Saturday, December 31, 2016

Redup Yang Panjang (Part 8)

                
"BAIKLAH, sekarang saya akan memulakan mesyuarat kali ini. Saya tak mahu guna lagi istilah perbicaraan seperti yang kamu minta..." kata Ustaz Ramli memulakan bicara. Mesyuarat kali kedua diadakan setelah hampir seminggu mesyuarat yang pertama diadakan. Kali ini Aiman dan Faizal turut hadir setelah cuti mereka berakhir.
"Sila jawab ‘saya’, jika saya menyebut nama kamu semua dengan betul, Ahmed Rafiqan Rahman?”
"Saya, ustaz..."
"Nurul Hardina Ismail..."
“Saya cikgu..."
"Aiman Rahim Hamzah..."
"Saya cikgu..."
"Faizal Rahim Hamzah..."
"Saya cikgu…”
Keempat-empat mereka bersuara. Mesyuarat kali ini agak tegang memandangkan keempat-empat pelajar ada bersama. Hardina berpaling ke arah Rafiqan. Hairan memikirkan wajahnya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi, hanya ketenangan yang terpancar. Kemudian dia beralih ke arah Aiman dan Faizal. Kedua-duanya sedikit gugup kerana ini kali pertama mereka terpaksa menghadiri mesyuarat yang seumpama ini.
"Saya serahkan kepada cikgu Razak selaku guru disiplin sekolah..." kata Ustaz Ramli scmula.
Cikgu Razak bangun dari tempatnya. Kemudian dia berjalan ke hadapan keempat-empat pelajar yang berada di tengah-tengah bilik mesyuarat.
"Saya akan menyebut kes kamu Rafiqan, betulkah kamu yang memukul kedua-dua pelajar Aiman dan Faizal?" soal cikgu Razak. Rafiqan mengangkat muka.
"Saya ada bangkangan, kenapa kes yang pertama tidak disebut sedangkan ia berlaku dahulu kemudian barulah kes kedua... " soal Rafiqan semula. Cikgu Razak agak terkejut dengan kata-kata Rafiqan.
"Kamu tidak ada hak untuk menyoal saya..." tambah cikgu Razak semula. Tetapi segera dipotong oleh Ustaz Ramli.
"Cikgu, saya juga tertanya dengan soalan yang sama..." kata Ustaz Ramli. Rafiqan tersenyum. Nyatalah hanya cikgu Razak yang mengikut telunjuk ayah kedua-dua pelajar Faizal dan Aiman itu.
"Tapi ustaz, mesyuarat kali ini hanya mengenai kes yang kedua, kes yang pertama sudah ditutup..." kata cikgu Razak membuatkan Aiman dan Faizal menarik nafas lega.
"Kalau macam tu, cikgu buka balik kes yang pertama. Kita akan bincang kedua-duanya sekali pada hari ini..." kata-kata Ustaz Ramli membuatkan Rafiqan tersenyum. Berlainan pula dengan Aiman dan Faizal.
"Baik... ustaz..." cikgu Razak teragak-agak.
"Silakan cikgu..."
"Kes yang pertama, pihak pertama iaitu mangsa Ahmed Rafiqan, membuat aduan mengenai kes pukul dari pihak kedua dan ketiga Faizal dan Aiman pada hari Khamis 5 Februari jam 3 petang..." kata cikgu Razak terhenti.
“Baik Rafiqan, saya mahu dengar kenyataan dari kamu..” Ustaz Ramli menyampuk.
"Baik, pada hari itu seperti biasa saya berjalan kaki pulang ke rumah. Sampai satu lorong yang agak sunyi, mereka berdua dan beberapa lagi pelajar lain menahan saya. Mereka menyuruh saya berhenti mengusik Hardina. sedangkan saya tidak kenal siapa Hardina. Saya cuba berlalu, tetapi mereka menyerang saya dan Faizal memukul saya berkali-kali..."
