Wednesday, December 15, 2010

Terima Kasih Kerana Mengingatkan Aku


Aku melihat kembali ke arah susunan beg yang telah tersedia ku kemaskan dari tadi. Beberapa peserta lain masih sibuk menguruskan khemah mereka. Ada yang sedang menanggalkan tiang2 yang diperbuat daripada buluh. Ada juga yang sedang melipat khemah. Aku? Mujurlah aku tergolong dalam kumpulan yang cepat dalam melakukan kerja. Semua khemah dan peralatan lain sedari tadi lagi sudah siap dikemaskan. Beberapa peserta sudah mula meninggalkan tapak perkhemahan.

Acara penutup telah berakhir hampir sejam yang lalu. Aku masih lagi menunggu di sini, menanti untuk pulang ke rumah. Tiada lagi arahan dari kem komandan yang aku perlu tunggu.

Aku melihat ke arah salah seorang peserta yang datangnya sama Institusi Pengajian Tinggi dengan aku. Pakaiannya agak aneh. Seolah2 baru lepas menerima skrol ijazah. Siap dengan jubah dan bunga di tangan. Jalannya semakin laju menghampiri aku.

"Tak balik lagi ke?" dia menegur aku. Aku sekadar sempat melemparkan senyuman kerana dia berjalan begitu pantas meninggalkan aku ke belakang.. 'Tunggu ayah...' aku pasti jawapan dari bisikan aku tidak mampu didengarinya.

Aku terus berjalan menelusuri kawasan tapak perkhemahan. Baru aku sedar yang kami berkhemah ditepi pantai. Ombak masih setia memukul pantai. Aku memanjat batu-batu besar yang berderetan di sepanjang gigi pantai. Ada yang setinggi satu meter dan ada yang menjangkau lebih tinggi dari aku. Beberapa orang yang aku rasakan adalah peserta perkhemahan turut bersidaian di atas batu sambil melemparkan pandangan ke arah laut, memerhatikan dunia tanpa berpenghujung.

Sedia maklum, aku hanya sendirian. Beberapa pasang mata mula mencuri perhatian terhadap aku yang sendirian. Aku seperti biasa hanya menundukkan kepala dan memanggungkan kepala ke arah hujung kakiku yang bersalut dengan pasir pantai. Aku menghela nafas yang panjang lantas membuka langkah meninggalkan mereka yang masih kebingungan dengan gaya dan lagak aku yang seolah-olah ditimpa keresahan.

Aku kembali ke arah beg aku ditempatkan. Tangan aku pantas menyeluk poket mengambil handset. 'Mana abah ni?' aku bersungut di dalam hati. Hampir sejam aku menunggu, namun kelibatnya masih belum kelihatan. Selalunya abah akan datang dalam masa setengah jam selepas aku menghubunginya melalui telefon.

'Telefon???' aku kebingungan sebentar. Yang sebenarnya, aku dah telefon ke belum? Aku berkira2 memikirkan yang adakah aku telah menghubunginya atau belum.

Bila memikirkan pasal ayahku, aku baru perasan, dah lama aku tak jumpa abah. Dia keluar atas urusan kerja. Aku sendiri tak tahu dah berapa lama abah pergi out station, rasanya dengan ma pun dah lama abah tak jumpa. Out station? Abah aku kerja apa sampai kena out station? Ah, lantaklah. Yang pasti beliau mesti datang mengambil aku kerana itulah rutin yang selalu beliau lakukan kerana tiada orang lain yang boleh memandu kereta.

Aku mencapai handset ku lalu menekan beberapa butang shortcut menaip A.Y.A.H kerana aku sudah set kan nombor abah dengan name 'Ayahanda', tetapi yang keluar hanyalah 'no matches'. Pelik, kenapa aku tak set kan dalam handset ni? Akhirnya aku mendail nombornya terus kerana nombor abah senang diingati.

'Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, sila cuba sekali lagi' hanya suara perempuan itu yang kedengaran berulang-ulang kali. Aku jadi tak keruan. Mana abah pergi ni?? Aku memberontak. Sekali lagi nombor telefon abah ku dail. Dan sekali lagi aku dijawab oleh perempuan yang sama.

Aku menekan butang cancel. Aku marah, mula terasa ingin mengeluarkan kata-kata berbaur kemarahan. Tiba-tiba aku dengar satu suara....

'Abah kau kan dah takde.......'

'Abah kau kan dah takde.......'

'Abah kau kan dah takde.......'

berkali-kali tapi perlahan.

Aku mebuka mata perlahan-lahan. Aku mendapati aku masih di atas katil. Aku bermimpi rupanya. Aku meraup muka sambil memikirkan kejadian sebentar tadi. Baru aku sedar, hampir lebih setahun abah pergi, tapi aku masih merasakan beliau masih bernafas di muka bumi. Aku masih sukar untuk melepaskan beliau pergi.

Aku tersedar dari mimpi. Aku tak kisah, mimpi siang atau malam, aku tahu aku semakin melupakannya. Kini mimpi datang mengingatkan aku supaya menyampaikan doa kepada yang telah pergi. Kupanjatkan terima kasih sekali lagi kerana mengingatkan aku kepada beliau.



Al-Fatihah


P.S - Lantas aku bangun dan keluar dari bilik. Aku menuju ke dapur dan menyertai adik-adikku makan tengah hari kerana aku tidur siang tadi, waktu tengahari (waktu Malaysia)

0 comments:

Post a Comment