Thursday, December 29, 2016

REDUP YANG PANJANG (PART 6)

IBU, dia ke cucu Tuk Chik?” soal Hardina sambil menarik tangan Azimah. Azimah hanya memandang kehairan dengan riak wajah Hardina yang dalam keadaan terkejut.
“Ya Dina, kenapa?” soal Azimah semula. Belum sempat Hardina menjawab, tiba-tiba Rafiqan yang sedari tadi hanya memejamkan matanya mula membuka matanya itu apabila terdengar nama Dina disebut. Dina lebih terkejut apabila pandangannya bertembung dengan mata jernih Rafiqan yang sedang menahan sakit.
“Kau Dina?!” soal Rafiqan tiba-tiba. Dia menggagahkan dirinya untuk bangun walaupun terpaksa melawan kesakitan akibat dipukul tadi. “Kau Dina ke?!! Jawablah pertanyaan aku ni!!!” tambahnya lagi membuatkan Hardina dan Azimah tersentak.
Tuk Chik muncul apabila terdengar suara Rafiqan yang diangkat tinggi itu.
“Kenapa ni Pi?” soal Tuk Chik sambil memegang kedua-dua belah bahu Rafiqan.
“Kau Dina ke!!!?” Rafiqan mula meronta-ronta supaya Tuk Chik melepaskan tangannya itu.
“Mengucap Pi, sabar ...”
“Wow, pekak! Aku tanya kau ni!! Kau Dina ke???” sekali lagi suara Rafiqan bagaikan halilintar membelah bumi.
Hardina kali ini tidak dapat menahan air matanya dari mengalir, apatah lagi dia diherdik selantang itu di hadapan ibunya sendiri.
“Wow, perempuan! Aku tahu kau berdendam dengan aku kan?! Sekarang puaslah hati kau ya? Melihat aku terbaring di katil...!!?” Rafiqan terus menghamburkan kata-kata yang terus mengusik jiwa Hardina dan Azimah.
“Pi, kenapa ni?” soal Tuk Chik lagi.
“Kalau Tuk Chik nak tahu, sebab perempuan ni la Pi kena pukul, sebab dia lah Pi jadi macam ni. Dia tak puas hati dengan Pi, dia suruh abang dia pukul Pi!” kenyataan Rafiqan membuatkan Azimah terkejut. Tidak disangkanya Hardina ada kaitan dengan kejadian itu.
Hardina tidak dapat menahan perasaannya lagi lalu berpaling dan melarikan diri. Azimah tidak sempat menarik tangan Hardina, membiarkan anaknya itu melayan perasaannya sendirian. Namun dia sendiri cukup terasa dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Rafiqan.
“Pi, cukup! Sabar! Mana Pi tahu Dina punca semua ni?” soal Tuk Chik pula. Azimah turut tertarik untuk mengetahui jawapan yang akan diluahkan oleh Rafiqan. Dia hanya berdiri di situ.
“Budak lelaki itu yang beritahu...” kata-kata Rafiqan yang ringkas menjawab segala-galanya. Azimah menghampiri katil Rafiqan lalu duduk di samping Tuk Chik.
“Rafiqan, makcik tak sangka semua ni disebabkan Hardina, dan makcik sendiri tidak tahu apa puncanya, makcik akan bercakap dengannya. Kalau boleh makcik harap, Rafiqan akan maafkannya, boleh?” soal Azimah lembut. Rafiqan hanya merenungnya tajam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
“Mah, kita keluar dulu, biarkan dia sendirian kejap...” Tuk Chik menarik bahu Azimah. Azimah hanya mengikuti dari belakang.
Hardina menangis semahu-mahunya. Tidak pernah dia diherdik sedemikan rupa dari seorang lelaki. Lebih-lebih lagi dia bersama ibunya pula.
“Dina, ooo Dina,” Azimah melaung-laungkan nama Hardina. Dia tahu Hardina berkecil hati. Namun, dia perlu didengari. Mungkin Rafiqan membuat tuduhan yang melulu. Mungkin juga Hardina cuma terlibat secara tidak langsung sahaja.