“Pelajar lain ada tak?” soal Ustaz Ramli.
“Ada, ustaz. Dalam 5-6 orang,”
“Kamu tahu siapa lagi pelajar yang lain?” soal cikgu Razak tiba-tiba.
“Tidak cikgu, saya tidak kenal kerana saya masih baru di sini ..”
“Habis tu, bagaimana kamu boleh mebuktikan Aiman dan Faizal yang menyerang kamu? Sedangkan kamu tidak kenal langsung pelajar-pelajar sekolah ini?" bentak cikgu Razak semula. Rafiqan tahu yang cikgu Razak cuba memerangkapnya.
“Saya boleh buktikan!" kata Hardina tiba-tiba membuatkan semua mata memandang ke arahnya yang sedari tadi hanya terdiam.
“Baik, teruskan Hardina..." kata Ustaz Ramli. Hardina menarik nafasnya panjang-panjang Kemudian dia bersuara.
“Ustaz, pada hari tersebut, sepatutnya badan pengawas sekolah ada mesyuarat, tetapi pada waktu tersebut Aiman dan Faizal tiada dalam mesyuarat. Saya berani bersumpah bahawa mereka tiada dalam mesyuarat..” kata Hardina. Rafiqan kelihatan agak lega.
“Tapi itu tidak boleh membuktikan bahawa mereka terlibat hanya kerana tiada dalam mesyuarat,” tambah cikgu Razak.
“Tapi mereka juga tiada bukti mereka tiada di tempat kejadian. Kemungkinan mereka terlibat tetap ada,” balas Hardina. Kali ini cikgu Razak pula yang terdiam. Dia kematian kata.
“Baik, saya nak soal kamu berdua, Aiman dan Faizal. Boleh kamu buktikan dimana kamu berada pada 5 Februari jam 3 petang?" soal Ustaz Ramli tiba-tiba.
Aiman dan Faizal hanya terdiam. Mereka saling berpandangan.
“Nampaknya kamu tak akan terlepas dari senarai suspek!" tambah Ustaz Ramli semula.
“Ustaz, biar saya yang uruskan...." Kata Cikgu Razak tiba-tiba.
"Cikgu, cikgu hanya melengahkan masa kami sahaja, biar saya terus tanya pada Faizal dan Aiman. Kamu berdua, adakah kamu mengaku bersalah memukul serta mencederakan Ahmed Rafiqan pada hari dan tarikh yang disebutkan tadi?" soal Ustaz Ramli ingin memendekkan masa.
Aiman dan Faizal berpandangan. Tiada suara yang terkeluar dari mulut mereka.
“Atau, kamu mahu saya memanggil 5 orang lagi kawan kamu yang ada kat sana masa hari kejadian baru kamu nak mengaku?” tambah Ustaz Ramli lagi apabila mereka hanya mendiamkan diri. Akhirnya mereka menganggukkan kepala. Cikgu Razak terkejut dengan tindakan Aiman dan Faizal menganggukkan kepala. Nampaknya dia tak akan disalahkan lagi kerana mereka berdua sendiri yang mengaku.
“Atas sebab apa?” soal Ustaz Ramli semula.
Tiada jawapan.
“Saya ulang semula soalan saya ye, atas sebab apa kamu berdua memukul Rafiqan?”
Sunyi.
“Tak mau cakap? Okeylah, kita terus beralih kepada kes yang kedua, saya akan tetapkan keputusan selepas mendengar kedua-dua kes. Silakan cikgu Razak..” tambah Ustaz Ramli.
“Baik, kes kedua, aduan dari pihak kedua dan ketiga dari kes pertama tadi. Aiman dan Faizal, mengadu bahawa mereka dipukul dari pihak pertama Ahmed Rafiqan. Ahmed Rafiqan, kamu mengaku bersalah?'' soal cikgu Razak.
"Jawapan saya tetap tidak..."
"Bagaimana kamu mahu membuktikan yang kamu tiada di tempat kejadian?"
