Wednesday, December 7, 2016

REDUP YANG PANJANG (PART 3)


KATA-KATA Aiman sebentar tadi membuatkan Rafiqan rasa tercabar. Dia terasa kejantanannya yang terpaksa di sembunyikan seolah-olah telah dicarik-carik dengan kuku besi. Dia pun belum tahu siapa aku, getus Rafiqan sendirian.
Hari pertama berlalu begitu sahaja. Tidak ramai yang sudi menjadi temannya. Hanya Habil dan Firdaus yang tidak kekok melayan Rafiqan untuk membiasakan diri dengan suasana yang agak baru. Malahan dia lebih selesa dengan sikap berdiam dirinya. Tak pernah sekali pun dia memulakan perbualan. Malah sejak akhir-akhir ini mulutnya bagai ada emas untuk bersuara. Namun, dia merasa puas setelah melepaskan geram kepada gadis yang mendakwa sekelas dengannya itu. Entah kenapa kali ini dia menunjukkan sikapnya yang sebenar pada seorang perempuan.
Rafiqan melangkah malas mendaki anak tangga di rumah neneknya itu. Tuk Chik pula kelihatan sedang memasak di dapur.
"Pi! Mari makan dengan Tuk Chik..." kedengaran suara Tuk Chik dari dapur memanggil namanya. Setelah menyalin pakaian, Rafiqan melangkah lemah menuju ke dapur. Tanpa berkata walau sepatah, Rafiqan menarik kerusi lalu duduk di depan hidangan. Memang aroma masakan yang terhidang mengusik-usik perutnya yang meminta diisi.
Tuk Chik muncul dengan membawa sejag air limau di tangan. Tuk Chik tersenyum. Sungguhpun hampir sehari semalaman Rafiqan berada di sini, belum pernah sekali dia mendengar Rafiqan memanggil namanya. Malahan, untuk berbual pun tidak pernah. Semalaman Rafiqan memerap di dalam bilik. Pagi tadi pun sebab Rahman masih ada untuk menghantarnya ke sekolah baru. Sebaik sahaja Rafiqan selesai didaftarkan, Rahman dan Fatimah bergerak pulang ke Kuala Lumpur.
Rafiqan menyuapkan nasi ke dalam mulutnya dengan gelojoh. Dia langsung tidak mengendahkan kehadiran Tuk Chik yang berada di sebelahnya.
"Pi, kenapa sampai sekarang Pi tak sudi nak bercakap dengan Tuk Chik?" soal Tuk Chik lembut sambil tangannya menuangkan air dari jag. Dia menolak gelas ke arah Rafiqan. Rafiqan mengangkat muka. Dia merenung ke arah Tuk Chik dalam-dalam. Rasa bencinya masih bersarang apabila mengenangkan dia terpaksa lalui wanita berusia ini untuk hari-hari seterusnya.
Tuk Chik tahu sangat perangai Rafiqan. Dia tahu Rafiqan umpama api, dan api lawannya ialah air. Dia yakin dapat mengubahnya suatu hari nanti.
Rafiqan terus mendiamkan diri sehinggalah dia menghabiskan kesemua makanannya. Tuk Chik hanya menggelengkan kepala mengenangkan sikap cucunya itu.
"Pi, abah Pi bertolak pukul 10 pagi tadi. Dia ada tinggalkan sedikit duit untuk Pi, Tuk Chik letak atas meja tu..." kata Tuk Chik sambil menjeling ke arah Rafiqan yang sedang membasuh tangan.
‘Sikit je?' keluh Rafiqan sendirian. Tanpa mengucapkan sepatah perkataan pun Rafiqan bingkas meninggalkan dapur menuju ke arah biliknya. Malah ucapan terima kasih untuk lauk yang sedap pun bagai sukar untuk dilafazkan.
Rafiqan menolak daun pintu biliknya, segera dia mengalihkan pandangannya pada meja tulis yang sememangnya disediakan oleh Tuk Chik dan Tokki Mat. Dua keping not berwarna merah ditiliknya berkali-kali. Dia merebahkan badannya ke atas katil.
'Duit, hai duit... Kerana kau lah aku merana...' Rafiqan mengelamun sendirian. Tanpa disedarinya matanya mula merasa mengantuk dan dia terus terlena.