“Dina ada kat luar bu...” balas Hardina. Ada sendu di dalam suaranya.
Tuk Chik mengekori Azimah mendapatkan Hardina. Dia sendiri tidak menduga sejauh itu cucunya mampu bertindak. Memang Tuk Chik kenal sangat dengan perangai Rafiqan, tetapi sikap itu tidak boleh selalu dibelai, lambat laun ia akan menjadi sebahagian dari darah daging kita sendiri.
“Dina, boleh Dina terangkan perkara yang sebenar?” soal Azimah dengan mata yang mengharap.
Hardina hanya tertunduk. Dia seboleh-bolehnya malas hendak menyemak semula peristiwa-peristiwa yang dilaluinya sebelum ini, tetapi apabila orang yang paling disayanginya pula yang bertanya, Hardina terpaksa menceritakan semula.
Azimah tertunduk sebaik sahaja Hardina menghabiskan kata-katanya. Tidak disangkanya Hardina terpaksa menelan segala kepahitan yang ditanggungnya scndirian.
“Dina, Tuk Chik betul-betul minta maaf dari pihak Rafiqan. Dia memang macam tu. Sebab perangai itu jugalah dia dihantar di sini. Memang keras kepala...” kata Tuk Chik perlahan. Tahulah kini kenapa sikap Rafiqan yang pendiam di sekolah.


MALAM yang dingin itu menyaksikan Rafiqan hanya terlantar di katil. Malas hendak bersua dengan Tuk Chik dan Tokki Mat. Masih terbayang di ingatannya peristiwa siang tadi.
“Woi budak baru!” tegur satu suara dari belakangnya sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah. Lorong itu agak lengang kerana jarang digunakan oleh penduduk kampung.
Rafiqan berpaling. Kelihatan Aiman bersama beberapa orang lagi sedang merenungnya.
“Panggil aku ke?” soal Rafiqan.
“Amboi, buat-buat tanya pula, habis kau ingat aku panggil tunggul?” tambah Aiman lagi. Seorang lagi lelaki yang hampir seiras dengan Aiman lebih tegap tubuhnya hanya tersengih. Mungkin dia ni senior kot.
Baju biru? Bukankah mereka ni pengawas? Tak sangka pengawas pun boleh jadi samseng. Atau samseng yang dilantik sebagai pengawas.
“Ada apa?” Rafiqan terus bersuara tanpa disedari yang dia hanya keseorangan. Selalunya ini adalah antara situasi yang sering dia alami sebelum datang ke kampung.
“Kenapa kau kacau Dina?” soal lelaki yang lebih tegap itu.
“Dina mana?”
“Hardina, anak makcik Azimah...”
“Aku tak faham apa maksud korang, aku tak kenal pun siapa Hardina...” kata Rafiqan sambil berlalu.
“Kau lah yang buat Dina menangis kan?” Aiman cuba menghalang perjalanan Rafiqan.
“Sumpah aku tak tahu!” Rafiqan menepis tangan Aiman yang disilangkan di dadanya.
“Tunggu, kau sengaja nak sakit ya” tambah lelaki itu lagi sambil mengarahkan Aiman ke depan semula.
“Eh apa ni?” Rafiqan meronta-ronta apabila Aiman memeluknya dari belakang. Kali ini giliran lelaki yang lebih tegap itu pula menumbuknya dari depan.
Berkali-kali tumbukan yang singgah ke muka Rafiqan menuntut cecair merah pekat itu untuk mengalir keluar dari hidung dan mulut Rafiqan. Tidak cukup dengan itu, perutnya disepak berkali-kali. Rafiqan hanya mengerang kesakitan. Mata-mata yang lain hanya memerhatikan sahaja perlakuan dua beradik itu memperlakukan Rafiqan seperti seekor binatang.
Rafiqan memegang pipinya yang masih terasa sakit. Sampai ke saat ini dia menyimpan dendam terhadap dua lelaki yang dianggapnya sebagai abang Hardina.
“Pi, dah tidur ke?” tiba-tiba lamunannya dimatikan dcngan suara Tokki Mat memanggil namanya.
