Tuesday, September 5, 2017

Takdir Bukan Hukuman (Episod 2)

                         ‘Alang, ada masa telefon abah…’


            Ringkas mesej yang diterimanya, tapi sangat merisaukan hati. Yadiy termenung sendirian. Fikirannya berserabut memikirkan pelbagai masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini. Dia risau masalah yang datang satu persatu tidak mampu ditanganinya sendirian. Kuliah yang disampaikan di depan langsung tidak diendahkan. Rasa tidak sabar untuk dia bercakap dengan ayahnya.  

“Assalamualaikum….” sapa satu suara yang amat dirinduinya sejak akhir-akhir ini.
“Waalaikum salam, abah sihat?” soal Yadiy semula.
“Alhamdulillah, abah telefon ni ganggu alang ke?”
“Baru abis kelas, alang call abah terus ni. Kenapa bah?”
“Ma kamu…..” ayahnya terhenti seketika.
“Kenapa dengan ma, abah?” pantas Yadiy memintas kata-kata ayahnya.
“Ma masuk wad…” pendek tapi sangat menggetarkan hati dan perasaannya.
“Wad?!!!”
Ayahnya menceritakan hal sebenar. Ibunya disahkan menghidap penyakit buah pinggang. Malah kesihatannya semakin teruk.
“Abah nak alang balik ke?”
“Tak perlu lagi, alang jangan ponteng kelas… Nanti cuti alang balik la ye..”
Perbualan terhenti selepas hampir 30 minit lamanya mereka berbual. Menurut ayahnya lagi, ibunya perlu dibedah dan memerlukan kos pembedahan yang tinggi. Terkedu dibuatnya apabila diberitahu nilai kos pembedahan.
Selesai berbual, Yadiy meneruskan langkah menuju ke arah cafeteria. Dia dah berjanji dengan Istiqlal untuk berjumpa di situ.

