?"
"Ye kot…"
"Abis tu? Takkan tengok saja kot?" soal Yadiy.
"Manalah aku tahu!"

“Su, kenapa Su menangis tadi?" soal Azura sebaik sahaja Suhaima menyuapkan makanan. Suhaima masih terdiam.
"Kenapa? Ira nak tahu ke?"
"Tersentuh sangat ke?" tambah Azura semula.
"Entahlah Ira, Su pun tak tahu. Tapi karya yang Su baca tu macam real  ceritanya. Sedih pun ada juga, Su dapat rasakan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis," balas Suhaima.
"Su nak dia menang ke?"
"Apa maksud Ira?"
"Maksud Ira, Su nak karya tu menang ke? Kan ke Ira ni salah seorang juri.."
"Entah, Su takdelah terfikir macam tu, kalau Ira rasa dia patut menang, apa boleh Su buat kan'? Baik Ira baca sendiri. Jangan ingat bila Su kata ok, Ira fikir karya tu karya terbaik.. "
"Masalahnya Su ni bukan suka baca karya. Sekali baca terus tersentuh, mesti terbaik punya karya tu…" mereka berdua tergelak.

"Tengok cara dia gelak, tak macam perempuan lain. Sopan je.." kata Istiqlal pada Yadiy. Yadiy tersengih.
"Alah, tu kata kau, sebab kau dah angau dengan dia, kan?" balas Yadiy.
"Tak, aku rasa pilihan aku kali ini sempurna sangat.."
"Kau mimpi laa…”
"Eh, yang aku cerita ni, aku tak tahu pun perasaan kau, manalah tahu kau simpan perasaan juga kat minah tu.."
“Kenapa? Tak boleh ke?" soal Yadiy semula.
"Mana boleh, aku dah chop dulu!" mereka turut tergelak.
Yadiy terdiam, kalau nak dikira, dalam hatinya turut tertarik pada perempuan yang masih belum diketahui namanya itu, kerana apa yang diketahuinya, perempuan itu memang cukup terkenal sebelum ini, cuma tidak berpeluang untuk menjadi kenalannya lagi. Dari diploma lagi dia sudah melihat perempuan itu.

"Su, Ira ada lagi nak tanya ni," kata Ira semula.
"Apa dia?"
"Pengarang karya tu, laki ke perempuan?"
"Lelaki agaknya," balas Suhaima.
"Macam mana Su boleh tahu lelaki?"
"Dari nama penanya..."
"Apa nama penanya?"
"Haryadiy….”
"Wah, lelaki pun hebat dalam mengarang ni kan?"
"Tulah Ira tak tahu. Su pun terperanjat juga bila tahu nama pengarangnya…"
"Ni yang buat Ira tak sabar-sabar nak baca ni,"
"Su pun tak sabar-sabar nak kenal orangnya..."
"Hah?!!"
"Entahlah Ira, Su rasa macam nak berkenalan dengan orangnya. Nak kenal sangat orang yang mampu buat Su menangis tadi..”
"Siapa?”
"Haryadiy lah..!”


"Uhuk!"
"La, apasal pulak tersedak ni? Dah, minum air ni," kata Istiqlal sambil mengurut-ngurut belakang Yadiy. Yadiy meneguk air, entah kenapa tiba-tiba je tersedak.
"Ada orang sebut nama kau kot?” kata Istiqlal berseloroh.
“Kelakarlah tu!"


"Tengok mamat tu, makan tak reti sampai tersedak pula," kata Azura sambil menunjukkan ke arah Yadiy yang tidak berapa jauh dan meja mereka. Suhaima hanya tersengih.
“Ada orang sebut nama dia kot?” kata Suhaima bersahaja.

“Tak pun, tulah Haryadiy yang Su sebut tadi!?" mereka berdua tergelak lagi.

bersambung........

0 comments:

Post a Comment