“Tok, belum lagi,” jawab Rafiqan. Tokki Mat melangkah masuk lalu melabuhkan punggungnya pada birai kati Rafiqan.
“Pi, boleh Pi ceritakan apa yang berlaku?” soal Tokki Mat. Dia masih tidak puas hati dengan apa yang telah Tuk Chik beritahu. Sekurang-kurangnya dia mendengar dari mulut Rafiqan sendiri.
“Entahlah Tok, Pi pun macam bingung sekarang ni...”
“Siapa yang pukul Pi?”
“Abang Hardina..” kata-kata Rafiqan membuatkan Tokki Mat terkejut.
"Pi, Dina tiada abang. Dia anak sulung...” kali ini Rafiqan pula yang terkejut.
“Habis tu, kenapa dia serang Pi?” soal Rafiqan kepada Tokki Mat.
“Sepatutnya Tok yang tanya, kenapa dia serang Pi?”
“Pi tak tahu Tok. Pi tak tahu apa yang telah Pi buat. Pi tak pernah kacau orang. Pi juga tak pernah sakitkan hati sesiapa pun…”
“Habis, takkan tiba-tiba je mereka serang Pi?”
“Pi betul-betul tak tahu Tok,”
Tokki Mat tunduk. Dia tahu sangat perangai cucunya itu. Bukan boleh selesai dengan begitu sahaja. Rafiqan bukannya boleh terima segala perkara dengan sewenang-wenangnya. Malahan Rafiqan lebih samseng dari mereka. Rafiqan lebih arif dalam bidang pergaduhan ni. Timbul pula kerisauan di benaknya Lebih-lebih lagi melibatkan anak orang ternama di kampung mereka.
“Pi, Tok harap Pi biarkan mereka, Tok tahu Pi macam mana, kalau boleh Pi jangan simpan dendam yea..?”
Rafiqan terdiam. Bagaimana dia boleh menerima semua ini. Tak mungkin tidak timbul sekelumit pun perasaan berdendam terhadap makhluk dua ekor tu.
“Kenapa Tok?” soal Rafiqan pula.
“Kalau Pi nak tahu, orang yang menyerang Pi tu nama dia Aiman dan Faizal, mereka adik-beradik tu anak datuk Hamzah, orang paling berpengaruh di kampung kita ni...”
“Habis, mentang-mentang dia anak datuk, dia boleh buat Pi macam ni?” soal Rafiqan membuatkan Tokki Mat tersentak.
“Bukan macam tu, Pi, Tok tak nak perkara ni berlanjutan.....”
“Tak boleh Tok, Pi tak boleh berdiam diri...”
“Pi, jangan macam tu. Biar sejuta kali orang berbuat jahat terhadap kita, jangan sesekali kita membalas dendam. Pi percaya pada Allah kan?” soal Tokki Mat.
Angguk
“Kalau macam tu, Pi kena tahu orang beriman wajib menjaga hubungan baik dengan kaum kerabat dan orang lain kerana kita ada hubungan darah daging sesama manusia. Sekiranya jalinan hubungan baik, kasih-sayang, hormat menghormati dan kemesraan dapat diwujudkan, lnsya-Allah hati kita akan bahagia...” terang Tokki Mat panjang lebar.
“Pi faham Tok,” balas Rafiqan. Tokki Mat hanya tersenyum.


AZIMAH mengeluh sendirian mengenangkan anaknya masih tidak bersuara sejak petang tadi. Wajah Hardina masih lagi tidak bermaya. Entah kenapa semua ini yang terpaksa ditanggung oleh anaknya yang masih mentah itu.
“Dina, ibu tak ada pun marah atau kata apa-apa pada Dina, tapi kenapa tak nak bercakap dengan ibu?” soal Azimah sewaktu mereka sedang menikmati makan malam.
Hardina memanggungkan muka memandang ke arah ibunya. Suapannya terhenti seketika. Begitu juga dengan Shahran yang berada di sebelahnya, turut memberi perhatian pada perbualan di antara ibu dan kakaknya itu.
“Dina bukan tak nak bercakap dengan ibu, cuma Dina tak mahu bercakap. Dina tak tahu apa yang Dina rasa sekarang...” balas Hardina semula. Azimah hanya tersenyum.