Istiqlal tersengih tapi serius. Sudah agak lama dia menantikan Yadiy. Dicubanya untuk menelefon tetapi panggilannya tidak berjaya disambung.
“Kau ke mana? Aku tunggu kau dekat setengah jam..”
“Sorry sangat, ayah aku call tadi…”
“Patut la aku call kau tak dapat…”
“Sorry la… Jom ke rumah aku…”
 Petang itu mereka berjanji untuk menyiapkan segala tugasan yang masih belum diselesaikan kerana hari pembentangan semakin hampir.
Tugasan yang diberi diagih-agihkan. Yadiy bertindak seolah-olah ketua di antara mereka, tetapi itu tidak menimbulkan permasalahan pada Istiqlal kerana dia lebih suka bertindak sebagai orang bawahan.
Sesekali Istiqlal mengangkat muka melihat kea rah Yadiy. Banyak kali Yadiy mengeluh panjang hari ini. Malah berbual pun kurang. Wajahnya sedikit sugul dan ada masanya dia kurang fokus bila dia bercakap.
“Yadiy…” Istiqlal menyeru namanya. Yadiy masih menulis sesuatu di atas sekeping kertas.
“Yadiy..” sedikit keras tapi masih tidak mendapat respon.
“Oi Yadiy!”
“Apa dia?” Yadiy terkejut apabila namanya diseru. Dia mengangkat wajahnya ke arah Istiqlal.
"Yadiy, aku tanya sikit boleh tak?” soal Istiqlal tiba-tiba. Yadiy terhenti seketika dari terus menulis.
"Apanya?”
“Kau dah kenapa ye hari ni macam ada sesuatu yang mengganggu…”
“Mengganggu apa nya?”
“Kau dah macam hilang fokus, ko termenung pasal apa ni?
“Tak lah. Kan aku tengah baca nota ni…”
"Aku tahu kau pandai sembunyikan masalah kau..”
"Jadi?" Yadiy mengerutkan dahinya.
"Tapi, kau tak pandai nak sembunyikan dari aku… "
"Istiqlal, apa kau mengarut ni?" soal Yadiy semula.  
"Aku bukan mengarut, cuma kau tu berubah sikit dari sebelum ni," balas Istiqlal. Yadiy mengerutkan dahinya. Di fikirannya terbayang wajah Shahrul. Istiqlal ini lebih menyerupai Shahrul yang selalu mengambil berat tentangnya.
"Sebelum ni macam mana, sekarang ni macam mana? Kau ni kan, saja nak kenakan aku tau…" kata Yadiy semula.
"Yadiy, aku bukan saja nak reka-reka cerita. Tapi itulah yang aku nampak. Aku kenal sangat dengan kau walaupun kita baru rapat," balas Istiqlal.
"Dah, buat je lah kerja kau tu…"
"Yadiy, aku bukannya nak kau mengaku yang kau tiada masalah. Cuma aku nak tengok sejauh mana kau punya ego dari terus memendamnya seorang diri. Tak boleh ke kau katakan perkataan ‘tolong’ daripada aku? Apa guna aku kat sini?" Istiqlal masih belum berpuas hati.
"Is, nak kata kau datang bulan, kau ni lelaki. Tapi apasal tiba-tiba mengarut tak tentu pasal ni?"
"Aku bukan nak mengarut. Kau tu, tak pernah minta tolong sesuatu dari aku. Kau tak pernah ada masalah ke?" soal Istiqlal lagi.
Yadiy terdiam. Dia bukan terasa, cuma timbul kehairanan pula dipemikirannya.
“Okey, untuk puaskan hati kau, 'tolong' jangan mengarut dengan aku lagi. Aku rimas tau! Kau ni kadang-kadang macam Shahrul, tapi Shahrul dulu tak macam ni.." kata-kata Yadiy mematikan kata-kata Istiqlal.
Istiqlal tersentak apabila nama Shahrul disebut. Dia bukanlah berniat nak sakitkan hati Yadiy, cumalah hendak membantu sekiranya Yadiy memerlukannya. Dia perasan perubahan Yadiy hari ini. Sebab itulah dia bertanya manalah tahu dia terdaya membantu sekiranya Yadiy memerlukan.
Perjalanan petang itu menjadi suram apabila kedua-duanya mengambil langkah berdiam diri. Timbul pula perasaan kesal di hati Yadiy apabila dia bertindak sedemikian tadi. Dia bukanlah hendak menafikan kata-kata Istiqlal, cuma dia merasakan belum masanya lagi untuk dia berkongsi dengan Istiqlal masalah yang dihadapinva sekarang. Memang betul dia menghadapi masalah yang amat besar sekarang.
Jam menunjukkan ke angka 7 malam. Istiqlal merasakan dia patut beransur terlebih dahulu. Dia benar-benar terasa dengan sikap Yadiy yang meninggikan suara tadi. Bukanlah niat dia hendak mencampuri urusan peribadi Yadiy, tapi sekurang-kurangnya, beritahulah juga pada dirinya, manalah tahu dia mampu menolong.
"Yadiy, aku rasa aku patut balik dulu la…" Istiqlal bersuara perlahan. Dia bingkas bangun berdiri. Yadiy mengangkat kepala ke arah Istiqlal.
 "Kau dah nak balik?"
Istiqlal menganggukkan kepala.
"Balik lewat sikitlah, malam karang ke..." tambah Yadiy lagi apabila Istiqlal hanya mendiamkan diri.
"Aku nak pergi makan dulu ni, lapar.."
“Betul ke kau lapar?”
"Betullah, kenapa?"
"Is, maaflah pasal tadi. Malam ni kita makan sekali la, aku ada perkara nak bincang dengan kau…"
"Beritahulah aku sekarang," kata Istiqlal.
"Tak boleh," balas Yadiy.
"Aku balik!” tegas Istiqlal.
"Betul ke kau nak balik, ke kau terasa dengan kata-kata aku tadi?" soal Yadiy menduga. Istiqlal hanya terdiam. “Aku minta maaflah pasal tadi, kau dah maafkan aku belum?" tambah Yadiy semula. Istiqlal masih lagi mendiamkan diri. "Is, kalau kau maafkan aku, kau stay. Kalau kau balik maknanya ada sesuatu yang tak kena," kata Yadiy semula. Sengaja dia memberi dua pilihan kepada Istiqlal.
Istiqlal tunduk memikirkan sesuatu. Lama juga diamnya. Yadiy masih menunggu jawapan dari Istiqlal.
Selang berapa ketika Istiqlal duduk semula. Kemudian dia tersengih.
"Ha…. Macam tu la. Thanks Is," kata Yadiy.
"Tapi kau mesti janji cerita kat aku..”
“Okay!”