"Bagaimana pula cikgu nak buktikan saya berada di tempat kejadian?" soal Rafiqan membuatkan cikgu Razak tergamam.
“Menurut kata-kata mangsa ... Mereka sendiri yang mengaku yang kamu berada di sana..."
"Bagaimana kalau mereka berbohong? Mereka berdua kan adik-beradik dan mereka berdua berpeluang untuk berpakat. Cikgu sedia maklum bahawa mereka pernah memukul saya, dan saya sememangnya seolah-olah ada motif untuk membalas dendam. Tapi cuba cikgu fikirkan secara logik, mereka berdua sedangkan saya seorang.”
“Mungkinkah saya mampu membuat semua ini sendirian? Mungkin mereka berselisih faham dengan orang lain yang kita tak tahu.  Saya tak pernah terlibat. Itu kata putus saya yang terakhir ..." tambah Rafiqan.
"Aiman, Faizal, betul ke Rafiqan yang memukul kamu?" soal Ustaz Ramli. Aiman dan Faizal berpandangan.
"Tidak ustaz, tapi dia ada di sana,” kata Aiman.
"Rafiqan, Aiman kata kamu ada di sana. Seolah-olah kamu terlibat. Apa penjelasan kamu?"
"Cikgu, cikgu sendiri yang menggunakan perkataan ‘seolah-olah' yang membawa makna mungkin ya atau mungkin tidak, sekarang saya mungkin terlibat, tetapi saya tetap dengan kata-kata saya tadi..." balas Rafiqan. Cikgu Razak hanya mengerutkan dahi. Dia seolah-olah buntu untuk melawan balik kata-kata Rafiqan.
"Baik, jawab soalan saya, adakah kamu berada di tempat kejadian? Ya atau tidak..." soal Ustaz Ramli semula.
"Ya. saya ada di sana ..." balas Rafiqan.
"Kenapa kamu ada di sana?"
"Cikgu tahu ke kat mana tempat kejadian?"
Cikgu Razak menggelengkan kepala “Kat pekan, salah ke saya keluar ke pecan?"
"Tapi kebetulan itu seolah-olah telah dirancang oleh kamu..." tambah cikgu Razak lagi.
"Cikgu membuat tuduhan di satu kebetulan akan menguatkan motif saya membalas dendam. Bukankah cikgu sendiri kata saya ni pelajar baru yang mana mungkin dapat membuat kawan dalam secepat ini, apatah lagi untuk membuat rancangan, kan?" kata Rafiqan semula.
“Aiman, Faizal, kamu kenal siapa mereka yang membelasah kamu?” soal Ustaz Ramli semula.
"Tidak ustaz,” kata Aiman dan Faizal serentak.
“Jadi, kenapa kamu menuduh Rafiqan? Dia ada sentuh kamu ke?” soal Ustaz Ramli lagi.
Geleng kepala, serentak.
“Ada nampak tanda-tanda Rafiqan bersama diorang ke?”
“Takde ustaz, kami tak kenal lelaki itu, tapi dia kata jangan ganggu Rafiqan…”
Masing-masing memandang ke arah Rafiqan. Rafiqan hanya mendiamkan diri.
“Apa alasan kamu Rafiqan?” tiba-tiba Cikgu Razak menyampuk.
Lama juga diamnya. Dengan helaan panjang Rafiqan menuturkan bicara.
“Cikgu Razak, Ustaz Ramli. Saya tak terlibat dalam hal ni. Diorang sendiri cakap saya tak sentuh diorang, kebetulan saya berada di sana tapi saya pun tak kenal diorang,” balas Rafiqan.
“Kenapa diorang cakap jangan sentuh kamu? Kenapa nama kamu dipetik?” cikgu Razak masih belum berpuas hati lagi. Namun Rafiqan tetap tenang, kerana dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Pada pendapat saya, Aiman dan Faizal sengaja kata macam tu sebab dia mahu alihkan kesalahan kepada saya. Lagipun mereka adik beradik. Mereka mungkin berpakat. Ada saksi ke saya terlibat?”