“Dina, ibu percaya Dina bukanlah seperti yang cucu Tuk Chik katakan. Kenapa Dina tak beritahu pada ibu yang Dina dah kenal cucu Tuk Chik tu?" soal Azimah pula.
“Dina tak tahu dia tu cucu Tuk Chik. Memanglah dia pelajar baru yang datang dari Kuala Lumpur, tapi Dina tak jangka yang dia tu cucu Tuk Chik...”
“Erm, kenapa Dina dikaitkan?”
Hardina terdiam, sukar untuknya menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan ibunya. Ada sahaja cara yang Azimah gunakan untuk membuatkan Hardina bercerita.
“Ibu, memang Dina ada terserempak dengan Rafiqan hari mula-mula dia datang ke sekolah, dan cara dia bercakap tidak pernah dengan lemah lembut. Dia ada melemparkan kata-kata yang kesat pada Dina. Tapi Dina tak pernah terfikir untuk membalas dendam padanya. Dina tak pernah ceritakan kepada sesiapa tentang perkara ini…”
“Habis macam mana mereka tahu?”
“Kecuali... Yati… Dina rasa Yati yang beritahu pada mereka. Hari Dina ada mesyuarat kedua hari itu pun mereka tidak ada, sebab tu Dina yakin yang memang Faizal dan Aiman yang memukul Rafiqan...”
Azimah terdiam. Kesian pula melihatkan Hardina terlalu banyak dugaan yang terpaksa dilalui. Mujurlah selama ini dia telah banyak mendidik ajaran agama dan nilai-nilai murni supaya Hardina akan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti.
“Dina, ibu percaya cerita Dina. Dina tak pernah menipu kan? Cuma ibu nak bagi tahu pada Dina, janganlah disebabkan ini Dina menaruh perasaan benci kepada Tuk Chik sekeluarga. Dina tahu kan yang Rafiqan tu memang macam tu. Dia datang ke kampung sebab yang kita sendiri tak jangka, kan? Jadi janganlah salahkan Tuk Chik dan Tokki Mat sebab mereka memang keluarga yang baik. Kerana mereka, kita diterima di kampung ini..”
“Ibu. Dina tak pernah menyimpan perasaan benci pada mereka, malah pada si Rafiqan pun Dina tak berdendam. Ibu jangan risau..." kata Hardina memujuk ibunya. Azimah hanya tersenyum. Mereka kemudiannya meneruskan makan malam yang terhenti di tengah jalan tadi. Begitu juga Shahran yang seolah-olah tidak wujud sebentar tadi.


HAMPIR 3 hari Rafiqan tidak pergi ke sekolah. Dia hanya memerap di rumah dan ditemani oleh Tuk Chik. Selepas kejadian hari itu, baru dia tahu yang Hardina tinggal berjiran dengan rumah Tuk Chik dan Tokki Mat.
Pada hari keempat, Rafiqan bersedia untuk ke sekolah. Kakinya sudah mula boleh digerakkan. Bengkak di mukanya pun sudah kelihatan surut sedikit.
Pagi yang dingin itu membuatkan Rafiqan memeluk tubuhnya sendiri. Dia melihat jam, hampir 5 minit lagi untuk pintu pagar ditutup, namun perjalanan masih jauh. Dia hanya bersahaja.
Sebaik sampai di pintu masuk utama, pintu pagar kelihatan tertutup rapat. Beberapa orang pelajar yang senasib dengannya kelihatan merayu-rayu kepada pengawas yang bertudung biru itu supaya nama mereka tidak dicatatkan dalam rekod kesalahan.
Rafiqan menghampiri ke arah pintu pagar. Pandangannya terhenti melihat jari lembut pengawas perempuan itu menari-nari sambil mencatat nama-nama pelajar yang datang lambat ke sekolah. Wajah yang sedikit tersorok menyukarkan Rafiqan untuk melihatnya
“Ahmed Rafiqan Rahman…” Rafiqan memberi tahu namanya apabila dia diminta berbuat sedemikian. Pengawas perempuan yang sedari tadi tertunduk mengangkat muka.