Mesyuarat malam itu diumumkan berakhir jam 9 malam. Mesyuarat kali ini adalah untuk menentukan pemenang pertandingan menulis karya yang dianjurkan oleh kelabnya. Bahkan Suhaima masih lagi tidak percaya dengan keputusan yang telah dibuat oleh juri. Sungguh tidak disangka karya pilihannya hari itu menjadi karya pilihan juri yang dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama. Nama Yadiy masih bermain-main difikirannya. Semakin difikirkan, semakin menebal perasaan ingin mengenali empunya badan.
"Su, jauh termenung, pergi mana tu?" sergah satu suara. Suhaima agak terperanjat apabila ditegur sedemikian.
"Oh, Nizam, terperanjat Su,"
"Su, Su balik dengan apa? Jom saya hantarkan," kata Nizam semula. Nizam juga merupakan salah seorang juri yang mengadili pertandingan karya tersebut.
"Su tunggu Azura ni, mana dia pergi tak tahulah, maklumlah, orang penting," balas Suhaima.
"Betul ke tak nak saya tolong hantarkan? Kolej awak jauh, lagipun malam dah semakin lewat," balas Nizam semula.
"Bukan tak nak, tapi Su tunggu Azura, apa kata dia pula nanti kalau Su tak tunggu dia. Maaf yek!"
"Saya boleh hantarkan Su dengan Azura sekali kalau nak," kata Nizam lagi.
"Tapi Nizam, Azura takde kat sini sekarang. Awak baliklah dulu. Tahulah Su nak balik macam mana nanti,"
"Macam nilah, saya tunggu kat kereta, nanti bila Azura dah sampai, awak pergi je kat kereta saya, ok?”
"Tapi kalau Azura lambat lagi?"
"Takpe, saya akan tunggu,”
Nizam berlalu meninggalkan Suhaima. Suhaima agak gelisah menantikan Azura yang masih belum menampakkan batang hidungnya. Suhaima bingkas bangun lalu menuju ke arah Azura.
Azura masih lagi berbual dengan beberapa orang yang terlibat dalam pertandingan itu. Mereka membincangkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis penyampaian hadiah.
"Azura," panggil Suhaima separuh berbisik.
Azura berpaling "Apahal?”
“Ada masalah sikit ni, Nizam tunggu kita…”
"Nizam? Tengku Nizam?"
Suhaima mengangguk.
"Kenapa tak cakap awal-awal?”
"Ni Su beritahu la ni.."
"Kenapa dia tunggu kita?"
"Dia nak hantar Su, tapi Su kata Su balik dengan Ira, jadi dia nak hantar kita berdua la ni..”
"Oh, okey, Ira setelkan something sekejap. Su tunggu kat luar kejap ek?" selang berapa minit Azura melangkah keluar.
"Su, Jom!"
Suhaima berjalan mengiringi Azura.
"Kalau boleh Su tak nak si Nizam tu hantar kita," kata Su tiba-tiba.
"Kenapa pula ni? Su tak tahu ke Nizam tu sukakan Su" balas Azura
"Suka? Tapi Su tak sukakan Nizam."
"Pelik lah Ira tengok Su ni. Si Nizam tu bukan main terkenal di kalangan perempuan. Boleh dikatakan ramai yang tergila-gilakan dia, dah lah tampan, kaya pula tu...."
"Dah Su tak termasuk dalam golongan yang 'ramai' tu!" potong Su.
"Tu yang Ira hairan. Su juga yang si Nizam tu tergila-gilakan. Su, terus terang Ira cakap, Su dengan Nizam memang secocok. Su dah memang cantik. Nizam pula yang kacak, memang sepadanlah," balas Azura.
"Dah, jangan mengarut sampai ke situ pula, Su tak mungkin akan suka pada Nizam sampai bila-bila," kata Suhaima lagi.
“Habis tu, Su suka pada siapa? Dari Ira kenal Su, sampai ke hari ini, sampai sekarang Ira tak tahu lelaki macam mana yang Su suka ..." kata Azura pula.
"Entahlah Ira, Su pun tak tahu, mungkin dia tak muncul lagi," balas Suhaima.
"Atau, Su dah suka kat Haryadiy? Suka pada namanya yang tak tahu jenis macam mana orangnya, macam tu?" kata Azura tiba-tiba membuatkan Suhaima tersentak.
"Haryadiy?" tiba-tiba Suhaima terdiam. Wajahnya menjadi kemerah-merahan.
"Ni apasal pula tiba-tiba malu-malu ni? Takkan Su dah suka pada nama kot? Orangnya Su tak pernah kenal, nama mungkin lah moden ala-ala hero drama, tapi entah gemuk, entah pendek, entah hitam," kata Azura semula sambil menuju ke arah Nizam yang setia menanti. Suhaima masih terdiam. Dia biarkan sahaja Azura merepek sendirian. Suhaima dan Azura membuka pintu kereta Nizam dan melabuhkan punggung mereka di kerusi kereta. Sengaja Suhaima memilih untuk duduk di belakang. Azura terpaksa memilih untuk duduk di hadapan.
"Su, kita pergi minum dulu, boleh tak? Azura, macam mana?" tanya Nizam sebaik enjin dihidupkan.
"Tak kisah, jom.. " balas Azura. Dia menjeling ke arah Suhaima.
"Sebab tulah aku tak nak si Nizam ni hantar kita, mesti melencong ke tempat lain dahulu," kata Suhaima separuh berbisik. Azura tersengih je.