Aiman dan Faizal segera menafikan kata-kata Rafiqan.
“Kamu ada saksi ke diorang memberi amaran kepada kamu?” kali ini Ustaz Ramli menambah.
“Adik saya la saksi “ balas Faizal.
“Terpulang la pada Ustaz, tapi saya tetap dengan pendirian saya yang saya tidak terlibat dalam hal ini. Mereka mungkin berpakat…” Rafiqan masih yakin dengan pendiriannya.
“Ada saksi lain tak, Faizal?”
“Tiada, ustaz.”
“Soalan saya yang terakhir, Rafiqan ada pukul kamu atau tidak?”
Geleng.
“Jadi, atas alasan apa kamu nak tuduh Rafiqan sekarang ni?”
Tiada jawapan.
 "Perkara ini sangat kompleks kerana melibatkan orang luar. Rafiqan, kalau benar kamu berada di sana, kenapa kamu tidak membantu meleraikan pergaduhan itu..." soal Cikgu Razak semula.
"Cikgu, bukankah cikgu sedar yang saya ni masih baru di sini, kalau ikut secara logik takkan saya mahu masuk campur dalam urusan orang yang pernah mencederakan saya. Mungkin saya akan turut terlibat nanti..."
“Atau kamu rasa dendam kamu berbalas?" cikgu Razak bersuara lagi.
“Mungkin ini balasan mereka... kan?" Rafiqan tersenyum sinis. Aiman dan Faizal merasa meluat melihat senyuman yang sengaja dilemparkan ke arah mereka.
“Bagaimara kamu hendak buktikan yang semua ini bukan bermula dari kamu?” cikgu Razak terus bersuara.
"Macam mana hendak buktikan kalau semuanya memang bukan bermula dari saya?"
"Maksud kamu?"
"Kenapa saya tiba-tiba dipukul? Kenapa saya hendak mengusik Hardina? Kenapa cikgu tak tanya sendiri apa makhluk dua ekor ni selalu buat pada Hardina?” soal Rafiqan tiba-tiba. Hardina tersentak apabila namanya disebut.
"Betul juga. Hardina masih belum banyak bercakap. Hardina, boleh kamu ceritakan apa yang berlaku?" soal Ustaz Ramli
Hardina menceritakan semula dari dia mula berjumpa dengan Rafiqan sehinggalah perkara-perkara yang selalu diusik oleh Faizal kepada Ustaz Ramli. Ustaz Ramli hanya mengangguk-anggukkan kepala.
"Faizal juga ada bertanyakan kepada saya, adakah saya mahu dia tolong kenakan Rafiqan sehari sebelum kejadian pertama, tetapi saya hanya buat tidak tahu kerana saya malas mahu melayan mereka…”
Lama Ustaz Ramli terdiam. Kemudian dia mengalihkan pandangan kepada cikgu Razak dan beberapa cikgu lain yang hanya menjadi pemerhati.
"Baiklah, untuk kes yang pertama, pihak sekolah akan menjatuhkan hukuman gantung sekolah selama seminggu kepada Aiman dan Faizal, dan mereka akan dipecat dari jawatan sebagai pengawas sekolah kerana mereka sendiri telah mengaku bersalah. Untuk kes kedua pula, Rafiqan tidak akan dikenakan hukuman kerana tiada bukti yang menunjukkan kes itu dirancang. Tidak mungkin seorang pelajar baru sempat mencari kenalan untuk menubuhkan kumpulannya sendiri untuk membalas dendam. lanya dianggap pertikaian diluar pihak sekolah kerana melibatkan orang luar. Kamu kena selesaikan sendiri….”
Rafiqan tersenyum puas. Tidak disangkanya yang dia akan menang kali ini walaupun dia tahu dia sememangnya terlibat. Aiman dan Faizal tidak dapat berkata apa-apa setelah Ustaz Ramli membuat pengumuman itu.