“Awak dah sihat?” tiba-tiba sahaja Hardina bertanya. Dia seolah-olah lupa yang dia kini sedang bertugas.
“Oh, kau rupanya. Patutlah, seangkatan dengan pengawas rupa-rupanya...” kata Rafiqan mencebik membuatkan Hardina sedikit terguris.
“Awak ni kenapa? Saya tanya elok-elok, tak boleh ke awak jawab elok-elok?” soal Hardina semula.
“Ah, pergilah mampus dengan soalan kau! Sekarang ni puaslah hati kau kan? Hanya disebabkan perempuan bodoh macam kau ni, aku jadi macam ni. Mesti kau gembira melihat aku sekarang, berparut sana, berparut sini. Macam aku pula yang sepatutnya kena langgar hari tu….”
“Awak!!” Hardina mengetap bibir. Sampai ke hari ini mamat ni masih nak membangkitkan peristiwa melintas jalan hari itu.
“Cepatlah, nama aku, kau dah catat kan? Kami semua hendak masuk!" tambah Rafiqan lagi. Pelajar lain hanya berpandangan. Mereka agak teruja melihat Rafiqan sanggup melawan pengawas yang selama ini menakutkan mereka.
Pintu pagar dibuka. Rafiqan hanya tersenyum sinis ke arah Hardina yang menjeling tajam ke arahnya.
‘Ish mamat ni, walaupun dah kena, tak ubah-ubah lagi perangai dia.’ getus Hardina sendirian. Dia hanya mampu melihat perlakuan Rafiqan tadi. Rafiqan berlalu menuju ke tapak perhimpunan kerana itulah rutin setiap hari di sekolah. Habil dan Firdaus menghampirinya.
Usai selesai perhimpunan harian, Rafiqan berjalan menuju ke kelas bersama-sama Firdaus dan Habil.
“Rafiqan, kenapa ponteng sekolah sampai 3 hari?” soal Habil memulakan perbualan. Rafiqan tersentak dengan kata-kata Habil itu.
“Kau tak tahu apa-apa ke? Siapa cakap aku ponteng?” soal Rafiqan semula.
“Tahu apa? Semua orang fikir kau ni memang kaki ponteng sekolah...” balas Firdaus pula.
“Oh, jadi kejahatan diorang tak sampai la ke sekolah ni?” Rafiqan menambah membuatkan Habil dan Firdaus berpandangan.
“Kejahatan apa pula?” soal Firdaus. Habil hanya rnenganggukkan kepala.
“Korang tak tahu ek, aku kena pukul la...” kata Rafiqan perlahan. Rasa malu bersarang kerana tak pernah dalam hidupnya terlintas dia akan dipukul suatu hari nanti.
“Kena pukul? Patut lah aku tengok kau lain macam sikit,” tambah Habil pula.
“Siapa yang pukul?” potong Firdaus.
“Kejap, yang aku hairan sebab apa sekolah boleh tak tahu? Aku kan dah hantar surat MC...” kata Rafiqan.
“Kau hantar kat siapa?” soal Habil.
“Pcngetua….”
“Oh, patutlah.” kata Habil dan Firdaus serentak.
“Patutla apanya?” soal Rafiqan semula.
“Dah sampai ke pengetua tu maknanya berat la kes kau ni. Tapi sekolah tak tahu pun,” balas Firdaus.
“Sekolah tahu, tapi korang yang tak tahu.”
“Maksud kau?” Habil menambah.
“Sekolah tahu aku kena pukul. Tapi mereka senyap sebab melibatkan anak datuk...”
“Maksud kau?”
“Faizal dan Aiman yang pukul aku ..”
“Aaaaa.....ppppp......aaaa?” Habil dan Firdaus ternganga.
“Dahlah, nanti aku ceritakan, cikgu dah datang tu...” balas Rafiqan sambil menuju ke tempatnya. Matanya yang dingin merenung tajam ke arah Hardina yang berada di sudut sebelah kiri kelas. Hardina hanya tunduk ke meja.

.....

0 comments:

Post a Comment