"Tersedak lagi!? Kau ni tak boleh langsung makan dengan aku, mesti tersedak. Mesti ada sahaja orang yang sebut-sebut nama kau," kata Istiqlal sambil menggosok-gosokkan belakang Yadiy. Yadiy meneguk minuman.
"Bukan orang sebut nama aku lah! Aku ni, makan gelojoh sangat," kata Yadiy semula. Dia kembali menyuap nasi yang masih bersisa.
"Yadiy, kau kata ada perkara yang kau hendak bincangkan, apa dia?” soal Istiqlal semula. Dia turut menyuapkan makanan ke mulutnya.
"Erm, macam ni..." Yadiy meletakkan sudu dan garfu seketika. Istiqlal masih memandang dengan penuh tanda tanya.
"Hello, I’m waiting” kata Istiqlal tidak sabar-sabar.
"Is, aku nak tanya kau, dan kau mesti jawab soalan aku ni..."
"Ye lah, apa dia?"
"Pasal petang tadi..." kata Yadiy terhenti. Wajah Istiqlal tiba-tiba berubah. Dia hanya tunduk ke bawah.
"It's okey for me, semua salah aku, aku tak patut ambil tahu pasal peribadi kau..”
"Siapa cakap salah kau? Aku tak kata pun kau salah. Kalau kau salah, kenapa aku yang minta maaf?" soal Yadiy semula.
"Habis tu? Apa?"
"Petang tadi tu, kenapa kau tanya aku macam tu?"
"Which part?"
"Pasal aku tak pernah minta tolong tu lah!" kata Yadiy.
"Nak aku jawab ke?"
"Of course lah!”
Istiqlal tidak terus menjawab soalan Yadiy. Dia diam seketika, mencari jawapan terbaik sebagai penjelasan.
"Aku pun tak tahu sebab apa aku tiba-tiba je tanya pasal tu. Tetapi aku perasan perubahan dalam diri kau. Kau tak macam dulu,"
"Dulu tu bila? Aku rasa aku biasa je," balas Yadiy semula.
"Memang la aku kenal kau baru lagi. Tapi kau sekarang tak sama seperti yang masa aku mula-mula kenal kau," kata Istiqlal semula.
"Kau kenal aku bila hah?"
"Semester ni lah,”
"Jadi, apa bezanya aku semester ni dengan semester lepas?” soal Yadiy lagi.
"Memang la aku tak kenal kau semester lepas. Dulu kawan kau arwah Shahrul kan? Aku manalah layak jadi kawan kau," balas Istiqlal. Yadiy terpinga-pinga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istiqlal. Kenapa pula nama Shahrul disebut ni?
"Is, cuba kau tengok sana.." kata Yadiy menunjuk ke arah seseorang.
“Dah, kau nak alih tajuk le ni. Aku tak habis lagi ni,"
"Tak, cuba kau tengok sana, pasal ni kita bincang lepas ni, tapi sebelum tu tengok belakang kau, tu bukan ke.... "
Istiqlal berpaling ke belakang. Matanya terpaku melihat seraut wajah yang sering bermain-main difikirannya sejak hari mereka memandangnya di cafeteria tempohari.
"Oh, dia ni..."
Suhaima dan Azura muncul di gerai yang sama di mana Yadiy dan Istiqlal sedang menikmati hidangan mereka. Kemudian diikuti pula oleh Nizam yang muncul dari belakang.
"Is, dia dah ada balak la," kata Yadiy apabila melihat kemunculan seorang lelaki di samping Suhaima.
"Think positive lah. Tu balak kawan dia la.."
"Belum kenal nama lagi dah ada balak, macam mana tu?" Yadiy seakan mengejek.
"Alah, ini Istiqlal lah, biar datang berapa ratus orang lelaki pun aku tetap meletakkan dia di sini..." kata Istiqlal sambil tangannya diletakkan di dadanya.
"Alamak, serius pulak ko kali ni…"