"Kamu boleh pergi, hukuman berkuat kuasa dari hari ini, " tambah Ustaz Ramli lagi.
“Terima kasih ustaz, sebelum tu izinkan saya katakan sesuatu?" soal Rafiqan pula.
"Apa dia?”
"Sebelum saya pergi, saya harap ustaz fikirkan, adakah guru-gum di sini bekerja dengan sekolah, atau bekerja dengan Datuk Hamzah, tu saja..." Rafiqan sengaja menjeling ke arah cikgu Razak yang memandangnya. Cikgu Razak tertunduk apabila mendengar kata-kata Rafiqan itu Dia tahu siapa yang Rafiqan maksudkan.
"Baiklah Rafiqan, saya akan fikirkan. Kamu boleh pergi juga Hardina, Aiman, Faizal..."

"Rafiqan, awak sungguh hebat!" kata Hardina sewaktu mereka berjalan pulang. Rafiqan hanya memandangnya sekilas. Dia seolah-olah malas hendak melayan karenah Hardina lagi.
"Kenapa awak diam? Bukankah awak ni petah bercakap?" tambah Hardina lagi.
"Kau nak aku cakap apa? Hah? Cukup, tak payah kau nak buat baik dengan aku, entah masalah apa lagi yang aku terpaksa terima. Kau ni memang nak menyusahkan aku la .." Rafiqan melajukan langkahnya.
Hardina mengeluh sendirian. Entah angin apa yang melanda satu badan mamat ni. Yang aku pun satu, dah tahu perangai dia macam tu masih lagi nak bertegur sapa lagi.


"RAFIQAN! Makcik Azimah datang nak jumpa .." sayup kedengaran suara Tuk Chik memanggil namanya. Rafiqan berhenti menulis seketika. Dia bingkas bangun menuju ke arah muka pintu.
Sejak akhir-akhir ini, Rafiqan semakin senang dengan sikap Tokki Mat dan Tuk Chik. Banyak ilmu-ilmu agama yang dapat dipelajari dari Tuk Chik dan Tokki Mat. Perasaan hormatnya terhadap orang tua juga mula bertambah.
Rafiqan tersenyum sekilas memandang ke arah Azimah vang sedang menantinya di muka pintu.
"Rafiqan tengah buat apa?” soal Azimah.
“Tengah buat kerja sekolah mak cik, Shahran mana?" soal Rafiqan pula apabila dilihatnya Azimah sendirian.
“Dia ikut kakak dia ke kedai tadi. Rafiqan, makcik betul-betul nak minta maaf atas segala kejadian yang telah terjadi, makcik tak berniat nak susahkan hidup Rafiqan di sini,” kata Azimah tiba-tiba membuatkan Rafiqan serba salah.
"Eh, makcik jangan cakap macam tu, saya tak kisah makcik, semua perkara dah selesai..." pandai pula aku berkata-kata hari ini, walhal amarah aku dengan Hardina tak pernah padam. Semua ini kerana Tuk Chik dan Tokki Mat yang menyuruh aku cakap macam ni.
“Betul ke Rafiqan dah tak kisah ni?" soal Azimah semula.
“Betul makcik, saya diajar supaya mengamalkan sikap bertimbang rasa .." balas Rafiqan.
"Kalau macam tu, terima kasih. Kadang-kadang makcik sendiri tidak percaya dengan sikap kamu ni yang dikatakan samseng sekolah dulu,”  Rafiqan terhenti seketika.
"Mana kamu tahu ni Mah?" soal Tuk Chik tiba-tiba dengan membawa sedulang minuman.
"Sebab tu la saya kata tak percaya..." balas Azimah semula. Rafiqan hanya tersenyum melihat Tuk Chik dan Azimah.
"Minumlah dulu Mah. Oh ya, mulai esok kau tak payah suruh Dina hantar nasi lemak lagi ya ..." kata-kata Tuk Chik membuatkan Azimah terdiam.