"BANYAK ke kerja awak sekarang?" soal Tuk Chik sewaktu Tokki Mat sedang menjamah goreng pisang sebagai makanan petang hari itu.
"Banyak jugalah sejak awak berhenti ni..." balas Tokki Mat sambil mengunyah berkali-kali goreng pisang itu.
“Ala, baru hari ini saya tak pergi kedai, awak dah bising, bukannya apa, kalau saya ke kedai, siapa nak jaga si Rafiqan tu?" tambah Tuk Chik pula. Tokki Mat hanya menganggukkan kepala. Walaupun kadangkala timbul rasa tidak puas hati pada anak menantu kerana kerja mendidik anak diberikan kepada mereka.
"Oh ya, menyebut tentang si Rafiqan, ada dia cakap dengan awak hari ni?"
"Takde bang, macam tulah dia, macam semalam..."
"Ada dia makan dengan awak?"
“Ada tu ada, tapi macam saya makan seorang je lah, saya tanya sepatah, sepatah pun dia tak jawab...” balas Tuk Chik lagi.
"Sabar ajelah ya, dia tu mungkin perlu masa untuk sesuaikan diri.."
"Abang, tadi saya terhidu bau rokok, Rafiqan ada hisap rokoklah bang...” kata-kata Tuk Chik membuatkan Tokki Mat tersentak.
"Awak biar betul, kadang-kadang hidung awak ni bukan boleh percaya sangat..."
"Betul bang, hidung saya ni masih kenal lagi bau rokok, bau wangi, busuk, bau awak pun saya boleh kenal lagi…”
Tokki Mat tunduk. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia buat sekarang. Menggunakan kekerasan seperti mana yang dilakukannya terhadap anak-anaknya dahulu, itu tidak mungkin.
'"Dia kat mana sekarang?" soal Tokki Mat pula.
"Ada dalam bilik, tak keluar-keluar selepas makan dengan saya tadi…”
Tokki Mat tunduk kelegaan, sekurang-kurangnya budak tu ada kat rumah dan tidak merayau ke mana-mana.
"Kadang-kadang saya kasihan kat budak tu..." Tokki Mat terhenti seketika.
"Kenapa?" soal Tuk Chik pula.
"Dalam usia macam dia sekarang ni. dia perlukan seorang kawan. Dia tak boleh memerap macam tu sahaja.. ."
"Betul cakap abang tu, tapi bukan ke baru hari ini dia ke sekolah, mungkin dia tak ramai lagi kawan kot.."
"Eh, Dina kan ada... Bolehlah mereka berkawan. Kalau tak silap. mereka tu sebaya kan?" soal Tokki Mat semula. Tuk Chik hanya mengangguk.

“DINA. kenapa ni?” soal Azimah melihatkan anaknya tersedak semasa sedang meneguk air sirap yang dibuatnya.
"Entahlah ibu, ada orang sebut nama Dina kot…" balas Hardina pula Azimah hanya tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu.
"Siapalah nak sebut nama anak ibu ni? Jangan-jangan Si Faizal kot..."
“lbu....!” Hardina menarik muka masam. Sungguhpun dia tahu ibunya hanya bergurau, namun ia sedikit pun tidak dapat memadamkan peristiwa yang berlaku sewaktu dalam perjalanan pulang tadi. Masih terngiang-ngiang kata-kata dari budak lelaki yang baginya tidak sedar diri itu. Yang membuatkan dirinya bertambah sakit ialah apabila memandang ke dalam mata mamat tu, sedikit pun tiada perasaan bersalah. Hati batukah mamat tu? Atau memang dia sememangnya dilahirkan tanpa perasaan? Hardina berteka-teki sendirian.
“Dina, Dina dah kenal ke cucu Tuk Chik?” kata-kata ibunya membuatkan Hardina tersedar dari lamunan.
"Cucu?" soal Hardina kehairanan.
“Ya. cucu Tuk Chik tinggal kat sini sckarang. Pagi tadi Tuk Chik ada singgah rumah kita, dia nak minta serai kat belakang tadi. Katanya nak masak rending. Bila ibu tanya kenapa nak masak rendang. Tuk Chik bagitahu yang cucunya ada kat sini,” cerita Azimah panjang lebar.
"Tuk Chik tak jaga kedai ke?" soal Hardina pula.
"Tak, Tuk Chik kata sepanjang cucunya tinggal di kampung, dia hanya jaga kedai waktu pagi sahaja. Selebihnya Tokki Mat yang jaga…”
Hardina hanya menganggukkan kepala. Kemudian dia meminta diri untuk ke biliknya. Ibunya hanya tersenyum melihat anaknya itu semakin matang. Ada persis wajahnya terukir di wajah Hardina. Kemudian dia mengeluh sendirian. Kecantikan tidak menjanjikan apa-apa, sebaliknya kebahagiaan bermula dari hati yang ikhlas.

Hardina merebahkan diri di atas katil usang peninggalan arwah datuknya. Mata memandang ke arah kipas yang berputar ligat. Seperti mana kipas itu berpusing, begitu juga ingatannya memutar kembali kejadian yang hampir membuatkan dia menjadi hilang akal dengan kata-kata yang dihamburkan oleh Rafiqan. Hampir sahaja membuatkan moodnya untuk bersembang dengaji ibunya terbantut. Maafkan Dina, ibu. Cucu Tuk Chik? Lupa pula nak tanya cucu Tuk Chik tu lelaki atau perempuan, getusnya sendirian.

bersambung le pulok...
pendek je kali ni

0 comments:

Post a Comment