"Erm, entahlah. Dahlah, biarkanlah diorang. Ni, perbincangan kita belum selesai lagi. Apa masalah kau sebenarnya?" Istiqlal melupakan seketika hal Suhaima.
"Masalah?"
"Kau la. Aku tahu kau ada masalah kan? Masalah dengan awek ke?"
 "Awek? Kau fikir orang macam aku dah ada awek ke?" tambah Yadiy semula.
"La, aku memang dah lama fikir kau dah ada awek,"
"Aku bukan macam kau, kaya, tampan, kacak. Semua ada,"
"Dah jangan nak lari dari tajuk lagi. Aku dah penat tunggu ni,"
"Okeylah, aku tak tahu kenapa kau beriya sangat nak tahu masalah aku, apa kau suka ke dengar masalah orang ni?”
"Yadiy, kau silap faham ni, kau ingat aku saja-saja nak tadah telinga dengar masalah kau? Manalah tahu aku boleh tolong."
"Kau tak mampu tolong aku, Is.."
"Kau belum cerita.."
Yadiy tunduk. Hendak tak hendak dia terpaksa cerita daripada awal sehingga akhir segala masalah yang dipendamnya selama ini. Istiqlal dilihatnya mendengar dengan penuh perasaan. Yadiy sedar, dia cerita banyak mana pun tak mungkin keadaan akan berubah.
Istiqlal tunduk mendiamkan diri sebaik sahaja Yadiy menghabiskan cerita. Yadiy juga turut mendiamkan diri. Dia menghabiskan makanannya yang masih bersisa. Begitu juga dengan Istiqlal. Dia terdiam mendengar cerita Yadiy tadi. Sungguh tidak disangka Yadiy terpaksa lalui pengalaman yang agak pahit untuk dia hadapi.
Yadiy masih lagi terdiam. Sudah dia katakan yang Istiqlal tak mampu membuat apa-apa untuk membantunya. Dia tidak menyesal kerana menceritakannya pada Istiqlal.
"Yadiy, jom kita balik. Aku janji akan buat yang terbaik untuk menolong kau," kata Istiqlal tiba-tiba.
"Kau nak tolong macam mana? Kau dah dengar cerita aku pun sudah cukup bermakna untuk aku. Sekurang-kurangnya aku dah berkongsi dengan seseorang,"
Mereka berlalu meninggalkan meja makan. Dalam perjalanan keluar dari tempat mereka makan, mereka melalui meja yang diduduki oleh Suhaima dan Azura.
Yadiy menjeling ke arah meja mereka. Istiqlal terus berlalu tanpa memandang ke kiri atau ke kanan. Suhaima tersentak apabila matanya bertemu dengan mata Yadiy. Yadiy tersenyum dan Suhaima hanya membalas senyuman itu, namun ternyata pahit. Suhaima sudah rimas kerana hampir setengah jam mereka berada di situ, tiada tanda-tanda Nizam ingin mengajak mereka untuk pulang.
"Is, kau keluar menonong je ni, kenapa tak pandang buah hati kau tadi?" soal Yadiy sebaik mereka berada di tempat letak kereta.
"Alamak, aku lupa. Asyik teringat masalah kau tadi sampai aku tak ingat yang perempuan tu ada kat sini,"
"Apa hal pulak kau asyik teringatkan masalah aku? Dah takde kerja lain ke?" soal Yadiy semula.
"Apa-apalah..."

"Su senyum kat siapa tadi?" soal Azura apabila melihatkan rakannya itu tersenyum sendirian.
“Mana ada Su senyum kat sesiapa," balas Suhaima pula.
"Ala, macamlah Ira tak nampak tadi. Su senyum je tadi, kenalan ke?" soal Azura semula. Nizam hanya mendiamkan diri sahaja.
"Bukan, Su macam pernah jumpa orang tu tadi. Tapi Su lupa la,”
"Ada-ada sahaja Su ni..”

0 comments:

Post a Comment