"Kenapa? Tuk Chik dah tak mahu upah saya lagi ke?" balas Azimah pula. Kegusaran jelas terpancar di wajahnya.
"Bukan macam tu, mulai esok, Rafiqan yang akan pergi ambil dari rumah kamu dan hantar ke kedai. Tak payahlah suruh Hardina lagi. Lagipun Rafiqan ni lelaki. Kesian kat Dina tu.."
"Oh, macam tu. Boleh ke Rafiqan?" soal Azimah pula.
"Dah Tuk Chik yang suruh, memang kena buat la, kalau tak, tak makan nasi la saya..." kata Rafiqan seraya berseloroh. Mereka ketawa sejenak.
"Eloklah tu, lagipun dalam perjalanan ke sekolah tu, bukan ke lalu kedai aku dulu, boleh la budak-budak ni singgah minum sarapan dulu ke sebelum ke sekolah .." tambah Tuk Chik lagi.
"Budak-budak ni?" soal Azimah. Rafiqan turut mengerutkan keningnya.
"A ah, Dina dan Piqan la...” mereka tergelak lagi. Rafiqan hanya mengetapkan bibir apabila merasa terkena.


"BANYAK ni sahaja ke?" soal Rafiqan sekali lagi mengingatkan Azimah.
"Ya. semua sekali 100 bungkus. Selalunya disebabkan Dina seorang, makcik buat dalam 50 hingga 60 je. Tapi kali ini sementara Rafiqan ada, makcik buat lebih sikit. Boleh Dina tolong bawa separuh..." balas Azimah pula.
"Kalau macam tu, saya pergi dulu yea.."
"Eh, tak tunggu dulu ke?"
"Tunggu siapa?"
"Dina.."
Rafiqan terdiam. lnilah hari pertama dia mengambil nasi lemak di rumah jirannya itu. Kemudian diminta pula supaya menyaingi dengan perempuan yang sering menjadi teman bergaduh.
"Mana Dina?" soal Rafiqan.
"Sekejap, Dina ... Ooo Dina! Dah siap belum?" sayup suara Azimah memanggil.
"Kejap bu,” Hardina muncul di muka pintu.
"Nah, kamu bawa lagi separuh. Jalan elok-elok. Jangan asyik nak berkelahi je. Rafiqan kan lelaki, tolong tengok-tengokkan Hardina ni, ramai sangat yang suka gangu dia..." kata Azimah membuatkan Hardina dan Rafiqan saling berpandangan.
"Pergi dulu bu,” Hardina memulakan langkah meninggalkan halaman rumahnya. Rafiqan berjalan mendahuluinya.
Sepanjang perjalanan, tiada sepatah perkataan pun yang keluar. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
"Awak dah siap kerja semalam?" soal Hardina memulakan bicara. Niatnya untuk mengurangkan rasa tegang yang masih jelas kelihatan di antara mereka.
"Dah,” balas Rafiqan pendek.
"Awak marah saya lagi ke?" soal Hardina semula. Rafiqan berpaling ke arah Hardina dengan pantas membuatkan Hardina sedikit terkejut.
"Kau boleh diam tak?” soal Rafiqan tiba-tiba.
"Kenapa dengan awak ni? Saya cakap elok-elok, awak jawab dengan kasar.”
"Kalau tak nak aku jawab dengan kasar, jangan bercakap dengan aku! Faham?!" balas Rafiqan semula.
"Apa salah saya? Kenapa awak masih nak menghukum saya?" soal Hardina semula.
Rafiqan hanya mendiamkan diri. Dari kedai Tokki Mat sehinggalah ke sekolah, masing-masing tidak bersuara.
Hardina tidak terus ke kelas, namun terus ke pintu masuk utama kerana setiap pagi dia akan bertugas menjaga pintu masuk. Rafiqan terus menuju ke kelas.

*****bersambung



0 comments:

Post a Comment